Wednesday, November 25, 2015

PULAU LAGENDA INI

Berada di pulau lagenda ini
tidaklah seindah yang digambarkan
malahan lelaki ini
kadangkala kehilangan arah
dan jadilah lelaki ini seorang perindu
siang mengharap layanan mesra mu
malam ketagih harum tubuh mu.

Sebenarnya lelaki itu adalah suami mu
dan kau wanita adalah isteri ku
tentunya pada waktu-waktu tertentu
setelah berada dikejauhan
kita saling memerlukan
menyerah malu
di kamar peraduan
dan kita hanyut hingga ke pelabuhan.

Isteri ku,
kau bukan sekadar teman sebaringan
pun bukan untuk melahirkan zuriat
malah kau adalah serikandi
sukar bagiku mencari ganti
kerana kau lebih memahami
suka duka suami mu ini.

Isteri ku,
himbaukan kecurangan
lontarkan keresahan
benamkan tangisan
dan, bila tangkai hati dicuit curiga
jangan mudah memendam rasa
pun jangan cepat buruk sangka
selagi kita bergelar manusia
tidak dapat menolak takdir-Nya
pasrahkan diri di sejadah
agar hilang resah gelisah.

Di sini sememangnya ada warisan Mahsuri
keayuannya memikat
kalau iman tidak kuat
sudah lama terjerat.

A. N. Hamiosma
Kelana Mas Langkawi
1996

Majalah NOVEL Bil 1. 1997

No comments:

Post a Comment