Wednesday, November 11, 2015

Rashid dalam kenangan





Sejak tinggalkan UMW Furniture Industries (UMW-FI) Temerloh pertengahan 1982, saya tidak lagi bertemu dengan Rashid atau nama penuhnya Rashid Wejdi bin Sinir setelah berhijrah ke Kuala Lumpur. Tidak sangka selepas tinggalkan kilang perabut kawasan Perindustrian Songsang lebih 30 tahun, pertemuan kami pada 13 Julai 2014 lalu, di Pekan Sehari Temerloh merupakan pertemuan terakhir saya dengannya.

Kami sama-sama di bahagian maintenance (woksyop) atau lebih dikenali di kalangan pekerja UMW-FI sebagai makenik. Tugas kami antara lain berkaitan kimpalan (welding), baiki mesin operator, enjin kenderaan serta kerja-kerja am seperti memperbaiki atap kilang bocor, paip air dan sebagainya.


Walaupun usia Rashid lebih muda daripada saya ketika itu, tetapi dia lebih dulu bekerja di bahagian maintenance. Rashid memulakan kerja di kilang terbesar di daerah Temerloh itu lebih kurang seminggu lebih awal daripada saya.  Oleh kerana saya bermula di bahagian Toolroom menyebabkan kami tidak berapa rapat. Apatah lagi pekerja sekitar 80an itu melebihi 2,000 orang.

Lebih kurang dua tahun kemudian barulah saya diserap bahagian maintenance. Itu pun setelah penyelia melihat kecenderungan saya membuat kerja-kerja kimpalan. Maklumlah sebelum di UMW-FI,  lebih kurang lima tahun berpengalaman dalam worksyop sewaktu bekerja di kilang sawit Kemayan Oil Palm (KOP), Kemayan.

Sewaktu temuduga dengan pengurus kilang Ng Seng Huat, memang saya minta ditempatkan bahagian worksyop berdasarkan kemahiran saya membuat kerja-kerja kimpalan. Disebabkan bahagian berkenaan tiada kekosongan, saya diletakan sementara di bahagian Toolroom.

Bahagian Toolroom lebih kurang seperti worksyop juga. Cuma perlu beri perhatian pada mesin yang dikendali operator. Jika mesin mengalami kerosakan atau memerlukan alat ganti, operator mesin akan beritahu pekerja Toolroom untuk memperbaikinya.

Saya diberi tanggungjawab untuk menjaga mesin Hattori bahagian Turning. Dua belas mesin semuanya terdiri dua unit model Hattori 900 dan sepuluh unit model Hattori 600. Setiap seorang operator mengendali empat unit mesin. Dua belas mesin bererti tiga operator wanita. Tugas mereka amat mudah hanya memasukkan batang-batang kayu saiz tertentu ke ruang khas pada mesin.

(Novel saya ‘PENCARIAN’ diterbitan Creative Enterprise, pada 1994 ada saya garap mengenai kilang UMW Songsang termasuk mesin Hattori bawah seliaan saya bahagian Turning.)



  
Mesin Hattori operasi secara otomatik, membentuk/mengukir kaki atau bilah-bilah penyandar kerusi. Setiap satu mesin satu jenis produk. Bererti kalau buat kaki kerusi, ukiran sama mengikut kuantiti yang diperlukan. Kadang-kadang untuk satu corak/bentuk memakan masa sehingga dua tiga hari baru tukar corak lain.

Pekerja Toolroom lebih 20 orang dan menjaga mesin di bahagian tertentu. Mereka tidak boleh membaiki mesin-mesin bahagian lain. Seperti saya di bahagian Turning, hanya boleh membaiki mesin-mesin bahagian Turning sahaja, itupun sekadar membantu rakan-rakan. Mesin utama yang perlu diberi perhatian adalah Hattori.

Selain menjaga mesin, perkerja Toolroom memastikan alat ganti sentiasa dalam keadaan baik. Jika alat pemotong seperti gergaji telah tumpul misalnya, perlu diasah atau ditajamkan semula. Jika putus perlu disambung (welding)  kecuali rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi, barulah dibuang. 

Begitu juga dengan alat-alat pengukir kayu (pekerja toolroom panggil pisau), jika sudah tidak tajam lagi sehingga kayu yang diukir tidak cantik perlu ditukar dengan lebih tajam. Gergaji atau pisau boleh tumpul pada bila-bila masa jika kayu agak keras.

Walaupun menggunakan kayu getah, disebabkan mesin berjalan tanpa henti selama dua atau tiga jam menyebabkan boleh berlaku gergaji putus atau tumpul. Jika keadaan itu berlaku, menukar alat ganti diperlukan seberapa segera agar tidak menjejaskan pengeluaran.

Ketua bahagian Toolroom pada waktu situ Ariffin berasal dari Kelantan dan menyewa rumah di Paya Keladan. Manakala penyelia Toolroom Ibrahim orang Perlis. Bos Ibrahim Kirpal Singh (bukan Karpal Singh) tetapi telah memeluk Islam, berkahwin dengan Melayu. Saya tidak pasti nama Islam Kirpal Singh tetapi isterinya kalau tidak silap Fazilah. Orangnya cantik tetapi agak seksi…

Mr. Sculy ketua bahagian maintenance berbangsa serani. Orangnya kurus dan bertubuh kecil sahaja. Bawah Sculy atau ketua woksyop  Ah Seng tinggal di Mentakab. Selain Ah Seng, Ah Fook, Lau San dan seorang lagi pekerja Cina. Melayu selain saya,Rashid dan Mahmud berasal dari Kelantan.  Hanya Krisnan seorang berketurunan India.

