BAB 1
DARI TEROI KE KUALA LUMPUR
WALAUPUN sudah memasuki fasa alam remaja, namun tidak terfikir langsung suatu
hari nanti saya akan menjadi salah seorang penghuni kota kosmopolitan Kuala Lumpur.
Maklumlah hidup di kampung serba kekurangan sekitar tahun 60an, tidak apa yang
dapat dibanggakan. Sekaligus pemikiran juga tidak dapat berkembang dengan
sempurna ekoran celik mata hanya lihat petak-petak sawah saujana mata
memandang.
Penduduk tempat
lain, mungkin seronok lihat sawah padi. Bagi saya yang sudah lali, tentu tidak
ada apa-apa keistimewaan lagi. Bagaimanapun setelah dewasa, barulah saya rasa
kehilangan apabila segala nostalgia zaman kanak-kanak sudah tidak dapat
berulang lagi, dalam kata lain sudah ditelan arus kemodenan.
Apa tidaknya,
zaman membajak menggunakan kerbau sudah lenyap dari pandangan. Malah hendak
melihat kerbau pun sukar kecuali gambar dalam buku atau di kaca televisyen.
Dulu, hampir
setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya seekor kerbau untuk membajak.Memelihara
kerbau tidak semudah disangka. Selain membina bangsal yang merupakan rumah
kerbau, setiap pagi haiwan ternakan itu perlu diberi makan rumput.
Tuan kerbau akan
mencari rumput dengan memotong yakni menyabit di batas-batas sawah atau di
pinggir kampung. Rumput-rumput yang telah disabit akan disusun dalam pengandar,
sejenis alat khas diperbuat daripada buluh.
Sekali sabit
untuk makanan sekurang-kurangnya dua hingga tiga hari bagi seekor kerbau.Ada
juga dikalangan perternak lebih suka menambat kerbau peliharaan di kawasan
berumput.
Biasanya akan
dibiarkan beberapa jam terutama di awal pagi. Kerbau yang ditambat tali pada
hidung dan tumang sebagai kayu untuk memacak di tanah. Kerbau tidak akan
terlepas selagi tidak ada orang mencabut tumang itu.
Seminggu sekali
pula akan dibawa mandi di parit atau di kawasan berair. Ada sejenis alat
digunakan untuk menyiram air ke badan kerbau. Alat yang diperbuat daripada
buluh sebagai pemegang dan kepingan zink sebagai penceduk air.
Lebih mudah
membuat alat ini dengan memaku tin milo kosong atau apa-apa bekas kecuali
daripada kertas bersaiz lebih kurang botol minuman 1.5 ml pada sebatang kayu
sebagai pemegang.
Dengan
menggunakan alat ini lebih mudah menceduk air untuk menyimbah ke badan kerbau
berbanding mengguna baldi atau timba.Kerbau juga perlu dibiarkan berkubang
dalam lumpur untuk menyejukkan badan.
Lagi pekat lumpur
lagi seronok haiwan berwarna gelap ini berkubang. Tidak hairanlahungkapan
peribahasa melayu ‘seekor kerbau bawa lumpur, habis semua terpalit’. Maknanya
kalau seekor kerbau berkubang dalam lumpur, kemudian pergi ke arah sekawan
kerbau lain, pasti lumpur yang lekat pada kerbau seekor itu akan terpalit pada
kerbau-kerbau lain.
Maksud peribahasa
itu, kalau dalam satu-satu kumpulan atau persatuan, walaupun hanya seorang buat
onar, yakni melakukan perkara tidak baik, pasti habis satu kumpulan turut
menerima padah.Masih segar diingatan saya setiapkali selepas musim mengambil
padi.
Oleh kerana pada
waktu itu musim padi hanya setahun sekali, menunggu musim akan datang terasa
begitu lama, yakni lebih kurang enam bulan. Ketika itu tanah sawah kering
kontang dan ditumbuhi rumput.
Pemilik kerbau
biasanya akan melepas kerbau peliharaan mereka untuk berkawan. Kawanan kerbau
ini kadang-kadang melebihi 20 hingga 30 ekor. Bergerak bebas sambil meragut
rumput dan mengawan selama lebih kurang tiga atau empat bulan.Kawanan kerbau
ini akan bermandi lumpur di satu kawasan tengah sawah yang dikenali Aloq Makau
tidak jauh dari kampung Batas Ubi.
Jika kampung
tidak berpagar, kadang-kadang kumpulan kerbau ini masuk hingga ke laman rumah
pada sebelah malam. Kawasan rumah saya juga pernah beberapakali dimasuki
kerbau-kerbau berkenaan. Untuk mengelaknya, ayah mencari minyak kibas yang
direndam pada kain perca. Kemudian kain itu diletakkan pada paku di batang
pokok kuini tepi sawah. Selepas itu tiada lagi kerbau berani mendekati rumah
kami.
Menurut ayah, bau
minyak kibas seperti bau harimau. Itu sebabnya kerbau tidak berani lagi
memasuki kawasan rumah walaupun tidak berpagar. Saya lihat sendiri, satu hari
kumpulan kerbau datang tidak jauh dari rumah saya seolah-olah tidak senang
hendak meragut rumput. Sekejap-sekejap mengangkat kepala dengan hidung kembang
kempis, seolah-olah menghidu sesuatu. Kemudian terus beredar dari situ menghala
ke tengah sawah.
Bagaimanapun,
berbeza cara memelihara kerbau terutama di kawasan Chenor, Temerloh dan
beberapa kampung lain di Pahang. Mereka memelihara bukan untuk membajak. Itu
sebabnya pemilik haiwan ini membiarkan bebas secara berkumpulan. Haiwan
berkenaan akan merayau-rayau dalam kampung atau belukar berhampiran mencari
makan.
Apabila hendak
menjual seperti menjelang raya atau hendak mengadakan kenduri kahwin misalnya,
barulah pemilik menangkap kerbau mereka. Walaupun bercampur dengan kerbau orang
lain berbulan-bulan lamanya, tetapi tetap mengenali yang mana kerbau milik
mereka.
Cuma cara melepas
bebas ini ada kalanya mengundang bahaya apabila kawanan kerbau itu mencari
makan di pinggir kampung terutama pada waktu malam. Kumpulan kerbau akan
melintas atau berehat atas jalan. Pernah berlaku beberapa kemalangan terutama
penunggang motosikal ekoran tidak sempat mengelak kumpulan kerbau tersebut.
Selain berehat, pada kebiasaannya kumpulan haiwan ini akan meninggalkan najis
bertaburan sehingga jijik pandangan.
Perlu diingat,
tiada kerbau bererti rentetan mengerjakan sawah secara tradisi juga ikut
terkubur. Generasi kini termasuk anak-anak saya sudah tidak kenal lagi
peralatan membajak seperti tenggala, sisir besi, tenggiling mahuun anor atau
loghat utara anoq yakni kereta kerbau.
Tenggala
digunakan untuk membajak apabila tiba musim hujan. Biasanya, setelah
petak-petak sawah digenangi air, petani akan memulakan membajak. Jika membajak
ketika tanah sawah kering sudah tentu meletihkan kerbau kerana tanah cukup
keras. Apa tidaknya, sawah diusahakan setahun sekali. Tanah merekah dan keras
seperti batu. Rumput pula panjang, sehingga ada melebihi paras lurut orang
dewasa.
Tidak seperti
sekarang padi di tanam setahun dua kali. Setengah tempat lima kali dua tahun.
Rumput belum sempat panjang air dilepaskan mengikut jadual yang ditetapkan
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). Dulu hanya mengharap musim hujan
semata-mata. Namun, nostalgia ketika menanam padi setahun sekali lebih seronok
jika dibandingkan dua kali setahun seperti sekarang.
Membajak ketika
sawah berair, tanah lembut sekaligus memudahkan kerbau menarik tenggala. Alat
yang tidak diketahui siapa pencipta ini amat unik. Walaupun serba kekurangan,
namun mereka dapat mencipta untuk memudahkan kerja-kerja di sawah.
Sisir pula
diperbuat daripada bilah-bilah besi seperti sikat rambut, tetapi bilahnya agak
jarang, lebih kurang sejengkal orang dewasa setiap satu. Panjang sisir lebih
kurang satu meter setengah. Biasanya sisir digunakan setelah selesai membajak.
Seperti tenggala,
kerbau akan menarik sisir perlahan-lahan. Segala rumput atau tumbuhan pada
tanah yang telah dibajak akan sangkut pada mata sisir, sekaligus menghancurkan
tanah yang dibajak menjadi lumpur.
Pengendali sisir
di belakang kerbau memerlukan latihan. Jika tidak pandai, sudah pasti tidak
dapat mengagak berapa banyak rumput untuk dijadikan longgokan setiap satu.
Seperkara lagi jika terlampau banyak akan menjadi berat sehingga menyukarkan
kerbau menariknya.
Pada kebiasaannya
setiap longgokan dalam bentuk memanjang, yakni mengikut saiz sisir. Longgokan
ini berbaris dalam petak sawah. Istilah rumput atau longgokan itu dipanggil
‘kapaq’ kalangan petani di kampung saya.
Setelah dibiarkan
beberapa minggu, kapaq yang terendam itu akan menaikkan aroma ‘masam’,
dikumpulkan di satu tempat. Sudah menjadi kelaziman, petani melonggok atau
meletak disepanjang batas sawah. Cara ini lebih mudah, daripada membuang atau
memindah ke tempat lain.
Ada petani
‘meramu’ yakni mengutip segala bahan tidak terpakai dalam sawah berair untuk
diletakan atas batas sawah. Ada juga menggunakan upih pinang yang dibentuk
seperti perahu untuk mengisi kapaq, sebelum ditarik untuk melonggok ke
batas-batas sawah. Malah ada menggunakan ‘palong’ diperbuat daripada papan
seperti sampan. Mengguna palong lebih banyak kapaq dapat dikumpul, sekaligus
menjimat masa berulang alik ke tempat longgokan kapaq.
Setelah keadaan
sawah bersih, sekali lagi kerbau ambil tempat untuk menghambakan diri kepada
tuannya. Kali ini menarik tenggiling untuk meratakan permukaan tanah sawah.
Kerja-kerja meratakan tanah ini pada kebiasaannya sebelum menanam padi
dimulakan. Manakala air pada petak sawah hendaklah dikurangkan sehingga paras
suku tenggiling.
Tenggiling
diperbuat daripada batang kayu yang diukir lima segi seperti buah belimbing.
Panjang alat ini dalam lingkungan tiga meter. Bila ditarik, tenggiling yang
agak berat itu akan bergolek sekaligus dapat meratakan tanah sawah berlumpur.
