Wednesday, October 13, 2010

Syabas Julfekar



JULFEKAR Ahmad Shah merupakan antara komposer yang tidak asing lagi di negara kita. Lelaki gemar berkepala botak berusia 46 tahun ini boleh dianggap berani membuat pembaruan setiap hasil karya seninya. Terkini Julfekar cuba mencungkil bakat penyanyi baru dari Timor Leste, Aida Pereira Belo sekaligus bernaung di bawah syarikat rakaman miliknya Millennium Art Sdn. Bhd.

Berpengalaman lebih dua dekad sebagai komposer dan mencipta pelbagai lagu untuk penyanyi popular termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Azharina, Francisca Peter, Elly Mazlein, Farahdhiya dan Farahwahida.

Julfekar terlibat juga mencipta lagu-lagu tema untuk filem dan drama tempatan seperti ‘Anaknya Sazali, Laila Isabella, Berlari Ke Langit, Cinta Luar Biasa, Cinta Terakhir & Sepi, Kutub Utara Kutub Selatan, Cikgu Siti, Ika, Menerjah Awan, Kembali Bertaut, Seadanya Sayang, Harlina, Simbiosis, Datin’s Dairies, Jangan Simpan Tangismu, Ain RTB Brunei, Bila Rama-rama Terkopak Sayapnya, Jelatang, Dari K.Lumpur Ke Queenstown, Kasih Iftitah, Siong dan sebagainya.

Selain itu Julfekar merupakan pengarah muzik filem ‘ Laila Isabella, Berlari Ke Langit dan Cinta Luar Biasa. Manakala teater ‘Lantai T.Pinkie, Perempuan Seorang Leftenan Inggeris, Belum Selesai, Tomodachi dan Sungai Mengalir Lesu.’

Saya mengenali Julfekar sewaktu bertugas sebagai Editor Majalah Novel di Mohd Khairune Sdn Bhd (MKSB) Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor sekitar 1995 hingga 2003. Ketika itu selain Majalah Novel, MKSB juga menerbit Majalah Ibubapa, Majalah Cermin, Majalah Bintang-Bintang, Bola Perdana dan Warta KL. Manakala Akhbar Mingguan Perdana dan Majalah Wawancara berpejabat di Taman Melawati.

Oleh kerana Majalah Bintang-Bintang berbentuk hiburan, Julfekar datang membawa artis bawah naungan syarikatnya atau artis yang merakam lagu-lagu ciptaannya untuk sessi fotograpi di studio MKSB. Begitu juga dengan Majalah Novel yang mempunyai ruang hiburan dan ulasan novel. Biasanya ulasan novel saya minta golongan profesional seperti peguam, tokoh korporat, doktor dan paling mudah artis.

Bila artis datang untuk sessi fotografi, saya tumpang sekaki dengan meminta artis untuk mengulas sesebuah novel. Dalam kata lain, saya minta jurufoto merakam gambar artis beraksi sedang membaca novel karya penulis-penulis terkenal tanahair. Kemudian novel itu diberi kepada artis berkenaan untuk dibaca dan membuat ulasan rengkas berdasarkan paparan cerita dalam novel yang dibacanya itu.

Bagaimanapun, kebanyakan artis memberi alasan tidak ada masa membaca. Mereka menyerahkan balik naskhah novel berkenaan dan meminta saya mengulas sendiri. Disebabkan ramai artis memberi alasan hampir sama, akhirnya saya terpaksa membaca mana-mana novel terlebih dahulu. Kemudian membuat ulasan sendiri dan menjelaskan kepada artis tujuan gambar mereka dirakam dalam aksi membaca novel.

Ada yang melihat cara itu menipu pembaca. Ini kerana, artis langsung tidak membaca apatah lagi mengulas sesebuah novel. Sebaliknya setiap bulan ada saja artis yang disiarkan dalam Majalah Novel artis beraksi sedang kusyuk membaca novel yang kadangkala tebalnya lebih dua inci. Saya sebagai editor sekaligus menyelaras semua artikel Majalah Novel yang mengandungi 112 mukasurat secara solo, ada baiknya melakukan cara itu daripada memberi artis mengulas sesebuah novel yang entah bila baru boleh menerima ulasannya. Perlu diingat sesebuah majalah atau penerbitan ada ‘dateline’ dan setiap editor mahupun wartawan perlu mematuhi arahan tersebut.

Berdasarkan pengalaman, lebih 10 naskhah novel yang diberikan pada artis pujaan ramai untuk ulasan, sampai ke hari ini novel-novel tersebut tidak pulang ke pangkuan saya. Bila secara tidak sengaja bertemu dengan artis-artis tersebut ternyata ada yang masih ingat dan selamba berkata,” saya dengan abang masih ada berhutang.” Hutang yang dimaksudkan bukan wang, tetapi naskhah novel yang diberikan untuk diulas.

Mengenai Julfekar, walaupun saya tidak kenal rapat tetapi agak mesra kerana diajuga ahli Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan sering juga kami bertemu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam majlis-majlis tertentu. Dalam kata lain dia agak sinonim dengan DBP kerana sering terlibat dalam kegiatan sastera seperti worksyop penulis kreatif, diskusi buku, dialog sastera, seminar bahasa serta baca puisi.

Berbalik mengenai percubaannya mencungkil bakal penyanyi luar negara boleh dianggap satu pembaruan. Sebelum ini penyanyi kita dipancing komposer luar dan ada yang merakam lagu di negara orang terutama Indonesia. Pembaruan ini juga boleh dianggap mempromosi lagu tempatan yakni Bahasa Malaysia keTimor Leste.

Album berjudul ‘Meu Amor (Cinta) nyanyian Aida itu mempunyai 10 lagu. Tujuh lagu dalam bahasa Tetum dan selebihnya berbahasa Melayu. Aida juga berduet dengan penyanyi baru Min Yasmin dan Julfekar sendiri turut berduet dengan Aida menerusi lagu dalam bahasa Tetum, Domain Mutin (Masih Merindu).

Bercakap mengenai album tersebut, Julfekar yang berasal dari Sabah ini memberitahu dia mengenali Aida imelalui Md Zaki harry Susanto yang bertugas sebagai anggota polis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPOL) merangkap pegawai peribadi Perdana Menteri Timor Leste, Xanana Gusmou.

Mereka banyak berbincang menerusi telefon dan juga internet. Sebagai langkah permulaan Julfekar telah menghantar 12 lagu ke sana dan 10 lagu terpilih. Atas sokongan pihak kedutaan Malaysia di sana dalam usaha mengeratkan hubungan dua negara, satu majlis pradengar album Aida diadakan di pejabat Kedutaan negara kita pada 23 September lalu.

Sejujurnya saya amat berbangga dengan perkembangan terkini Julfekar. Syabas!

No comments:

Post a Comment