Saturday, June 19, 2010

Maruah Pada Sekeping Resit

Beberapa hari lalu, adik ipar saya menerima arahan daripada pemilik rumah yang disewanya supaya keluar ekoran tidak bayar sewa selama tiga bulan berturut-turut. Bagaimanapun, adik ipar saya berkeras dan memberitahu dia tidak pernah tidak membayar sewa setiap bulan.

Peristiwa itu mengingatkan apa yang pernah berlaku pada saya lebih 10 tahun lalu. Saya juga nyaris ‘di halau’ pemilik rumah yang saya sewa di Kampung Klang Gate, Selangor ketika itu. Pemilik rumah mendakwa saya tidak bayar sewa pada bulan berkenaan. Padahal , saya sendiri ke rumahnya dan menghulur wang sewaan ke tangannya setiap bulan.

Mati-mati dia mendakwa tidak menerima wang tersebut. Anaknya turut masuk campur dan menyebelahi ibunya ketika bertandang menagih sewa. Oleh kerana satu lawan tiga, saya terpaksa mengalah lebih-lebih lagi bila beberapa jiran memanjangkan leher untuk mendengar.

Nasib baik, masih ada baki wang gaji dan dengan berat hati terpaksa bayar untuk kali kedua. Namun, jauh di lubuk hati menyumpah seranah. Sekaligus, terdetik ‘tidak halal’ dunia akhirat makan wang yang didakwanya tidak terima itu.


Kejadian itu menjadi iktibar kepada saya sehingga kini sering berpesan kepada anak-anak jika tinggal di rumah sewa. Saya juga lebih berhati-hati jika melibatkan wang terutama sewa rumah. Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Oleh itu saya sendiri yang membeli ‘buku resit bayaran’ dan setiap kali membayar sewa, saya minta tuan rumah tandatangan pada resit tersebut sebagai bukti saya telah membayar sewa.

Situasi begini sudah tentu janggal atau terbalik. Lazimnya pemilik rumah yang mengeluarkan resit bayaran kepada penyewa. Seperti kita membeli sesuatu barang, pekedai yang mengeluarkan resit, bukan pembeli yang perlu berbuat demikian.

Tetapi berbeza dengan saya kerana saya yang memberi resit kepada pemilik rumah sewa. Pada saya, biarlah keluar belanja tidak sampai RM2 untuk menyediakan buku resit, kerana maruah diri saya ada pada setiap helaian resit tersebut.

Saya tidak mahu dimalukan lagi! Itu sebabnya saya mengatakan, maruah saya serta keluarga ada pada helaian resit. Setelah dikeluarkan dan pemilik rumah sewa menurunkan tandatangan, bermakna dia sudah menerima wang. Perkara berbangkit jika timbul, bukti ada di tangan saya.

Tidak ramai pemilik sewa rumah yang mengeluarkan ‘perjanjian bertulis’ lebih-lebih lagi di bandar-bandar kecil. Pengalaman saya beberapa tahun menyewa rumah di Kuala Lumpur, hanya sebuah rumah yang mengeluarkan perjanjian bertulis dan matikan setem. Yang lain kebanyakan ‘atas percaya’ sahaja.

Samalah seperti kes adik ipar saya itu. Terlalu percaya dengan pemilik rumah dan setiapkali membayar sewa, hanya wang bertukar tangan. Kes ini berbangkit kerana selama tiga bulan berturut-turut dia membayar sewa pada anak tuan rumah. Saya tidak mahu menuduh, jika benar anak tuan rumah ‘songlap’ wang, tanggunglah sendiri akibat tidak dapat hendak kemukakan bukti.

Mahu tidak mahu sama ada cari wang untuk bayar sewa selama tiga bulan, atau kemas barang pindah ke rumah lain. Apapun, maruah diri telah tercemar, kerana pemilik rumah sudah uar-uarkan pada penyewa lain mengenai tiga bulan tertunggak.

No comments:

Post a Comment