Kerja-kerja seterusnya
adalah menanam. Proses ini pada kebiasaannya dilakukan secara gotong-royong
atau lebih dikenali sebagai ‘berderau’. Sistem berderau tidak memerlukan wang
untuk membayar upah pekerja. Apa yang perlu, pemilik sawah mengganti balik
mengikut berapa hari orang datang berderau di tanah sawahnya.
Maknanya, jika 10
orang datang menanam di sawahnya, dia juga akan mengganti balik kepada 10 orang
itu mengikut jadual yang dipersetujui bersama. Untuk pemahaman lebih jelas, 10
orang yang datang berderau itu mungkin hanya sehari setiap seorang. Bermakna
dia akan berderau hanya satu hari bagi setiap orang.
Sistem semaian di
kampung saya di daerah Yan, tidak sama di daerah Krian, Perak Utara. Di sana
petani menggunakan lumpur, diletakan pada daun pisang atau plastik sebagai
alas. Lumpur diratakan kemudian ditabur dengan benih padi. Ditutup dengan
rumput kering untuk mengelak daripada dimakan burung.
Setelah cambah
dan menghijau lebih kurang sejengkal tinggi, semaian itu dialih di petak sawah.
Dibaja sehingga subur setinggi paras lutut orang dewasa, barulah semaian itu
dicabut untuk ditanam di petak-petak sawah yang sudah siap dibersihkan.
Di kampung saya
benih padi ditabur terus di petak khas sawah atau lebih dikenali sebagai 'petak
semaian'. Sama seperti di Perak, setelah lebih kurang setinggi lutut orang
dewasa, barulah dicabut dan diikat mengikut saiz yang ditetapkan.
Mencabut anak
semaian juga ada caranya. Di Perak menggunakan pisau sebelum menarik anak
semaian. Di Kedah setelah dicabut kira-kira secekak, mereka memukul akar
semaian ke telapak kaki. Melakukan cara itu untuk membuang tanah yang melekat
pada akar semaian. Pada kebiasaanya golongan wanita melakukan kerja-kerja
mencabut semaian dan menggunakan sistem berderau juga.
Pendek kata semua
kerja-kerja sawah bermula proses menanam hingga mengerat secara berderau
(gotong-royang). Sistem ini amat praktikal kerana pemilik sawah hanya
menyediakan makanan berupa kuih muih atau nasi lemak pada sebelah pagi,
manakala biskut krem kraker atau istilah tempatan 'roti empat segi' yang
dicicah (celup) kopi O atau teh O untuk sesi sebelah petang.
Menanam juga
dimonopoli golongan wanita. Dengan menggunakan alat yang dipanggil ‘kuku
kambing’, mereka boleh menanam satu atau dua relung jika berderau 10 orang.
Berderau pula tidak ada had, lagi ramai lagi cepat dapat di tanam. Cuma timbul
masalah hendak kumpul lebih 10 orang untuk satu-satu masa apabila tiba musim
menanam serentak dalam satu-satu kampung.
Berderau seramai
10 hingga 20 orang biasanya memerlukan dua atau tiga lelaki untuk menabur
semai. Tabur semai merupakan pekerjaan paling mudah. Mereka hanya perlu
mengambil lebih kurang secekak anak padi, kemudian meletakan dilaluan orang
menanam.
Menanam pada
kebiasaannya secara berundur. Tangan kanan memegang hulu kuku kambing sambil
mencekak sedikit anak semaian. Tangan kiri akan menarik sedikit atau lebih
kurang sebesar ibu jari, sebelum meletak akar semaian pada mata kuku kambing
bermata seperti huruf U, kemudian terus membenam ke tanah lumpur.
Cara sama bermula
sebelah kanan ke kiri. Anak padi ditanam jarak sejengkal antara satu sama lain
dengan lima tanaman dalam satu baris. Setelah berundur setapak ulangi cara sama
sehingga habis satu petak sawah.
Begitulah
keadaannya atau cara menanam sejak turun temurun. Malangnya menanam menggunakan
kuku kambing sudah tidak dapat dilihat lagi, sebaliknya telah diganti dengan
sistem tabur terus.
BAB 2
AIS KEPAL MAT TODAK
SELESAI menanam, kebanyakkan pesawah hanya makan tidur. Selepas solat Subuh ada
yang lepak di kedai kopi atau warung di Pekan Teroi. Satu-satunya restoran
mamak bangunan baris Pusat Kesihatan Kecil arah Guar Chempedak. Seperti
biasa tarikan pelanggan ke kedai mamak kerana sarapan istimewanya roti canai.
Tidak seperti
zaman sekarang, orang Melayu sudah pandai tebar roti canai. Malah kuah kacang
dal atau kari Melayu lebih sedap daripada kuah masakan mamak. Sebelah utara
termasuk kampung saya kacang dal di panggil kacang parpu, yang merupakan kacang
popular kalangan masyarakat India. Kuih masalode, sejenis kuih masyarakat India
juga diperbuat daripada kacang parpu.
Sekali sekala
ayah bawa saya sarapan di restoran ini. Saya lebih suka makan dengan gula,
maklumlah ketika itu tidak terfikir langsung bahaya jika makan manis-manis.
Orang dewasa pun saya lihat ramai lebih gemar makan roti canai cicah gula
berbanding dengan kuah dal atau kari.
Minuman kegemaran
saya teh panas. Kadang-kadang ikut saja apa yang ayah minta. Pada waktu itu
belum popular minuman jenis tarik-tarik. Tidak hairanlah, tidak seorang
pelanggan pun di restoran itu saya lihat minta kopi atau teh tarik, semua jenis
panas-panas. Untuk cepat suam mereka tuang dalam piring yang merupakan alas
cawan. Tidak seperti sekarang kebanyakan restoran atau gerai minuman hanya
menggunakan cawan sahaja. Setelah agak-agak boleh minum, mereka hirup terus
menggunakan piring itu.
Satu lagi tepi
jalan arah ke Bukit Teroi. Pemilik gerai ini bernama Ahmad yang merupakan
penduduk setempat. Ahmad lebih dikenali dengan gelaran Mat Todak. Gerai ini
menjadi tumpuan kerana terdapatnya pelbagai kuih muih tempatan serta nasi lemak
bungkus daun pisang ikan bilis dan gulai ikan talang. Sebungkus hanya sekupang.
Makan sebungkus pun sudah kenyang kanak-kanak seperti saya. Lainlah pesawah
atau penoreh getah yang memerlukan sekurang-kurang dua bungkus sekali hadap.
Ada juga beberapa
menu untuk makan tengah hari tetapi kurang sambutan. Ini disebabkan kebanyakkan
penduduk kampung lebih gemar masak dan makan di rumah. Maklumlah penduduk Teroi
ketika itu hampir 90 peratus sebagai pesawah atau penoreh getah. Mereka sudah
terbiasa makan tengah hari paling kurang dua pinggan penuh.
Jika makan di
kedai yang hanya menggunakan pinggan leper, sudah tentu tidak cukup kenyang
sekaligus kurang bertenaga untuk kerja-kerja sawah bawah terik matahari. Begitu
juga dengan penoreh yang terpaksa mengangkat tong atau baldi susu getah yang
tidak kurang juga beratnya. Kalau kurang bertenaga, berkemungkinan sewaktu
mengangkat baldi kaki tersadung akar getah.
Bagaimanapun,
‘Bihun Sup Mat Todak’ cukup popular sekaligus merupakan tarikan utama di
gerainya. Begitu juga air bandung dan ais kacang. Kini ais kacang lebih
dikenali sebagai air batu campur atau ABC.
Ais kepal pula
menjadi kegemaran ramai terutama pelajar sekolah. Saya bersama rakan-rakan
boleh dikatakan seminggu dua tiga kali datang beli. Kebetulan ayah saya
berniaga di kantin Sekolah Kebangsaan Teroi dan kami tinggal di situ. Jarak
antara sekolah dengan Gerai Mat Todak lebih kurang dalam 500 meter. Cuma
kedudukan gerai di seberang jalan kadang-kadang membimbangkan ayah dan emak
saya ketika melintas.
Biasanya, sebelum
keluar kelas saya berjanji dengan rakan-rakan di Jalan Bukit untuk ke gerai Mat
Todak. Kalau tidak ada rakan, saya sanggup pergi bersendirian, yang penting
dapat ais kepal. Bukan sedap sangat pun, tapi seronok sedut dalam cuaca panas
ais yang berharga hanya lima duit atau lima sen itu.
Untuk membuat ais
kepal tidaklah sukar. Yang penting ada alat penyagat air batu. Dulu tidak ada
ais kuib seperti sekarang. Yang ada bungkah air batu lebih kurang empat jengkal
orang dewasa dan tebal dalam dua jengkal.
Bungkah air batu
ini akan digergaji bersaiz lebih kurang sejengkal dalam bentuk empat segi.
Ketulan inilah akan dimasukkan pada alat penyagat. Air batu yang disagat
kemudian dikepal sebesar bola sepak takraw. Kemudian tuang pemanis daripada
gula merah atau gula kabung. Jika air gula biasa diwarnakan merah supaya
kelihatan garang bila dituang pada ais kepal.
Ais kepal yang
telah siap diberi terus. Untuk mengelak daripada ais kepal itu menitis atau meleleh terpaksa sentiasa dihisap.
Sepanjang jalan
pulang dari Gerai Mat Todak ke kantin sekolah, biasanya tinggal kepalan ais sebesar
penumbuk dan tidak lagi ada air gula. Saya tidak buang begitu saja, sebaliknya
akan bahan untuk dibaling pada kambing, kucing atau ayam. Kalau tidak bertemu
dengan haiwan berkenaan, baki ais kepal itu akan saya baling atas atap dewan
orang ramai sebelah rumah guru besar Cikgu Bahari.
Rentetan
kehidupan sewaktu alam sekolah rendah memang menyeronokkan. Tidak tahu penat.
Bayangkan setelah saya ke Gerai Mat Todak, bergegas pulang untuk makan dan
mandi kerana perlu mengaji Quran di rumah Imam Abu atau lebih dikenali Lebai
Abu di Jalan Bukit. Kalau tidak silap saya, beliau merupakan Imam Masjid Pekan
Teroi pertama atau pengasas sejak bangunan ibadat itu didirikan sebelum merdeka
lagi.
Sekali lagi saya
datang ke Gerai Mat Todak. Walaupun datang kali kedua hanya lalu sahaja untuk
pergi mengaji ke rumah Imam Abu kira-kira setengah kilometer dari gerai
berkenaan menghala Jalan Bukit. Bukankah buang masa kerana tadi sudah datang
bersama rakan-rakan beli ais kepal, kemudian balik dan datang sekali lagi.
Disebabkan
berulang alik sudah memakan masa lebih kurang setengah jam. Masa terbuang
begitu sahaja. Jadi tidak salah kalau emak saya membebel kerana
melewat-lewatkan pergi mengaji.