Bercakap mengenai Rashid, lelaki berambut ampro ini sentiasa ‘happy go lucky’. Dia juga amat teliti serta tekun bila buat satu-satu kerja. UMW-FI Songsang juga boleh dikatakan universiti baginya kerana di situ dia banyak belajar mengenai kimpalan, membaiki enjin dan sebagainya. Rakan-rakan senior berbangsa Cina pula tidak lokek untuk beri tunjuk ajar setiap kali Rashid berdepan masalah.

Hal sama berlaku pada saya jika tidak dapat selesai satu-satu masalah terutama memperbaiki mesin, rakan-rakan kaum Tionghua ini tidak keberatan beri bantuan. Bermakna segala kepakaran mereka diturunkan kepada saya tanpa sebarang curiga termasuk Rashid.

Rakan rapat saya Ah Fook. Bermakna jika mesin berdepan masalah, saya bersama Ah Fong akan diarahkan memperbaikinya terutama di bahagian Turning. Ini kerana saya lebih berpengalaman bahagian berkenaan lebih-lebih lagi melibatkan mesin Hattori keluaran negara Jepun itu.

Saya juga merupakan salah seorang yang belajar secara terus mengendali dan memperbaiki mesin Hattori dengan dua jurutera Jepun selama tiga minggu yang didatangkan khas dari negara matahari terbit itu. Maknanya jika berkaitan mesin Hattori, Ah Fook akan merujuk pada saya terlebih dahulu. 

Krisnan merupakan antara pembantu Rashid. Pemuda India itu saya pernah jumpa dia berkerja di stesen minyak BHP berhampiran Jalan Bahagia, Temerloh. Krisnan agak lembab sikit, ajar 100 kali pun masih tidak faham-faham.

Disebabkan masalah yang dihadapinya itu, tugas Krisnan setiap pagi memeriksa mesin, kemudian pam minyak pelincir (geris). Kerosakan-kerosakan ringan boleh beri kepada Krisnan, itupun kadang-kadang masih tidak dapat dilakukannya dengan sempurna.

“Bodo la lu, berapa kali ajar pun bikin sama jugak!” Perkataan biasa keluar dari mulut siapa saja yang mengarahkan Krisnan buat satu-satu kerja termasuk Rashid. Bagaimanapun bagi Krisnan, cakaplah apapun dia tersengih dan tidak marah. Malah perkataan itu seolah-olah sudah sebati dengannya. Dia tidak dapat tangkap apa yang orang ajarkan. Kalau suruh buat kerja yang sama, kesalahan masih berlaku.

Walaupun antara saya dengan Rashid bahagian sama, tetapi hanya sekali-sekala sahaja kami diberi tugas bersama sekiranya kerosakan memerlukan tenaga berpasukan. Masa berborak hanya sewaktu sarapan atau makan di kantin kilang. Waktu lain sibuk dengan tugas di bahagian masing-masing.

Berita pemergian Rashid amat mengejutkan saya. Maklumlah ketika bulan puasa baru-baru ini Rashid yang menetap di Balok, Kuantan pulang ke Temerloh. Rutin saya setelah tinggalkan dunia kewartawan di Kuala Lumpur dan menetap di Bandar Ikan Patin ini membuka perniagaan jualan produk kesihatan.

Premis perniagaan saya MEDICRAPID di Bazar Kuala Semantan dan berniaga di Pekan Sehari Temerloh setiap Ahad. Pada hari berkenaan saya ternampak Rashid bersama isteri di celah-celah orang ramai. Oleh kerana dia berjalan berhampiran Gerai Medicrapid, lalu saya memanggilnya. Kami berborak lebih kurang 20 minit sebelum dia beredar kerana ada urusan lain.

Dalam pada itu dia mengingatkan saya supaya tidak lupa datang kenduri kahwin anaknya yang bakal menjelang selepas hari raya puasa. Dia juga berjanji akan menghantar kad jemputan setelah menetapkan tarikh majlis yang bakal diadakan kelak.

Minggu berikutnya, ketika saya berniaga di Pekan Sehari isteri Rashid datang menghulurkan kad jemputan sebagaimana yang dijanjikan. Dia minta saya dapat hadirkan diri sekeluarga jika ada kelapangan pada minggu hadapan.

Sejujurnya saya beritahu Ani, kalau hari Ahad terpaksa minta maaf. Kalau hendak ziarah pun sebagai sahabat lama mungkin pada hari lain selepas majlis perkahwinan. Ani akur dan saya minta dia sampaikan salam kepada suaminya. Ani juga beritahu, suaminya tidak sihat kerana menghidap sakit kencing manis kronik.

Dua hari selepas itu, saya terbaca seorang rakan Facebook menulis mengenai pemergian Rashid mengadap pencipta-Nya. Untuk pengesahan saya berjumpa dengan anak sedara sebelah isteri Rashid, Sabri @ Pok Teh yang juga rakan Facebook. Dia merupakan salah seorang pemandu teksi berpengkalan sebelah premis bangunan Bazar Kuala Semantan dan pernah juga bertugas di kilang UMW-FI.

 “Memang betul, aku nak pergi lepas Zohor,” jawabnya setelah saya bertanya tentang kesahihan maklumat yang disampaikan melalui Facebook itu.

Melalui ini saya mendoakan agar arwah Rashid damai di sana dan Allah letakkan bersama orang-orang beriman. Al-fatihah.



No comments:

Post a Comment