Wednesday, July 7, 2010

Bazar Oh Bazar


TIMBUL tanda tanya di kalangan pemilik kenderaan yang diletakan di kawasan lapang Bazar Kuala Semantan (BKS) ekoran mendapat surat ‘cinta’ daripada penguatkuasa Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) pada penghujung bulan Jun lalu. Surat cinta itu bukanlah pertamakali, sebaliknya ada yang sudah menerima beberapa kali sebelum ini.

Yang menjadi persoalan kawasan berkenaan tidak ada tanda amaran supaya tidak meletak kenderaan atau garisan lurus sebagaimana lazim melarang meletak kenderaan. Lagipun sebagai penyewa premis di bazar berkenaan, rata-rata menganggap kawasan lapang itu dikhaskan untuk mereka.

Pada saya rasa tidak puas hati pemilik kenderaan di bazar tersebut ada kebenarannya. Kalau sudah tidak ada tanda amaran agar tidak meletak kenderaan di situ, sudah tentu mereka menyangka kawasan lapang diperuntukan kepada mereka untuk meletak kenderaan.

Ada berpendapat, jika MPT tidak mahu meletakan papan tanda amaran, dirikan bangunan kedai atau apa saja daripada dibiarkan kosong. Selagi kosong, selagi itulah pemilik kenderaan yang berniaga di bazar tersebut akan meletak kenderaan di situ.

Rata-rata pemilik kenderaan melahirkan rasa kecewa ekoran di saman MPT. Setiap bulan peniaga yang menjalankan di situ membayar sewa kepada MPT, malangnya MPT tidak berusaha menyelesaikan masalah tersebut. Dalam sebulan pasti pihak penguatkuasa akan menyaman dengan alasan di tepi bangunan tersebut bukan tempat meletak kenderaan.

“Kalau tak benarkan letak kenderaan, pasang papan tanda amaran,” geram seorang pemilik kenderaan yang juga peniaga di bazar tersebut.

Masalah ini memang sudah agak lama berlarutan. Hanya MPT saja dapat menyelesaikannya. Perlu diingat terdapat juga kenderaan yang meletak di kawasan lapang tersebut milik kaki tangan FELDA dan juga peniaga-peniaga di bangunan hadapan bazar. Kenderaan mereka ini yang harus di saman kerana tidak ada kaitan dengan MPT.

"Sebagai penyewa, sepatutnya kami dikecualikan daripada dikenakan saman." rongot salah seorang pemilik kenderaan yang lain. Dia berharap MPT dapat menyelesaikan segera masalah tersebut agar tidak lagi timbul salah faham.

"Saya rasa MPT patut keluarkan stiker bagi pemilik kenderaan yang berniaga di bazar ini. Yang tiada stiker bermakna orang luar dan bolehlah pengawai penguatkuasa MPT menyamannya," cadang pula salah seorang pemilik kenderaan.

Timbul persoalan, di kawasan yang benar-benar tidak boleh meletak kenderaan anggota penguasa MPT tidak pula mengambil sebarang tindakan. Contohnya, jalan tepi sungai, bermula dari bulatan depan bangunan MCA hingga ke stesen pam Petronas Lurah Semantan, terdapat garisan panjang di kiri kanan jalan. Garisan tersebut merupakan amaran tidak dibenarkan meletak kenderaan di situ.

Bagaimanapun, berapa ramai yang mengingkari amaran itu. Di kawasan Espanade, kiri kanan jalan diletakan kenderaan. Manakala sebuah kedai pemborong Tionghua tidak jauh dari Petronas, sebuah lori sentiasa diletakan di hadapan kedai berkenaan. Keadaan jalan yang agak menurun di situ ternyata menyulitkan pemandu akibat dihalang lori tersebut. Terdapat banyak lagi kawasan dianggap dilihat ‘sebelah mata’ oleh pegawai penguatkuasa MPT.

Kita tidak mahu menuduh kenapa keadaan begitu berlaku. Tetapi pada hakikatnya begitulah. Yang tidak menghalang jalan, direkodkan dalam ‘surat cinta MPT’ sebagai menghalang lalulintas. Yang benar-benar menghalang, tidak diambil sebarang tindakan!

Banyak masalah di Bazar Kuala Semantan ini. Masalah remaja berpeleseran, bercumbu, minum minuman keras, pelajar ponteng sekolah, pelajar merokok, vandalisme pada hujung minggu merupakan antara rentetan masalah yang tidak berkesudahan.

Pemantauan tidak ada, itu antara sebab di bazar ini menjadi pilihan remaja liar. Rokok boleh diberi sebatang-sebatang kerana ada kedai di bazar ini menjual kepada pelajar sekolah. Bekas botol minuman keras sudah menjadi perkara biasa dan dapat dilihat di tangga atau di tepi dinding setiap minggu.

Pernah seorang remaja terbaring di ruang pentas, tidak sedarkan diri seharian akibat terlalu banyak meminum minuman keras. Pendek kata apa saja perbuatan tidak senonok, mereka gemar melakukan di Bazar Kuala Semantan.

Yang peliknya pihak bertanggungjawab, tidak pula memikirkan bagaimana hendak memajukan bazar ini. Pentas yang disediakan, sepanjang tahun ini baru satu atau dua kali digunakan. Selebihnya dijadikan tempat remaja melepak dan sebagainya.

Bazar Kuala Semantan ini boleh dianggap ‘hidup segan, mati tak mahu’. Sudahlah sukar hendak mencari kerana tidak terdapat satu pun papan tanda arah diletakan di sekitar bandar Temerloh. Manakala nama bangunan ini pula diletakan menghala bangunan di hadapannya.

Cadangan seorang pengguna, supaya Bazar Kuala Semantan di tulis pada dinding agar dapat dilihat dari arah stesen bas dalam akhbar Sinar Harian kira-kira empat bulan lalu, sehingga hari ini tidak mendapat respon daripada pihak MPT.

Beginilah nasib bangunan Bazar Kuala Semantan. Suatu ketika dahulu tempat bangunan ini didirikan, merupakan sebuah paya dan berbelukar kecil. Penduduk sekitar ada yang menanam jagung, pisang dan sebagainya. Setelah ditimbus dengan pasir yang disedut dari Sungai Pahang, dijadikan kawasan komersil.

Malangnya, impian pihak tertentu ingin menjadi bazar ini seperti Pekan Rabu Alor Setar di Kedah tidak kesampaian. Paling menyedihkan ada di kalangan kakitangan MPT sendiri memberitahu ada yang tidak pernah memijak Bazar Kuala Semantan ini. Tidak hairanlah kalau ada di kalangan warga Temerloh tidak tahu di mana lokasi bangunan unik ini.