Walaupun waktu
mengaji sekitar pukul 3:00 petang, tetapi bila melengah-lengah menyebabkan
sampai ke rumah Imam Abu juga lewat. Rakan-rakan lain sudah selesai Imam Abu
ajar, saya baru sampai. Kadang-kadang dia memukul-mukul lantai sambil menjeling
ke arah saya seolah-olah beri amaran kerana datang lewat. Mungkin tidak gemar
dengan gelagat saya, dia adukan pada ayah.
Berjalur belakang
kena rotan bila ayah hilang sabar. Maklumlah, Imam Abu merupakan antara orang
paling dihormati di kampung Teroi ketika itu. Kebetulan juga kami ada kaitan
sedara tetapi jauh dan pernah berjiran dengannya sebelum pindah ke kampung Batu
20.
Saya langsung
tidak ingat kerana berusia sekitar dua atau tiga tahun sewaktu menjadi jiran
Imam Abu. Bagaimanapun, sewaktu dalam darjah satu, emak pernah menceritakan
tentang rumah kami di Jalan Bukit antara rumah Imam Abu dengan rumah Pak Ngah
Deraman.
Pernah juga
sewaktu berjalan di lorong masuk ke rumah Pak Ngah Deraman ketika menghadiri
kenduri kahwin anaknya, emak menunjukkan bekas tapak rumah kami yang sudah
dipenuhi belukar.
Tinggal di
kampung Batu 20 pun saya tidak berapa ingat sangat. Setahu saya, rumah kami
sebelah kanan tepi bendang di hadapan rumah Ibrahim, yakni bapa sedara arwah
ayah saya. Ibrahim lebih dikenali sebagai Pak Berahim Teksi kerana agak lama
juga dia memandu teksi berpengkalan di pekan Guar Chempedak.
Pak Berahim
kahwin dengan Juriah keturunan Aceh setelah bercerai dengan isteri pertamanya
berasal dari Bandar Baru, Kedah. Pak Berahim pula keturunan Banjar. Bermakna
dua-dua berasal daripada Indonesia tetapi terdiri daripada suku kaum berbeza.
Aceh ramai di
Utara kepulauan Sumatra, manakala Banjar ramai terdapat di Timur Kepulauan
Borneo bersempadan negeri Sabah. Disebabkan suku kaum berbeza, masing-masing
tidak faham jika Tok Su perempuan bercakap sesama mereka dalam bahasa Aceh.
Begitu juga sebaliknya jika Tok Su lelaki bertutur bahasa Banjar dengan
sedara-maranya. Bagaimanapun pada kebiasaannya mereka bertutur bahasa Melayu
loghat Utara supaya tidak timbul salah faham.
Oleh kerana pangkat
Tok Sedara, saya memanggilnya Tok Su Berahim atau di kalangan sedara mara lebih
dikenali sebagai Tok Su Jantan. Manakala Juriah kami panggil Tok Su Betina.
Sebutan agak 'biadap dan kasar', tetapi bagi orang Kedah sudah jadi lumrah
sebutan atau gelaran kasar begitu.
Juriah merupakan
ibu kandung Dato' Seri Sanusi Joned mantan Menteri Pertanian dan juga
Setiausaha Agong Umno. Saya tidak rapat dengan beliau kerana jarak usia antara
kami terlalu jauh. Bermakna saya tahu Sanusi anak tiri Tok Su Berahim tetapi
tidak pernah ambil tahu lebih mendalam. Apatah lagi sewaktu saya masih di
sekolah rendah, beliau sudah belajar di London jurusan akauntan dan pernah
bekerja di Standard Charted (dulu Chartered Bank) Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Adik Sanusi,
Abdullah Maamum. Saya juga tidak berapa kenal atas faktor usia seperti juga
Sanusi. Namun bila disebut-sebut Pak Ngah ada balik, bermakna Abdullah Maamum
pulang ke kampung. Saya juga tidak pernah bertanya dia bersekolah atau bekerja
di mana ketika pada sekitar 60an.
Setelah dewasa
saya pernah berjumpa beliau sekali di rumah Sanusi di Bukit Bandaraya, Kuala
Lumpur dan pada satu majlis penyerahan traktor di Sungai Limau Dalam, Yan,
Kedah. Itupun kebetulan sempena Hari Raya Puasa sekitar tahun 80-an dan saya
bertugas dengan syarikat media ketika itu. Lima atau enam tahun kemudian,
Abdullah meninggal dunia.
Pada malamnya,
saya bersama bapa saudara @ Pak Tam Amiruddin Haji Ahmad ketika itu tinggal di
Pinggiran Seri Gombak, telah pergi ke rumah Sanusi di Jalan Batai Dalam, Bangsar.
Kami tidak menghadiri pada majlis pengkebumian kerana ada tugas masing-masing
yang tidak dapat dielakkan.
Bagaimanapun,
saya lebih mengenali Hariah adik perempuan Sanusi tinggal di Kampung Aceh, Yan.
Saya memanggilnya Makcik Hariah. Hariah merupakan isteri cikgu Ismail atau
Marwan, guru darjah enam saya pada 1967 di Sekolah Kebangsaan Teroi.
Anak kandung Pak
Berahim dengan Juriah bernama Fadzil menetap di Subang Jaya. Dia bekerja di ibu
pejabat Tenaga Nasional Berhad (TEN), Jalan Bangsar, Kuala Lumpur. Saya
memanggilnya Pak Su Fadzil dan sewaktu saya menetap di Kuala Lumpur, bertugas
dengan media, sering juga bertemu dalam majlis-majlis tertentu anjuran TEN.
Sekarang ini
rumah pusaka Pak Berahim di Batu 20 sudah tiada. Saya dapat tahu tanah tersebut
telah berpindah milik dan kini telah didirikan sederet bangunan kedai. Manakala
di belakang bangunan itu sudah menjadi taman perumahan.
Dengan ketiadaan
lagi rumah itu, menyebabkan saya sendiri keliru bila memandu kenderaan sampai
di kawasan berkenaan. Dulu kalau menghala ke Teroi, di sebelah kiri rumah Pak
Berahim terakhir, kemudian sawah. Tepi sawah tali air dengan air begitu jernih
memanjang melintasi Jalan Yan terus ke kawasan perairan MADA sekitar Dulang.
Seberang tali air rumah sedara mara saya yang juga keturunan Banjar.
Dulu rumah itu
jadi persinggahan saya bersama bapa saudara arwah Harun Haji Ahmad, adik
Amiruddin sekiranya kami berbasikal pulang dari Guar Chempedak. Singgah
semata-mata minta air sejuk untuk hilangkan dahaga sahaja. Walaupun Harun bapa
sedara @ pak menakan dan saya memanggilnya Acu Harun, tetapi umur kami sebaya
kerana lahir dalam tahun sama, tetapi saya tua lebih kurang seminggu.
Kadang-kadang Pak
Berahim jemput kami tidur sekiranya jika dia hendak ziarah keluarga di Perak
atau ke majlis-majlis tertentu dalam ertikata tidak pulang ke rumah pada
malamnya. Bila dia jemput Harun bererti jemput saya juga. Begitu juga jika Pak
Berahim beritahu ayah supaya saya tidur di Batu 20, bermakna dia mengajak Harun
sekali.
Rumah itu agak
besar tetapi tetapi tinggal hanya bertiga sahaja iaitu Pak Berahim suami isteri
dan Tok Bit, ibu Tok Su perempuan, yakni mak mentua Pak Berahim.
Dengan Tok Su
perempuan, saya belajar beberapa patah perkataan Aceh seperti pajoh bu,
bermakna makan nasi. Manok ertinya ayam dan beberapa perkataan lagi yang saya
telah lupa kerana sudah tidak lagi mendengarnya setelah saya berhijrah ke Kuala
Lumpur dalam usia bawah 20 tahun.
Masakan Aceh yang
amat kami gemari adalah masak asam ikan tongkol atau ikan kayu. Ada nama khas
dalam bahasa Aceh, tetapi saya sudah lupa. Tok Su perempuan pun macam tahu kami
minat dengan masakan itu. Kalau dia jemput bermalam, pasti beritahu sudah masak
masakan itu supaya kami tidak menolak bermalam di rumahnya.
Walaupun Tok
Sedara Tiri, tapi saya tetap malu-malu hendak makan. Apatah lagi kalau dia ikut
sama makan di meja bersama Tok Bit. Jika ceduk kuah atau ambil lauk pertama
kali, sampai habis tidak berani tambah.
Tok Su perempuan
selalu memerhati saya yang malu-malu itu. Bila nampak nasi kering tak berkuah,
dia akan ceduk dan masukkan ke pinggan saya. Kadang-kadang berbunyi juga orang
tua itu, “Hamid malu apa, makan jangan kira, memang Toksu masak bagi hangpa
berdua makan,”
Bukan hendak
mengata atau memburukkan arwah Paksu Harun. Dia betul-betul belasah. Makan
langsung tidak angkat kepala. Tulang lauk keliling pinggan. Bila Tok Su
perempuan suruh ‘buang’, yakni letak di tempat lain, barulah dia tolak semua
tulang-tulang itu di tepi pinggan makannya.
Apapun segalanya
sudah tinggal nostalgia. Batu 20 sudah banyak berubah. Apatah lagi Pekan Guar
Chempedak. Sewaktu saya tinggalkan kampung, pekan itu tidak ada lampu isyarat,
sekarang sudah ada. Dulu stesen dan juga perhentian bas tidak jauh dari lampu
isyarat jika datang dari arah Gurun. Bas RIDA (sekarang MARA/City Liner)
dulu jika datang dari Yan, terpaksa lintas jalan, lebih kurang 20 meter
bergerak arah Gurun, lintas balik untuk berhenti di stesen sebelum lampu
isyarat itu.
Pada hari Rabu
merupakan Pekan Sehari dan orang berniaga bermula dari persimpangan
jambatan batu hingga tapak pasar Jalan Yan. Begitu juga di kawasan stesen bas
Guar Chempedak – Yan itu yang juga perhentian bas UTC Alor Setar – Butterworth.
Kadang-kadang ada juga orang jual ubat sehingga kawasan itu kelam kabut
jadinya, namun jarang berlaku kemalangan.
BAB 3
NAIK GEREK DALAM KERANJANG
SEKITAR tahun 60an kampung saya masih
menggunakan pelita minyak tanah untuk menerangi rumah ketika malam. Penduduk
juga menggunakan dapur kayu untuk memasak. Manakala menggunakan basikal atau
lebih dikenali sebagai ‘gerek’ untuk memudahkan bergerak ke sana ke mari.
Harga minyak
tanah atau minyak gas hanya limabelas sen sebotol 1.5ml. Satu botol boleh
digunakan untuk tiga atau empat malam, bagaimanapun bergantung kuantiti pelita
digunakan. Rumah saya hanya pasang dua pelita sahaja tiap malam. Satu di ruang
tamu dan satu lagi di dapur. Pelita tidur di pasang antara ruang tamu dan dapur
untuk memudahkan bergerak sekiranya terjaga tengah malam terutama untuk buang
air kecil.
Sudah jadi
kebiasaan juga setiap petang penduduk kampung keluar ke pekan Teroi beli
barangan dapur. Maklumlah awal pagi masing-masing sibuk ke bendang atau menoreh
getah di tanah-tanah pinggir Bukit Teroi. Hanya sebelah petang sahaja baru
mereka ada masa hendak beli barang keperluan harian. Kebiasaannya juga, sebotol
minyak gas pasti termasuk dalam senarai belian walaupun masih ada lagi baki
suku botol di rumah. Ini kerana, bahan bakar itu merupakan bahan penting jika
tidak mahu malam bergelap.
Kedai Cina Gin
Seng sebelah kedai Pak Long Leng di pangkal Jalan Dulang sememangnya jadi
tumpuan. Satu lagi kedai Wan Cun sebelah kedai basikal barisan kedai arah Guar
Chempedak juga ramai dengan pembeli Melayu. Manakala kedai Pie atau nama penuh
Shafie tidak jauh dari Gerai Mat Todak di Jalan Bukit juga sentiasa ramai
pelanggan.
Kalau tidak silap
saya ada tujuh kedai runcit Cina dan dua Melayu pada waktu itu. Yang
peliknya, penduduk berbangsa Cina dalam Pekan Teroi termasuk beberapa buah
rumah berhampiran kampung Melayu tidak sampai 100 orang. Namun, kedai-kedai
runcit Cina ini langsung tidak berdepan dengan masalah pelanggan. Pendek kata
semua pelanggan mereka adalah orang Melayu.
Ada juga kalangan
penduduk menggunakan lampu gaselin. Lampu ini amat terang tetapi hanya boleh
dikira dengan jari sahaja penduduk memasangnya setiap malam. Sebaliknya,
digunakan bila sedara mara jauh datang ataupun ketika keramaian seperti kenduri
kendara dan majlis-majlis tertentu.
Tidak semua orang
pandai menyalakan lampu gaselin. Oleh kerana rumah saya tidak mempunyai lampu
berkenaan, menyebabkan saya tidak pandai menyalakannya. Apatah lagi lampu antik
itu sekarang tidak lagi digunakan untuk menerangi rumah waktu malam. Kalau ada
pun digantung pada rumah atau tempat-tempat tertentu hanya sekadar
hiasan.
Sewaktu saya
berumur lingkungan empat atau lima tahun, bila ada orang hendak menghidupkan
lampu gaselin, pasti datang dekat. Jika ada keramaian seperti kenduri, saya
bersama rakan-rakan duduk keliling orang yang hendak nyalakan lampu itu. Bukan
‘jakun’ atau boleh diistilah seumpamanya, tetapi sudah jadi perangai
kanak-kanak, seorang duduk, yang lain pun ikut sama hendak melihat.
Apa yang saya
amati bila hendak nyalakan lampu gaselin, perlu tuang minyak sepirit pada alat
khas sebesar syiling 50 sen dalam cermin lampu berkenaan. Sepirit pula diisi
dalam alat tembaga. Besar alat itu kira-kira bertemu kuku ibu jari tangan
dengan kuku jari penunjuk orang dewasa. Mempunyai muncung halus seperti ceret
untuk memudahkan tuang agar tidak tumpah.
Kemudian sepirit
itu dicucuh dengan mancis atau menggunakan kertas akhbar yang dikoyak sedikit
sebagai pencucuh dan dinyalakan terlebih dahulu. Setelah itu barulah ‘pam’
mengikut tekanan angin yang diperlukan untuk menyalurkan minyak tanah. Kemudian
‘on-off’ beberapa kali pada alat pemusing warna merah, setelah sumbu mula
mengeluarkan cahaya. Laraskan angin agar bersesuaian sekaligus cahaya akan
menerangi kawasan sekitar.
“Hurey!”
Ada yang
menjerit. Ada yang melompat. Seronok kerana terlalu terang. Apa tidaknya, kalau
tadi cahaya suram dan malap, kini telah nampak lubang hidung setelah cahaya
terang menderang.
Kalau di rumah
kenduri kahwin biasanya lampu gaselin akan digantung di balai, yakni tempat
khas digunakan untuk kumpulan marhaban pada hari kenduri esoknya. Manakala
kerja-kerja memotong daging pada malam sebelum majlis kenduri juga dilakukan di
balai. Kerbau atau lembu biasanya ditumbangkan sebelum Maghrib.
Basikal pula
boleh dikatakan setiap orang mempunyai sekurang-kurang sebuah, jenis besar dan
berpalang. Ada menggunakan basikal ‘Raleigh’ dan ‘Herculis’ yang merupakan
antara basikal tahan lasak tetapi harganya agak mahal. Ayah saya juga mempunyai
sebuah basikal tetapi keluaran Birmingham Small Arms (BSA).
BSA merupakan
sebuah syarikat pengeluar senjata terbesar di United Kingdom. Selain senjata
syarikat ini juga mengeluarkan motosikal dan basikal. Ada dikalangan orang
Teroi berkata, BSA adalah ‘Basikal Sengkek Angin’.
Setelah menetap
di Kuala Lumpur, setiapkali lihat Allahyarham Sudirman Haji Arshad penyanyi
popular dari Temerloh, Pahang mendendangkan lagu ‘Basikal Tua’ di kaca TV,
pasti teringat arwah ayah. Terlalu banyak nostalgia saya bersama ayah dan
basikal BSA itu.
Lebih menyentuh
hati saya kerana selain sebagai peminat sebelum itu, tidak disangka-sangka Sudirman
menjadi rakan sebumbung sewaktu saya bertugas di Kumpulan Karangkraf, Taman Tun
Dr. Ismail sekitar tahun 80-an dahulu. Walaupun dia bekerja tidak lama tetapi
dapat melihat apa yang beliau lakukan setiap hari dalam bilik cermin di hadapan
meja saya.
Sudirman tekun
bekerja tetapi kurang bercakap. Berbanding kalau kita lihat dia buat
persembahan pentas begitu lincah. Dia dapat menguasai setiap ruang pentas
sambil berkomunikasi dengan penonton. Berbanding jika di pejabat ‘tanya
sepatah, jawab sepatah’.
Sewaktu di
Karangkraf, Sudirman menulis semua penerbitan antaranya majalah Bintang Kecil,
Nona, Mingguan Kanak-Kanak, Media Hiburan dan Bacaria. Kelemahan penyanyi
diminati ramai itu kerana tidak pandai menggunakan mesin taip, sebaliknya semua
artikelnya tulisan tangan.
Seorang lagi
rakan sewaktu di Karangkraf adalah Dahlan Zainuddin popular dengan lagu ‘Kisah
Seorang Biduan’ sekitar tahun 70-an dulu. Dahlan yang kini bergelar Dato,boleh
bergurau dan dia sendiri suka buat lawak. Kadang-kadang kami sarapan bersama
sebelum masuk pejabat di Restoran Kak Rubi milik pelakon veteran Rubiah
Suparman di belakang bangunan Karangkraf.
Dahlan tidak
menulis tetapi diberi tugas sebagai Pegawai Pengiklanan. Bermakna berliau
bertanggungjawab mencari seberapa banyak iklan untuk dimuatkan dalam majalah
dan akhbar terbitan milik Dato Hussamuddin yang berasal dari Kota Bahru,
Kelantan itu. Jika ada majlis-majlis tertentu Dahlan bertindak sebagai
pengacara majlis.
Berbalik mengenai
basikal, selain digunakan sebagai kenderaan, ayah saya gunakan untuk mengangkut
dan mengumpul buah mempelam muda yang dibelinya daripada penduduk kampung.
Sebagai peraih, keranjang leper sentiasa diikat pada pelantar basikal tua itu
pada setiap musim mempelam berbuah.
Ayah juga kerap
bawa saya menaiki basikal secara duduk dalam raga buluh itu. Sambil bersila,
kedua-dua belah tangan memegang kemas sisi raga. Seronok ada, malu pun ada bila
lalu depan rumah kawan-kawan perempuan dalam perjalanan ke Pekan Teroi atau
Guar Chempedak. Ada dikalangan mereka senyum sinis memandang ke arah
saya.
Mengenai
mempelam, kebanyakkan penduduk kampung Teroi tidak berapa gemar mempelam air
(pelam ayaq) dan mempelam telur (pelam teloq). Itu sebabnya mereka lebih suka
jual muda daripada biarkan masak di pokok seperti mempelam kuini (pelam konen).
Ayah beli dan hantar kepada rakannya yang merupakan tauke Cina di pasar bandar
Sungai Petani.
Seminggu dua atau
tiga kali lori kecil milik tauke Cina itu datang ambil. Sekali datang paling
kurang lima atau enam keranjang besar. Kadang-kadang ayah ikut sama naik lori
itu untuk ambil duit dengan tauke. Sebagai anak tunggal pada waktu itu, jarang
ayah tinggalkan saya jika dia hendak ke bandar yang mempunyai jam besar di
tengah-tengah jalan itu.
Nostalgia yang
saya tidak dapat lupa bila sampai kawasan Sungai Lalang. Kiri kanan jalan
merupakan ladang getah. Daun pokok getah sebelah kiri jalan bercantum dengan
daun pokok di sebelah kanan jalan menjadikan kawasan itu seolah-olah terowong
panjang.
Bagaimanapun,
setelah jalan dilebarkan dan pokok-pokok getah tua ditebang untuk ditanam
semula, sudah tiada lagi tarikan setiap kali melalui kawasan berkenaan. Malah
generasi kini boleh dikatakan tidak tahu menahu langsung adanya terowong pokok
getah di situ.
Mengenai dapur
memasak pula, boleh dikatakan semua menggunakan dapur kayu. Cara membuatnya
tidaklah susah. Berkaki empat atau enam seperti meja, kemudian buat ruang untuk
memasukkan tanah liat. Setelah tanah liat itu kering, letakkan dua batu bata
sebelah kiri dan kanan mengikut saiz periuk sebagai tungku. Untuk kuali
biasanya perlu susun tiga batu bata seperti tiga segi untuk mengelak kuali
tidak stabil ketika memasak.
Jika tungku
rendah boleh letak batu bata secara berlapis, yakni dua batu bata setiap
tungku. Tungku terlalu rendah juga sukar hendak letak kayu api yang merupakan
bahan bakar utama. Api juga sukar menyala sekiranya terlampau padat dengan
kayu.
Paling mudah
letak tungku berlapis yakni batu bata lapis dua letak tiga baris. Kiri, tengah
dan kanan. Letak dua batang besi panjang atas tungku berkenaan. Sendal atau
paku supaya batang besi tidak bergerak bila letak periuk atau kuali.
