Thursday, September 30, 2010
Perjumpaan Raya TU vs Gegaria Metro
KALAU nak kira siapa layak menggunakan Taman Awam Kubang Gajah, Bukit Angin Temerloh, jawabnya tentulah program Perjumpaan Raya Rakan Facebook Temerloh United (TU). Ini kerana, surat rasmi telah pun dihantar ke Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) hampir dua bulan lalu.
Manakala di laman sosial TU, mula diuar-uarkan selepas beberapa hari mesyuarat pertama di Hotel Jelai pada pertengahan Jun lalu. Ini bererti semua ahli-ahli TU sedia maklum lokasi serta tarikh yang bakal diadakan.
Sejak itu, Taman Awam Kubang Gajah sudah menjadi bualan hampir setiap hari di kalangan ahli-ahli TU. Malah ada yang merantau jauh dan sudah lama tidak pulang ke Temerloh, tertanya-tanya lokasi Kubang Gajah, ekoran lebih ramai tahu lokasi Bukit Angin.
Maklumlah taman tersebut baru saja dibangunkan MPT lebih kurang setahun lalu. Sebelum ini, merupakan paya terbiar yang ditumbuhi belukar dan air bertakung sekiranya hujan lebat.
Apapun bukan taman berkenaan hendak dipertikaikan, sebaliknya sikap pihak tertentu yang memilih bulu. Mentang-mentang Temerloh United belum dikenali ramai, menyebabkan permohonan kumpulan tersebut untuk menggunakan Taman Awam Kubang Gajah pada Sabtu 2hb Oktober 2010 sebagai perjumpaan pertama dengan rakan-rakan seluruh negara tidak kesampaian.
Walaupun TU tidak gah seperti akhbar Harian Metro, apatah lagi baru dibangunkan kira-kira empat bulan lalu, namun sudah mencecah hampir 4,000 ahli. Lebih membanggakan kumpulan Rakan Facebook Temerloh United difahamkan satu-satunya yang mengambil langkah mendaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dan bakal dikenali sebagai Pertubuhan Temerloh Bersatu (PTB).
Buat masa ini memanglah ramai memandang hanya sebelah mata. Mereka tidak yakin dan menganggap Temerloh United sama seperti kumpulan-kumpulan sosial lain di Facebook. Sabagai makluman pihak-pihak tertentu, ramai di kalangan ahli-ahli TU terdiri daripada individu berkedudukan dalam kerajaan mahupun badan-badan NGO di Pahang.
Berikutan hebahan Gegaria Harian Metro akan menggunakan Taman Awam Kubang Gajah pada hari yang sama dengan TU, membuatkan ramai ahli-ahli TU terkejut. Ada mempertikai kewibawaan MPT meluluskan kepada pihak berkenaan malah ada yang menyoal, bagaimana boleh memberi kelulusan bertindih?
Walaupun TU tahu, akhbar berkenaan menggunakan popularitinya secara iklan setiap hari, membuat hebahan melalui TV dan radio terlebih dahulu sebelum memohon permit. Namun langkah pantas pentadbir TU memohon permit menggunakan Dataran Temerloh sebagai lokasi ganti harus diberi pujian.
Untuk apa berbalah kerana nasib mentimun semua orang tahu, tidak akan menang jika bergolek dengan durian. Oleh itu beralah adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah. Perlu ingat, beralah bukan bererti kalah. Sebagai kumpulan baru hendak bertapak, jadikan situasi tersebut sebagai pengalaman serta ikhtibar untuk sentiasa berhati-hati pada hari-hari mendatang.
Label:
Temerloh United
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment