KIRA-KIRA jam 11.19 malam 3hb Oktober lalu, saya dikejutkan dengan Sistem Pesanan Rengkas (SMS) daripada Rodly Fadly, seorang rakan yang juga pemilik penerbitan Teguh Ringgit Publishing House, Taman Seri Gombak. Oleh kerana, pada malam itu saya tidur awal dari biasa disebabkan kepala berdenyut-denyut ekoran pada siangnya bangun awal berniaga di Pekan Sehari Temerloh. Sakit kepala berpunca pada hari Sabtu saya berpanas kerana menyertai sukaneka Perjumpaan Raya Rodong-Rodong Facebook Temerloh United (TU) buat pertama kalinya di Dataran Temerloh.
Oleh kerana kepala agak berat saya biarkan jeritan yang menandakan kemasukan mesej baru itu buat seketika . Bagaimanapun, hati saya bagai didesak supaya mengetahui kandungan SMS yang dihantar itu. Setelah menekan punat telefon terpancar ‘rakan kita samsuri roslan meninggal ptg tadi’, saya terdiam seketika sebelum melafaz ‘inalillahirojiun’.
Sebenarnya saya tidak terkejut sangat kerana berita Samsuri diserang strok sudah diketahui melalui laman Facebook adik beliau Hashim Roslan lebih kurang tiga minggu lalu. Saya juga menghantar pesanan ke ‘dinding’ Hashim sekiranya ada perkembangan terkini segera hubungi saya sebagaimana nombor telefon yang disertakan.
Antara saya dengan Samsuri juga baru kira-kira sebulan sebagai rakan Facebook. Sedangkan sudah lebih lima bulan saya ‘add’ allahyarham, sehingga pernah saya beritahu Hashim meminta abangnya layari Facebook dan terima saya sebagai rakan untuk memudahkan berhubung.
Kebetulan nombor telefon individu yang menghantar SMS itu tidak termasuk dalam senarai simpanan menyebabkan saya menghubungi nombor berkenaan. Setelah mendengar suara barulah saya tahu Rodly, seorang rakan yang juga bekas majikan sewaktu saya diberi tanggungjawab sebagai editor Majalah Variasi beberapa tahun lalu.
Setelah berbual lebih kurang lima minit saya berpesan kepada Rodly sekiranya dia mengziarahi arwah di Meru, sampaikan salam takziah saya kepada keluarga allahyarham. Saya yakin Rodly pasti akan menziarahi allahyarham walaupun sudah jauh malam.
Sebaik saja memutuskan talian dengan Rodly saya terus menghidupkan laptop dan memasuki laman Facebook Hashim. Tujuan saya untuk mensahihkan makluman yang diberitahu Rodly tadi. Ternyata benar pada dinding tertulis; “Alfatihah, abg long@samsuri roslan telah kembali ke rahmahtullah, skg jenazah masih brada dhospital pantai, bangsar dan akan dbawa pulang ke no.8, jalan restu, tmn seri puteri meru.”
Dalam pada itu saya menerima satu lagi SMS daripada Pengurus Besar syarikat akhbar Mingguan Perdana Zulkafli Wahab kira-kira jam 11.32 malam memaklumkan perkara sama. Saya membalas dengan memberitahu sudah mendapat khabar daripada Rodly.
Kelewatan saya menerima berita pemergian allahyarham disebabkan pada sebelah petang hanya anak-anak mengguna laptop. Kepala saya terlalu sakit sehingga sebaik saja ke rumah kira-kira 2:30 petang, saya berbaring dan tidak sedar bila terlelap. Hampir 6:00 petang baru tersedar, itupun kepala masih berdenyut-denyut.
Penghantaran SMS daripada Zulkifli menyakinkan saya dia bersama Rodly pasti akan menziarahi keluarga allahyarham pada malam itu juga. Pengalaman saya bersama mereka berdua sewaktu di Kuala Lumpur dulu, pantang mendengar rakan-rakan menerima musibah terutama kematian, akan berusaha menjenguk walaupun sudah jauh malam.
Telahan saya tepat kerana pada besoknya Zulkafli telah menghubungi saya dan memberitahu telah mengunjungi keluarga allahyarham sekitar jam 2:00 pagi. Walaupun dia tidak memberitahu dengan siapa, tetapi tetap yakin bersama Rodly.
Pemergian Samsuri buat selama-lamanya bererti seorang lagi rakan menghadap Yang Maha Esa. Daripada DIA kita datang, kepada DIA kita dikembalikan. Kira-kira dua bulan lalu, Zaiton Ahmad yang juga rakan media dan sama-sama berkerja di Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd (KKSB) sewaktu di Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr. Ismail meninggalkan kami semua.
Saya masih ingat sewaktu di KKSB, allahyarham bermula sebagai Pembaca Pruf bersama Nuri Supian (sekarang editor Mingguan Wanita). Sewaktu KKSB menerbitkan Mingguan Watan dua kali seminggu, allahyarham merupakan salah seorang di Jabatan Editorial. Ketua Pengarang ketika itu Mohd Khairune Ali pemilik syarikat Mohd Khairune Sdn Bhd (MKSB) yang menerbitkan Akhbar Mingguan Warta Perdana di Taman Seri Gombak sekarang.