Hendak hidupkan
dapur kayu bukannya mudah. Kalau tidak mahir api tidak akan menyala marak
lebih-lebih lagi jika kayu api tidak betul-betul kering. Itu sebabnya untuk
memudahkan api hidup kebanyakkan menggunakan sabut atau daun kelapa kering. Ada
juga secara tuang sedikit minyak gas pada kayu kemudian cucuk.
Apa yang saya
lihat cara arwah ibu hidupkan api dapur dengan meletak seketul sabut kemudian
susun tiga atau empat batang kayu api atas sabut berkenaan. Sengaja dibiarkan
ada ruang untuk memasukkan dua atau tiga keping daun kelapa kering yang dipatah
dua. Bakar daun kelapa kering itu dengan mancis atau pelita, setelah hidup masukan
di bawah sabut.
Pada
kebiasaannya, jika sabut dan kayu kering api mudah menyala. Tenggeklah periuk
untuk tanak nasi atau kuali goreng ikan tidak jadi masalah lagi. Yang penting
tambah kayu bila hampir habis dimakan api.
Tanak nasi
tidaklah semudah seperti sekarang. Basuh beras masukkan dalam periuk dan air
secukupnya, kemudian tekan suis. Boleh tinggalkan atau buat kerja-kerja lain,
termasuk tonton tv atau baca akhbar kerana nasi boleh masak sendiri. Tidak
perlu bimbang nasi jadi hangit.
Dulu selepas periuk
tertenggek atas api, tidak boleh ke mana-mana dalam waktu lama.
Pendek kata tidak
boleh lalai yakni sekali-sekala perlu lihat periuk atas dapur. Jika sudah
mendidih penutup periuk perlu dibuka dan beras perlu dikacau dengan senduk.
Biarkan dulu setelah agak-agak air kering, kacau sekali lagi barulah periuk
boleh ditutup. Api pula perlu bara sahaja untuk mengelak nasi menjadi hangit.
Bermakna nasi masak hanya menggunakan wap dalam periuk sahaja.
Orang tua-tua
dulu, hendak cari menantu mesti tahu tanak nasi. Tidak hairanlah ibubapa
utamakan anak dara mereka pandai masak nasi daripada masak makanan lain. Kalau
masakan lain pandai, lagi bagus dan berebutlah orang hendak jadikan menantu.
Mengulas mengenai
dapur tidak lengkap sekiranya tidak tahu cari kayu api yang merupakan bahan
bakar utama. Walaupun tinggal di kampung banyak pokok, tetapi tidak semua boleh
dijadikan kayu api. Biasanya batang pokok getah jadi pilihan kerana kayunya
mudah kering dan api membakar lebih marak.
Paling senang
pelepah daun kelapa, tetapi tidak mencukupi jika tiga atau empat pokok sahaja
ditanam. Lagipun, kebanyakan orang Teroi pokok kelapa hanya menunggu buah tua
gugur untuk dijadikan santan masakan. Disebabkan, pokok tidak banyak, bermakna
pelepah kelapa tua gugur juga tidak banyak, sekaligus tidak dapat dijadikan
sebagai sumber utama kayu api.
Tidak hairanlah
ada di kalangan penduduk beli sahaja kayu getah. Ada agen masuk ke
kampung-kanmpung mencari atau bertanya siapa-siapa yang hendak membelinya.
Kayu-kayu tersebut biasanya dari ladang yang yang akan ditanam semula. Daripada
batang-batang pokok getah itu dibakar begitu sahaja, lebih baik dijual kepada
yang memerlukan. Satu lori kecil kalau tidak silap saya pada waktu itu sekitar
RM20 atau RM30 sahaja.
Tempahan biasanya
akan sampai dalam masa dua atau tiga hari. Kalau nampak lori datang berhenti
tepi jalan, seorang demi seorang kanak-kanak datang walaupun tidak dipanggil.
Pada mulanya sekadar hendak lihat pemandu dan kalendan menolak satu demi satu
batang-batang getah yang sudah dipotong kira-kira tiga kaki setiap satu yang
disusun dua baris dalam lori itu.
Setelah selesai,
giliran kami pula mengangkat dan menyusun ditempat yang disediakan seperti
bawah pokok mempelam atau sebagainya. Untuk mengelak daripada kena hujan,
susunan batang-batang getah ini akan ditutup dengan plastik. Begitulah
seronoknya tinggal di kampung kerana budaya bergotong-royong sudah ditanam
sejak kecil.
Batang getah ini
pula seelok-eloknya dibelah ketika masih basah barulah tidak liat. Maknanya,
sekali hayun kapak sudah terbelah dua. Bagaimanapun, batang getah yang dihantar
agar panjang dan terpaksa dipotong dua barulah tidak mudah ditegakkan sewaktu
hendak menghayun kapak kerana tidak terlalu tinggi.
Sewaktu gergaji
batang-batang getah ini boleh dikatakan bekerja sambil bermain. Apa tidaknya,
dua orang diperlukan untuk menyurung tarik gergaji, manakala dua orang lagi
duduk di kiri kanan batang getah yang sedang dipotong, yakni seperti duduk atas
mainan jongkang-jongkit.
Tujuan duduk di
kiri kanan itu untuk mengelak mata gergaji tidak tersepit. Batang getah yang
masih basah itu akan mengeluarkan getah dan melekat pada gergaji sehingga sukar
hendak menyurung tarik. Bagaimanapun, dengan adanya beban di kiri kanan,
menyebabkan tempat yang digergaji itu terbuka, sekaligus dapatlah memotong
hingga putus dua.
Tidak semestinya
kayu-kayu itu perlu dibelah kesemuanya sekaligus. Biasanya mereka lakukan bila
ada masa terluang seperti sebelah petang sebelum masuk waktu Maghrib. Setiap
batang dibelah empat atau enam bergantung pada saiz. Kemudian disusun pula
dalam bentuk empat segi bertingkat-tingkat untuk memudahkan kering kena cahaya
matahari.
Ayah saya lebih
suka ambil kayu sayung di sebuah kilang papan di Guar Chempedak. Kilang
berkenaan buang mana-mana kayu yang rosak, yakni tidak boleh dijual. Kayu
sayung pelbagai saiz dan jenis kayu itu jika tidak diambil akan dibakar begitu
sahaja.
Walaupun kayu
sayung atau tidak ada harga, namun bila sudah dibawa pulang papan serta batang
beluti boleh digunakan seperti membaiki dinding reban ayam dan sebagainya.
Pendek kata bukan ayah saya seorang yang menggemarinya, malah ramai lagi
terutama penduduk sekitar kilang tersebut.
Bagi ayah saya
walaupun mengambil kayu itu sekadar untuk jadikan kayu api, namun ada juga yang
elok-elok disimpannya. Bersusun bawah pokok kuini. Kalau sudah tidak ada kayu
api, sebatang dua kayu yang dikumpul itu akan dipotong juga untuk dijadikan
bahan bakar.
BAB 4
SIAPA PADAM PELITA TOPIANG
Anak kampung seperti saya tidak pandai duduk
diam. Musim sawah berair atau setelah padi ditanam, aktiviti paling seronok
tahan tajur atau taut istilah penduduk kampung untuk menangkap ikan haruan.
Taut
menggunakan mata kail lebih besar daripada memancing ikan puyu. Mata kail
diikat seperti biasa dengan tali tangsi. Manakala batang taut atau joran
daripada bilah-bilah buluh lebih kurang satu meter panjang. Ditajamkan pada
pangkal dan diraut agar lembut pada hujungnya. Tali tangsi kira-kira dua
jengkal yang sudah diikat mata kail, diikat pula pada hujung joran.
Pada batang taut
diikat dawai halus kira-kira tiga jengkal dari hujung atas atau mengikut
kesesuaian panjang tali joran. Kemudian simpul bulat untuk mencakuk mata
kail. Ini bermakna, mata kail yang sudah dipasang tali tangsi dan diikat
pada joran dicakuk pula pada dawai yang disimpul pada batang taut tadi.
Batang taut
membongkok seperti huruf ‘r’ dan kemas sekaligus dapat mengelak daripada tali
bersimpul antara satu sama lain sehingga sukar hendak diasingkan. Paling
penting mudah dibawa dalam kuantiti banyak bila dimasukkan dalam karung plastik
besar. Jika sekitar 10 atau 20 joran boleh kepit celah ketiak sahaja.
Umpan taut pada
kebiasaannya menggunakan katak minyak atau katak pisang. Kedua-dua spesis ini banyak
terdapat di sawah. Mencarinya juga amat mudah. Dengan berjalan atas batas
sawah, katak akan lompat ke air dan menyembunyi diri dalam lumpur sawah.
Sembunyi di mana pun boleh nampak dengan jelas kerana air jernih sawah bagaikan
sekeping kaca. Katak lompat ke air pun kerana sudah tidak ada cara lain hendak
selamatkan diri.
Katak yang
ditangkap dimasukkan dalam tin susu yang ditebuk beberapa lubang di bawahnya.
Saya tidak tahu nama alat untuk mengumpul katak ini, tetapi amat senang
membuatnya. Hanya perlu tiga bahan sahaja iaitu tin susu kosong, getah gelang
dan kain yang dijahit seperti karung tetapi berlubang di bawahnya. Paling
senang potong lengan baju kemeja tangan panjang lebih kurang dua jengkal.
Masukkan mulut
tin kosong ke dalam kain yang berupa karung tadi, kemudian ikat dengan getah
gelang kemas-kemas agar tidak terlocot. Kain yang diikut itu ibarat penutup
untuk mengelak katak melompat keluar, sekaligus sebagai pintu untuk mengambil
atau memasukkan katak.
Biasanya setiap
seorang mempunyai sekurang-kurangnya lima atau 10 batang taut. Malah ada yang
mempunyai lebih 50 batang. Cara menahan taut amat mudah, setelah mata kail
dicakuk pada belakang katak sebagai umpan, lalu dipacak di batas-batas sawah
dalam keadaan katak melompat-lompat di permukaan air. Boleh juga memacak dalam
kawasan sawah atau di tempat-temat tertentu yang difikirkan sesuai terdapatnya
ikan haruan.
Katak yang
melompat-lompat di permukaan air merupakan isyarat kepada ikan haruan di
kawasan persekitaran untuk mendekati sekaligus menyambar umpan. Itu sebabnya
hujung joran diraut lembut supaya setiapkali katak melompat dalam keadaan
melantun.
Bila haruan
menyambar dan mata kail tercakuk di mulut pula, hujung joran akan melentur
sekaligus mengikut arah mana ikan haruan menariknya. Dalam kata lain, hujung
taut yang lembut itu seperti spring, ditarik mengikut dan bila dilepas kembali
kepada bentuk asal.
Yang seronoknya
bila menahan taut, belum lagi pacak taut kedua, yang pertama sudah mengena.
Bayangkan kalau mempunyai sekurang-kurang 10 batang ketika musim ikan banyak.
Dalam beberapa jam sahaja boleh dapat lima atau enam ekor haruan sebesar lengan
orang dewasa.
Ada juga yang
menggunakan umpan ikan sepat ronggeng. Sejenis ikan bertanda hitam pada tengah
badan. Cara meletak umpan pada mata kail sama seperti mencakuk katak iaitu di
belakang ikan agar dapat berenang di permukaan air.
Kocakan air
secara tidak langsung menarik perhatian ikan haruan. Jika nasib malang akan
disambar burung pekaka udang. Paling tidak seronok dapat ular air. Sudahlah
sukar hendak mencabut mata kail yang tersangkut pada mulut ular, ditambah lagi
geli hendak memegangnya kerana badan haiwan itu membelit batang taut.
Cara mudah potong
tali taut. Atau bertindak zalim dengan memegang kemas batang taut,
kemudian menghempas ular pada permukaan air hingga mati. Biasanya kalau mata
kail hanya tercakuk pada bibir, dua atau tiga kali pukul mulut ular akan
terkoyak, sekaligus dapat menanggalkan mata kail. Ular pula tidak mati dan
berenang dalam air untuk menyelamatkan diri.
Jika tersangkut
jauh dalam kerongkong terpaksa potong kepala ular dalam usaha hendak mencabut
mata kail. Atau memacak batang taut di batas sawah atau di kawasan lapang.
Biarkan bangkai ular itu busuk dan kering dipanah cahaya matahari dua atau tiga
minggu. Akhirnya tulang ular itu tertanggal sendiri setelah jatuh satu demi
satu.
Seperkara lagi
setiapkali haruan telah tersangkut pada mata kail, harus segera mengangkat atau
menangkapnya. Jika dibiarkan lama, besar kemungkinan akan terlepas jika kail
hanya tercakuk pada bibir ikan sahaja. Dua tiga kali haruan meronta dengan
kuat, boleh terlepas.
Ikan haruan yang
sudah dapat ditangkap juga ada alat khas untuk menyimpannya. Alat diperbuat
daripada buluh yang sudah diraut ini dalam bentuk bujur dan panjang kira-kira dua
kaki. Kiri kanan diikat dengan papan dan mempunyai pintu sebelah atas di
tengah-tengah. Tali diikat kiri kanan untuk memudahkan menyangkut pada bahu
seperti menggalas beg.
Alat ini akan
direndam dalam air untuk mengelak ikan mati kekeringan. Biasanya, setiap satu
alat ini boleh menyimpan dalam 10 hingga 15 ekor bergantung pada saiz.
Ada juga yang membawa baldi yang diikat kemas dengan kain supaya haruan tidak
melompat. Paling selamat tin minyak tanah, tetapi agak berat hendak bawa ke
kawasan tahan taut.
Kalau tidak mahu
biarkan hidup, yakni untuk dibuat gulai pada tengah hari, ikan haruan itu
dipatahkan kepalanya atau dipukul hingga mati. Letak atas batas sawah pun tidak
bimbang terlepas.
Dalam pada itu
ada juga di kalangan penduduk kampung suka memasang taut pada sebelah malam.
Biasanya lepas solat Isyak, mereka akan mulakan operasi memasang. Sekitar pukul
11 atau tengah malam baru datang semula untuk melihat sama ada taut mengena
atau sebaliknya.
Jika tidak datang
melihat dan taut mengena, dibiarkan sehingga pagi esoknya baru datang melihat,
berkemungkinan jadi mangsa memerang. Yang tinggal hanya kepala ikan
haruan tersangkut pada mata kail.
Bahaya pasang
taut sebelah malam jika tidak berhati-hati besar kemungkinan terpijak ular
terutama tedung senduk. Reptilia ini bersarang dengan mendiami sarang tikus
yang ditinggalkan ketika musim berair dan keluar pada waktu malam mencari
makan.
Teringat cerita
arwah emak mengenai Pak Cik dan Pak Anjang disakat hantu, kedua-dua bapa
saudara saya itu telah meninggal dunia lebih 15 tahun lalu. Mereka berdua pergi
lihat taut yang dipasang kira-kira 12 tengah malam.
Seperti
malam-malam sebelumnya, meredah malam hanya menggunakan pelita ‘topiang’
sebagai penyuluh jalan. Sepanjang perjalanan atas batas sawah, kedengaran katak
melompat ke air dan sekali sekala bunyi seperti haruan menyambar sesuatu.
Lokasi taut yang
dipasang tidaklah jauh sangat. Hanya lebih kurang 10 minit berjalan sahaja.
Cuma di tengah sawah yang sunyi lagi dingin tiupan bayu malam. Ketika itu
kebanyakan penduduk kampung Teroi sudah dibuai mimpi. Maklumlah, bukan macam
jenerasi sekarang boleh tidur lewat kerana asyik menonton televisyen atau
berbual melalui telefon pintar.
Setelah sampai di
lokasi dalam beberapa minit, tiba-tiba sahaja lampu topiang mereka padam ditiup
angin. Pak Anjang letakan lampu itu atas batas sawah, setelah keluarkan mancis
api dari kocek seluarnya. Dia pun mencucuh sumbu pelita minyak tanah dalam
topiang.
Setiap kali Pak
Anjang menyalakan pelita berkenaan dan cahaya menerangi kegelapan malam di
tengah sawah itu, tiba-tiba nampak seperti bayangan tangan memadam sumbu
pelita. Pak Anjang ulangi mencucuh, keadaan sama berulang setelah beberapa saat
api pelita itu menyala.
Angin tidak
bertiup kencang. Malah api yang menyala pada sumbu pelita tidak ada tanda-tanda
ditiup angin. Bagaimana tidak semena-mena boleh padam sedangkan minyak tanah
masih penuh? Soalan itu berlegar-legar dalam kotak fikir Pak Anjang sambil
berusaha, menghidupkan sekali lagi pelita itu.
“Pergi balik,
orang cucuh dia bagi padam!” Marah Pak Anjang sambil merentap topiang itu ke
belakang.
“Apsal? Suruh
sapa balik?” Jerit Pak Cik yang sedang memeriksa salah satu taut yang di pasang
seraya meluru ke arah Pak Anjang.
Pak Anjang
menoleh ke belakang. Samar-samar dia nampak susuk tubuh adiknya sedang berjalan
ke arahnya. Hatinya mula tertanya-tanya tangan siapa yang menggawang memadam
pelita tadi?
“Bukan hang ka?”
Pak Anjang tidak dapat meneruskan kata-kata. Rasa takut mula menguasai
perasaannya. Dia yakin bukan adiknya yang memadam lampu pelita tadi.
“Saya? Saya buat
apa?” Soal Pak Cik balik.
Pak Anjang
merenung wajah adiknya sebentar dalam samar-samar malam. “Jom kita balik!”
Akhirnya terpacul juga arahan itu dari mulutnya. Tanpa buang masa, Pak Anjang
lalu berlari pulang dengan meninggalkan topiang atas batas sawah.
Pak Cik yang
tidak tahu apa-apa itu turut berlari mengekori abangnya. Dalam pada itu dia
yakin ada sesuatu yang tidak kena pada malam itu, kalau tidak masakan abangnya
boleh berlari dalam gelap hingga sampai ke rumah.
BAB 5
ULAR MINYAK TERBELIT DI LEHER
PALING seronok tinggal di kampung ketika padi
menghijau laksana hamparan permaidani. Saujana mata memandang hingga ke hujung
kampung Dulang. Hembusan bayu sepoi-sepoi bahasa sungguh mengasyikkan sambil
berehat di bangku kayu bawah pohon kuini di pinggir sawah.
Begitulah
keadaannya setiapkali cuti penggal persekolahan. Kalau tidak bermain dengan
rakan-rakan sekampung, saya lebih suka duduk dibangku hasil tangan ayah
bersendirian. Bangku yang boleh duduk tiga orang itu tidak cantik mana pun.
Ayah buat daripada kayu sayung, yang diambil dari sebuah kilang papan di Guar
Chempedak.
Bukan saya
seorang sahaja suka duduk dibangku itu. Malah jiran tetangga pun suka berehat
terutama selepas makan tengah hari atau lewat petang. Suasana redup dan
berangin menyebabkan mereka suka berborak sambil menghisap rokok pucuk. Tidak
sedar habis tembakau jawa satu celepa.
Yang jadi mangsa
arwah mak kerana terpaksa ikut arahan ayah buat air teh o, kemudian hantar pula
ke tempat mereka berborak. Ajak berborak di rumah tidak mahu, atas alasan
panas. Padahal suasana lebih kurang sama sahaja kerana angin bertiup memasuki
tingkap yang terbuka luas. Atap rumah pula menggunakan daun rumbia. Lainlah
jika dipasang zink, sudah tentu rasa membahang bila cuaca panas terik.
Kadang-kadang
tidak siapa sedari ada orang berbaring di bangku itu. Dari tingkap rumah nampak
kaki berjuntai. Bila datang dekat, rupa-rupanya Samad. Dia antara jiran yang
gemar berehat di situ walaupun bersendirian. Antara saya dengan dia pangkat
bapa saudara, malah kalangan anak-anak jiran juga memanggilnya Pak Su Samad
Saya juga pernah
baring dan terlelap di bangku itu. Maklumlah lepas makan tengah hari dan solat,
berehat sekejap di situ. Melihat dedaun padi ditiup angin, akhirnya mata
semakin kuyu. Kemudian berbaring, sambil melihat pula daun-daun kuini bergoyang
di tiup angin sehingga tidak sedar waktu mana terlelap.
Tiba-tiba ada
sesuatu jatuh atas dada saya. Saya menyangka ranting mati gugur ditiup angin.
Dalam pada itu tangan kanan saya meraba-raba dada. Kecil sahaja ranting itu
lebih kurang anak jari orang dewasa.
Bagaimanapun saya
bingkas bangun dan melompat hampir tersungkur ke tanah, apabila merasakan apa
yang saya pegang bukannya ranting, sebalik seekor ular daun. Ular itu tidak
bahaya seperti ular tedung senduk atau tedung selar jika kena patuk dan lambat
bawa ke hospital besar kemungkinan boleh bawa maut.
Ular daun
berwarna hijau. Sama seperti ular air tidak pandai mematuk dan bisa. Ia
akan bertindak agresif, yakni menggigit jika hendak melepas diri. Saya melompat
pun kerana geli pegang ular. Sebab itu saya seperti dirasuk polong, melompat
sambil menjerit hingga hampir tersungkur.