Apabila allahyarham menjadi warga kerja Mingguan Watan, menyebabkan antara kami berkawan lebih rapat. Malah ada assignment tertentu kami ditugaskan bersama untuk membuat liputan terutama parti pembangkang.
Antara assignment yang masih segar diingatan sewaktu membuat liputan di Markas Pas Sungai Gau Temerloh. Saya diarah ke Temerloh kerana tahu lokasi Sungai Gau sekaligus rumah mentua saya di Paya Pulai, yakni tidak jauh dari tempat assignment itu. Manakala rumah keluarga Samsuri di kawasan Jengka.
Kalau tidak silap saya antara penceramah pada malam itu Haji Hadi Awang (sekarang Datuk dan Presiden Pas). Sewaktu sampai sekitar jam 8:00 malam pengikut-pengikut parti berkenaan sudah ramai. Kami berjalan masuk dengan allahyarham di hadapan saya mengekorinya. Tiba-tiba seorang lelaki berjubah menahan allahyarham dan tidak membenarkan masuk. Saya agak terperanjat dengan situasi yang tidak disangka-sangka itu.
Allahyarham memberitahu beliau dan saya adalah wartawan dan kedatangan kami untuk membuat liputan. Malangnya dengan angkuh lelaki itu tetap tidak membenarkan kami masuk. Kami tidak tahu apa puncanya, tetapi dapat mengagak dan mungkin dia mendapat arahan supaya tidak membenarkan wartawan WATAN membuat liputan. Sebelum itu, pernah juga kami diusir dan dimarahi pihak tertentu terutama parti pembangkang kerana menganggap kami mewakili akhbar parti kerajaan iaitu Barisan Nasional.
Dilema sewaktu bertugas sebagai wartawan mingguan Watan begitu tercabar kerana ada di kalangan individu sama ada UMNO, PAS mahupun DAP kurang senang dengan kami. Saya sendiri pernah menghadiri untuk liputan mesyuarat UMNO Bahagian, dianggap sebagai menyebelahi parti PAS. Bila menghadiri ceramah PAS dituduh pula talibarut UMNO. DAP pun sama menganggap mengutamakan laporan berita-berita BN. Walaupun begitu kami tidak pernah mengalah dan berita tetap sampai ke tangan Editor.
Allahyarham bertanya saya apa yang harus dibuat jika tidak dibenarkan masuk. Saya minta allahyarham bersabar, ada jalan membolehkan kami masuk. Padahal, saya sendiri tidak tahu apa yang harus dilakukan jika tidak dibenar masuk. Siapa yang hendak ambil gambar, kerana pada waktu sama saya bertindak sebagai jurugambar.
Sebenarnya saya kenal dengan lelaki dari kampung Paya Kecil, berusia lingkungan sekitar 50’an yang bertindak sebagai pengawal itu, tetapi dia tidak mengenali saya. Dalam berkira-kira mencari jalan hendak masuk, tiba-tiba saya teringat Tengku Puji orang kuat PAS dari Raub. Kebetulan lebih kurang sebulan sebelum itu, saya ditugaskan membuat liputan ‘kawasan Parlimen’ Raub iaitu salah satu segmen dalam akhbar Mingguan Watan. Kesempatan itu juga memberi berpeluang saya ke rumah Tengku Puji sekaligus menemuramah beliau.
“Ada nampak Tengku Puji tak, kalau boleh saya nak berjumpa dengan dia sekejap,” saya ingin tahu, sekaligus mohon bantuannya untuk menemui Tengku Puji. Malangnya pengawal itu menjawab dengan angkuh “saya tidak kenal dia, minta maaf!” Jawapan itu membuatkan saya dan allahyarham saling berpandangan. Harapan tipis untuk membuat liputan ceramah pada malam itu.
Tiba-tiba bahu saya ditepuk seseorang dari belakang. Ketika saya menoleh, rupa-rupanya Tengku Puji. Beliau memeluk saya sambil berkata, ‘Ana ingat enta tidak datang!” Setelah melepaskan pelukan saya memperkenalkan allahyarham kepada beliau.
Sempat saya melihat wajah pengawal tadi merah padam. Timbul persoalan dalam minda saya, apakah dia tidak mengenali orang kuat PAS itu. Apapun saya biarkan dia setelah kami diajak Tengku Puji minum di sebuah gerai di luar kawasan ceramah.
Setelah lebih kurang 20 minit kemudian, saya bersama allahyarham dan Tengku Puji masuk ke kawasan ceramah dan mendapati pengawal tadi sudah tidak kelihatan lagi.
Apapun kini allahyarham sudah berpindah ke alam lain untuk menemui Allah. Terlalu banyak kenangan dan kami juga sering makan, minum malah naik bas bersama dari Perhentian Bas Kelang ke Taman Tun Ismail ketika itu. Dia juga pernah tidur di rumah saya sewaktu saya menetap di Taman Melati Setapak.
Melalui ini saya berdoa semoga roh beliau dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama orang-orang beriman. Al-fatihah
Arwah SHAM adalah insan yg sentiasa cool,rilex dan akan sentiasa tersenyum.Tenangnya teman ini hingga susah utk membuat perbandingan.
ReplyDeleteJadi tidak hairanlah kalau kawan2 serta kenalan nya merasa kehilangan nya.
AL FATEHAH....