Nasib baik saya
sedar. Kalaulah masih tidur dan ular itu memasuki lubang hidung atau mulut saya
macam mana? Kalau dapat keluarkan walaupun terpaksa berlari keliling kampung
tidak jadi masalah. Yang membimbangkan jika masuk jauh ke dalam rongga tubuh.
Hospitallah jawabnya…
Bercakap mengenai
ular, teringat sewaktu darjah empat di Sekolah Kebangsaan Teroi. Arwah ayah
berniaga di kantin sekolah berkenaan. Ketika itu hanya saya seorang anak mereka
dan ayah ambil keputusan untuk tinggal di kantin. Rumah yang hanya suku
kilometer dari sekolah di Jalan Yan di Kampung Batas Ubi dibiarkan kosong.
Pulang melihat sekali sekala bila waktu cuti sekolah.
Setiap petang
saya bermain di padang sekolah tinggi dengan pelajar-pelajar sesi petang
sebelum mereka pulang. Sekolah tinggi bukan bermakna sekolah menengah atau
seumpamanya, tetapi keadaan sekolah kayu itu bertiang batu setinggi setengah
meter. Berbanding unit satu lagi didirikan terus atas tanah berlantai simen.
Ketika seronok
bermain, tiba-tiba salah seorang telah melempar seekor ular minyak. Saya
sendiri tidak tahu dari mana datangnya ular itu. Yang pasti bila seseorang
melempar kepada rakan, masing-masing berebut untuk mengambil ular mati itu.
Siapa dapat, giliran dia pula melempar kepada rakan lain.
Sudahnya menjadi
satu permainan berebut ular. Seorang demi seorang menyertainya sehingga jatuh
berguling atas padang rumput. Masing-masing sudah tidak takut mahupun geli lagi
dengan ular. Beberapa pelajar wanita pun ikut serta berebut sambil menjerit
seronok.
Saya yang
memerhati sahaja mula seronok dengan gelagat rakan-rakan. Perlahan-lahan
melangkah masuk ke arah kumpulan. Tiba-tiba ular itu jatuh betul-betul di
hadapan saya. Spontan saya memegang ekor ular sebesar ibu jari itu lalu baling
ke arah rakan.
Hendak jadikan
cerita, ular itu tersangkut pada leher rakan. Dia melolong seperti dirasuk
hantu sambil merentap ular lebih kurang dua kaki yang terbelit di lehernya itu.
Kawan-kawan pula tidak seorang pun menolongnya.
Dapat juga dia
merungkai belitan ular yang sudah lembik itu. Namun mukanya toreh tak berdarah.
Pucat lesi. Bukan takut tetapi kerana terlalu geli. Namun berusaha tersenyum
juga setelah rakan-rakan mentertawakannya.
Pada saya rasa
bersalah pun ada. Namun tidak sampai hati hendak mohon maaf. Lagipun, bimbang
pula kalau saya minta maaf, sudah tentu dia tahu saya yang melempar ular itu
kepadanya. Daripada tidak seorang pun perasan, ada baiknya ambil keputusan
buat-buat tidak tahu. Lagipun, tidaklah mendatangkan sebarang bahaya. Sekadar
geli-geleman bila terbelit di leher sahaja.
Kejadian ular
terbelit di leher itu menjadi nostalgia amat mendalam. Setiap kali melihat
pelajar sekolah rendah berlari-lari di padang, pasti saya teringat peristiwa
itu. Begitu juga jika ada yang memegang ular, ingatan pada budak terbelit ular
di leher itu pasti bermain difikiran saya.
Sayang sekali
tidak terfikir langsung untuk mengenali dia lebih dekat selepas peristiwa itu.
Saya juga tidak kenal siapa saudara mara termasuk ayah dan ibunya. Kalau kenal,
setelah masing-masing dewasa , sekurang-kurangnya dapat juga berjumpa sekaligus
menceritakan kisah-kisah silam.
Antara sebab
sewaktu kejadian, saya dalam darjah empat, dia mungkin baru darjah dua.
Berlainan kelas dan usia antara punca saya tidak ambil pusing langsung tentang
dirinya. Setelah dewasa barulah terfikir kalaulah antara kami dapat kongsi
peristiwa itu, alangkah seronoknya!
BAB 6
SEMBUNYI DALAM TEMPAYAN
Sewaktu saya belajar di Sekolah Kebangsaan Teroi, hanya
terdapat dua unit bangunan sahaja. Unit hadapan menghadap jalan besar yakni Jalan
Yan – Guar Chempedak mempunyai enam bilik darjah. Bangunan ini lebih dikenali
sebagai sekolah rendah kerana dibina atas tanah berlantai simen.
Berbanding unit satu lagi dikenali sekolah tinggi kerana
bertiang batu setinggi lebih kurang setengah meter. Keseluruhan bangunan sekolah
ini daripada kayu. Bilik guru dan pejabat sekolah di hujung sebelah kanan.
Terdapat beranda untuk memudahkan pelajar dan guru memasuki
kelas. Di hujung kiri kanan beranda terdapat tangga simen tiga anak tangga. Pelajar
boleh memilih mana-mana arah untuk masuk ke kelas. Sewaktu darjah lima, kelas
saya hujung sekali sebelah kiri, yakni belakang kantin. Guru saya ketika itu
cikgu Azmi, bertubuh gempal mirip keturunan mamak.
Di belakang sekolah terdapat padang bola sepak. Setiap
petang golongan dewasa ‘kaki bola’ berlatih di padang ini. Kadang-kadang mereka
adakan juga pertandingan antara daerah pada petang Khamis dan Jumaat.
Cuma yang jadi masalah, pemain dewasa tendangan kuat
sehingga menyebabkan beberapa tingkap sekolah rosak. Sudahnya, mereka memasang jaring
dawai mata punai bertiang batang pinang di belakang tiang gol. Barulah masalah
kerosakan tingkap dapat diatasi.
Satu lagi masalah jika tersilap tendang bola bergolek masuk
bawah bangunan sekolah. Tergendala perlawanan sekejap kerana terpaksa menyusup
bawah bangunan ambil bola berkenaan. Bukan seperti sekarang, beberapa biji bola
disediakan di luar padang. Bila tendangan tersasar jauh ke luar padang, terus
ganti bola lain. Masa perlawanan tidak terbuang begitu sahaja.
Sewaktu zaman saya, sebiji bola sahaja boleh digunakan
hingga akhir perlawanan. Bola hanya boleh diganti atau tukar jika pecah atau
kurang angin. Bagaimanapun, jarang berlaku bola pecah atau kurang angin sewaktu
bermain.
Saya sendiri tidak tahu apa sebabnya peraturan ditetapkan begitu
. Cuma pemikiran cetek saya ketika zaman kanak-kanak, mungkin tercetus
kebimbangan setiap pasukan bila menggunakan banyak bola sehingga boleh
dibomohkan.
Maksud saya, orang dulu-dulu terkenal dengan pertolongan
bomoh. Apa saja pertandingan akan mencari bomoh agar kemenangan memihak kepada
mereka. Tidak hairanlah jika bola juga dibomohkan, yakni dibaca mentera agar pihak
lawan tidak nampak bola ketika hendak menyepak.
Dengan menggunakan hanya satu bola, tidak timbul tuduhan ‘guna bomoh’
daripada pasukan yang kalah.
Di hadapan sekolah ini terdapat padang bola jaring. Padang
terletak antara sekolah tinggi dan sekolah rendah ini juga dijadikan sebagai
padang perhimpunan setiap pagi Ahad. Di sebelah padang yang hanya dipisahkan
dengan jalan tanah merah sebuah gelanggang sepak raga, kini dikenali sepak
takraw.
Di seberang padang bola jaring bangunan kantin, tempat arwah
ayah saya berniaga hampir 10 tahun. Oleh kerana saya tinggal di kantin itu, dapatlah
saya ketahui secara tidak langsung aktiviti sekolah yang bakal berlangsung atau
masalah peribadi yang dihadapi seseorang cikgu apabila mereka luahkan pada ayah
atau ibu saya.
“Saya ni Bang Man kalau boleh dah tak mau bertanding, tapi
dah sultan suruh, saya terpaksa ikut,” luah ustaz Ismail Hashim juara Pertandingan
Membaca Al-Quran peringkat antarabangsa kepada arwah ayah saya sambil
menunjukkan surat rasmi daripada Sultan Kedah ketika itu Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni
Almarhum Sultan Badlishah.
Saya bukan saja menelinga malah memanjangkan leher sambil
menjeling ke arah surat di tangan ustaz Ismail Hashim. Hendak pergi dekat-dekat
takut kena marah dengan ayah. Mahu tidak mahu sekadar berani menjeling dan
mendengar segala bualan mereka.
“Kalau saya jadi sultan pun saya suruh ustaz masuk
bertanding, sebab kalau ustaz tak bertanding, saya yakin Malaysia kalah,” balas
ayah saya sambil membelek surat yang kini di tangannya.
Sebenarnya arwah ayah saya merangkak-rangkak bila baca atau
menulis rumi. Hendak habis satu muka surat buku pun lebih sepuluh minit. Kalau
perkataan panjang dia terpaksa mengheja beberapakali.
Berbeza dengan jawi, dia bukan saja boleh menulis cara
normal iaitu kanan ke kiri, sebaliknya mahir menulis dari kiri ke kanan secara
ejaan terbalik. Bila hendak baca kena melihat dari arah belakang kertas dan
perlu ada cahaya baru dapat lihat dengan jelas.
Setakat ini tidak ada seorang pun keturunan ayah mahir
berbuat begitu. Apatah lagi sekarang tulisan jawi makin terpinggir hingga ada
yang tidak lagi pandai membaca dan menulis tulisan al-Quran itu.
Berbalik mengenai ustaz Ismail Hashim ada lagi dua peristiwa
yang saya tidak boleh lupa. Lebih kurang sebulan beliau mengajar di Sekolah
Kebangsaan Teroi, pada suatu pagi ketika mengajar, dia telah memperdengarkan
bacaan Quran dengan begitu nyaring. Beberapa orang berbasikal berhenti di tepi
jalan Yan. Mereka memandang ke arah sekolah mencari dari bilik darjah manakah
bacaan ayat-ayat suci itu berkumandang.
Satu lagi yang saya tidak boleh lupa sewaktu darjah enam.
Dia sedang mengajar di hadapan, dua rakan saya di belakang asyik berbual.
Kadang-kadang terdengar mereka ketawa walaupun tidak berapa kuat. Ustaz telah
tegur agar tidak berbual. Namun kedua-dua mereka seperti tidak menghiraukannya.
Sudahnya menimbulkan kemarahan Ustaz. Dia panggil mereka berdua ke depan kelas lalu mengarahkan
berdiri rapat secara memandang sesama sendiri. Kemudian dia melagakan kepala
kedua-dua mereka dua kali.
“Masa hantuk kepala tadi ada dengar bunyi apa?” Soal ustaz
kepada mereka berdua.
“Kuk… kuk!” Balas salah seorang rakan.
“Okey! Lepas ni kalau ustaz datang ajar, bercakap-cakap
lagi, saya suruh semua kawan-kawan dalam darjah ni panggil kamu berdua kuk-kuk,”
kata ustaz sebelum meminta mereka berdua duduk di tempat masing-masing.
Seorang lagi ustaz Hassan tinggal di belakang sekolah agama
Guar Chempedak datang mengadu kepada ayah mengenai murib bergurau agak kasar
dengan meletak ular mati diserbannya. Dia tidak sedar bila dan ketika mana ular
itu diletakkan. Yang pasti dia terkejut
bila ular itu jatuh atas sejadah ketika rukuk di bilik solat.
Sebelum kantin baru dibina, sebuah bangunan lama
bersebelahan kantin sekarang dijadikan sebagai kantin. Bangunan papan beratap
zink itu mempunyai dua bertingkap
dipasang jaring besi. Untuk membeli makanan terpaksa melalui tingkap berjaring
besi. Beberapa jaring besi berkenaan telah dipotong untuk memudahkan pengusaha
kantin menghulur makanan. Kalau tidak
silap saya, luas besi jaring yang dipotong itu hanya lebih kurang satu kaki
empat segi.
Saya masih ingat sewaktu hari pertama masuk ke sekolah ini. Ketika
rehat ibubapa turut serta berada di kantin membantu anak-anak membeli makanan.
Oleh kerana tidak berbaris, menyebabkan golongan bapa berebut-rebut beli
makanan untuk anak mereka. Masing-masing bimbang anak tidak sempat makan, masa
rehat tamat dan terpaksa masuk semula ke kelas dalam keadaan perut lapar.
Yang amat melucukan saya, terlalu banyak tangan dihulur ke
lubang besi jaring sehingga tidak ada ruang untuk menarik keluar. Di tangan ada
piring makanan mahupun gelas minuman, tetapi tersekat kerana masing-masing enggan
mengalah.
Ada juga yang bercalar lengan sewaktu berebut akibat terkena
besi jaring. Namun masing-masing menganggap perkara kecil kerana terlalu teruja
anak masuk darjah satu. Malah ada yang tunggu anak sehingga berminggu-minggu secara
melihat gelagat anak setiap detik melalui tingkap bilik darjah.
Walaupun gelagat ibu bapa menimbulkan keresahan guru yang
mengajar, tetapi jarang disuarakan ke pihak atasan. Mereka hanya berdiam diri
walaupun rasa kekok diperhati ketika mengajar. Tidak seperti sekarang ibubapa
tidak dibenarkan mendekati kelas sewaktu guru sedang mengajar.
Dalam pada itu ada juga yang bangga bila diperhati, terutama
cikgu berstatus anak dara diperhatikan teruna bujang. Hal ini benar-benar
terjadi bilamana Hamzah (bukan nama sebenar) seorang teruna dari kampung Bukit
Teroi menemani adiknya setiap hari. Sambil duduk atas basikal, menjeguk dari
tepi tingkap sekolah. Bola matanya hanya fokus pada guru wanita yang mengajar
adiknya dalam kelas darjah satu itu.
Sekali sekala mereka berbalas senyuman. Senyuman daripada
guru wanita itu, sekaligus menarik minat Hamzah tidak berganjak dari tempat dia
bertenggek setiap hari. Bagaimanapun, disebabkan hari ke hari kelakuan Hamzah
makin mencurigakan, pihak sekolah terpaksa memberi amaran kepadanya agar tidak
lagi bawa basikal sambil melihat guru mengajar di mana-mana bilik darjah..
Pada waktu itu dinding dan tingkap sekolah rendah diperbuat
daripada anyaman bertam. Anyaman berbingkai kayu lebih kurang panjang dua meter
dan lebar satu meter. Kepingan anyaman ini disambung setiap satu sehingga
menjadi dinding. Kira-kira sejengkal orang dewasa dari lantai dibiarkan kosong
supaya tiupan angin dari luar masuk, sekaligus dapat menyejukkan sedikit hab
dalam kelas ketika tengah hari.
Tingkap bertam ini agak berat bagi seorang kanak-kanak berusia
enam tahun hendak membukanya. Kedudukan tingkap pula dipasang tergantung, dipasang
tiga insel sebelah atas.
Hendak membuka perlu menolak batang besi sebagai tongkat
yang dipaku di tengah-tengah bingkai tingkap. Tongkat itu akan ditolak
sekuat-kuat tenaga sehingga terbuka. Kemudian hujung tongkat perlu selitkan pada
penyelak di bingkai dinding. Jika tidak buat begitu, selagi itulah kena pegang
besi tongkat. Seandainya dilepaskan mengejut daun tingkap yang berat akan jatuh
atau menutup balik tingkap dengan kuat.
Kaedah sama seperti
kita membuka bonet hadapan kereta. Batang besi disediakan sebagai tongkat untuk
membiarkan bonet terbuka. Bezanya bonet kereta tidaklah seberat tingkap sekolah
saya itu sehingga kadangkala terpaksa dua orang menolaknya baru boleh terbuka. Jika
tongkat terlepas pula berkemungkinan jari tersepit pada tingkap.
Bagaimanapun kesulitan itu berakhir apabila sekolah berkenaan
dinaiktaraf bumbung beratap daun, ditukar dengan abestos, dinding dan tingkap diganti
kayu sebagaimana rumah kampung. Tidak perlu lagi tenaga yang kuat, sebaliknya
selepas buka penyelak kunci, daun tingkap boleh di tolak ke sebelah kiri dan
kanan.
Saya masih ingat, sewaktu kerja-kerja membuka dinding lama,
yakni kepingan bertam untuk diganti papan, arwah ayah minta lebih kurang 20
keping daripada Guru Besar, cikgu Bahari. Oleh kerana tidak ada kenderaan untuk
membawa pulang, ayah hanyutkan satu demi satu di sungai depan sekolah. Jarak
dari sekolah ke rumah saya hanya lebih kurang satu setengah kilometer sahaja.
Air sungai pada waktu itu cetek. Boleh meranduk dan air mengalir
dari Gunung Jerai itu amat jernih. Bak kata orang kampung saya, ikan seluang
boleh kenal mana jantan mana betina.
Dari atas tebing ayah melihat kepingan bertam itu hanyut. Bersedia
dengan sebatang beluti. Jika tersangkut pada hidupan liar menjalar di tebing
sungai, ayah akan tolak ke tengah. Terdapat satu dua tempat aliran airnya agak sempit
sehingga memaksa ayah turun mengangkat dan menolak ke tempat air lebih dalam.
Walaupun begitu, sempat juga Mak Jah menyandar ke tepi
tebing. Dia menyangka kepingan bertam hanyut itu dibuang orang. Nasib baik ayah
sempat melihat, kalau tidak sudah tentu menjadi miliknya.
Bagaimanapun, akhirnya kesemua selamat sampai ke rumah
setelah satu demi satu ayah angkat ke darat.
Rupa-rupanya ayah ada rancangan walaupun diletakkan di bawah rumah lebih
dua tahun. Setelah ada wang dan dapat mengganti rumah dapur baru, ayah jadikan sebagai
dinding. Sehingga hari ini masih elok walaupun rumah itu kini diduduki ibu
sedara saya di kampung.
Antara nostalgia yang masih menggamit hingga kini mengenai
Ulong, anak guru besar. Tubuhnya besar. Dia tua lima atau enam tahun dari saya.
Sepupu Ulong bernama Dollah, tubuhnya kurus berkulit hitam manis, tua lebih
kurang tiga tahun dari saya.
Aktiviti cuti hujung minggu tidak sah jika tiada kedengaran suara
mereka berdua bergurau. Setelah penat berkejar-kejaran keliling sekolah mereka
bergumpal pula di padang bola jaring. Kadang-kadang kedengaran juga suara isteri
guru besar menjerit dari jendela rumah di hujung sekolah. Mereka berhenti
sekejap sambil berehat di bangku kantin dalam 10 atau 20 minit. Itupun ada saja
yang mereka lakukan sama ada melompat atau berlari keliling meja makan panjang.
Yang tak dapat saya lupa pada suatu petang Ulong masuk dalam
tempayan. Begitu mudah dia masuk secara
kaki dahulu dan menyelam. Tujuannya hendak menyembunyikan diri dari sepupunya
itu. Dalam kata lain Ulong bersembunyi tetapi dalam waktu sama dia mandi dalam
tempayan itu sebelum ibunya menjerit solat Maghrib.
Bagaimanapun pada petang itu gempar seketika kerana Ulong tidak dapat keluar
dari tempayan. Bahunya tersangkut pada mulut tempayan. Hanya kepala di luar
mulut tempayan, manakala badannya dalam air. Puas dia berusaha hendak
melepaskan diri tidak berhasil. Akhirnya dia menjerit memanggil Dollah.
Dollah memaut tubuh Ulong dan berusaha menarik ke atas.
Tubuh Along yang gempal menyebabkan dia tidak berdaya hendak mengeluarkan
Along. Mereka berdua makin cemas. Bimbang kalau sebentar lagi ibu Ulong
memanggil kerana waktu sudah hampir Maghrib.
Hanya satu jalan saja untuk mengeluarkan Along iaitu pecahkan
tempayan. Jika tidak terpaksa biarkan dia bermalam dan tidur dalam tempayan seorang
diri di situ.
Untuk pecahkan tempayan itu bukan perkara mudah. Tidak ada
batu besar di kawasan itu. Lagipun mereka berdua tidak berani, kerana bimbang
kena marah dengan ibu Ulong. Walaupun tidak garang, tetapi mereka cukup hormat dengan
orang tua itu.
Tempayan itu pula amat penting selain tempat menyimpan air,
boleh digunakan untuk mandi-manda. Jika tidak sempat ke tandas buang air kecil,
boleh lepaskan di bilik tersebut kecuali buang air besar. Ketika ketiadaan air,
ayah gunakan air tempayan itu untuk mencuci pinggan mangkuk.
Setelah puas berusaha, akhirnya Dollah dapat akal supaya
tempayan itu direbahkan. Ulong hanya perlu mendiamkan diri lalu Dollah menolak
sekuat-kuat tenaga. Akhirnya tumbang dan mulut tempayan pecah terkena hujung lantai simen. Ulong tersungkur
pada tiang kayu tetapi tidak cedera.
Bagaimanapun mereka merahsiakan apa yang berlaku. Hanya pada
sebelah malam ayah saya hendak mengambil air, mendapati tempayan hilang.
Setelah mencarinya barulah nampak serpihan tempayan berselerak.
BAB 7 >>>> Tunggu le
No comments:
Post a Comment