Sejak tinggalkan UMW Furniture Industries (UMW-FI)
Temerloh pertengahan 1982, saya tidak lagi bertemu dengan Rashid atau nama
penuhnya Rashid Wejdi bin Sinir setelah berhijrah ke Kuala Lumpur. Tidak sangka
selepas tinggalkan kilang perabut kawasan Perindustrian Songsang lebih 30 tahun,
pertemuan kami pada 13 Julai 2014 lalu, di Pekan Sehari Temerloh merupakan
pertemuan terakhir saya dengannya.
Kami sama-sama di bahagian maintenance (woksyop)
atau lebih dikenali di kalangan pekerja UMW-FI sebagai makenik. Tugas kami
antara lain berkaitan kimpalan (welding), baiki mesin operator, enjin kenderaan
serta kerja-kerja am seperti memperbaiki atap kilang bocor, paip air dan
sebagainya.
Walaupun usia Rashid lebih muda daripada saya ketika
itu, tetapi dia lebih dulu bekerja di bahagian maintenance. Rashid memulakan kerja di kilang terbesar di daerah
Temerloh itu lebih kurang seminggu lebih awal daripada saya. Oleh kerana saya bermula di bahagian Toolroom
menyebabkan kami tidak berapa rapat. Apatah lagi pekerja sekitar 80an itu melebihi
2,000 orang.
Lebih kurang dua tahun kemudian barulah saya diserap
bahagian maintenance. Itu pun setelah
penyelia melihat kecenderungan saya membuat kerja-kerja kimpalan. Maklumlah
sebelum di UMW-FI, lebih kurang lima
tahun berpengalaman dalam worksyop sewaktu bekerja di kilang sawit Kemayan Oil
Palm (KOP), Kemayan.
Sewaktu temuduga dengan pengurus kilang Ng Seng
Huat, memang saya minta ditempatkan bahagian worksyop berdasarkan kemahiran
saya membuat kerja-kerja kimpalan. Disebabkan bahagian berkenaan tiada
kekosongan, saya diletakan sementara di bahagian Toolroom.
Bahagian Toolroom lebih kurang seperti worksyop
juga. Cuma perlu beri perhatian pada mesin yang dikendali operator. Jika mesin
mengalami kerosakan atau memerlukan alat ganti, operator mesin akan beritahu
pekerja Toolroom untuk memperbaikinya.
Saya diberi tanggungjawab untuk menjaga mesin
Hattori bahagian Turning. Dua belas mesin semuanya terdiri dua unit model
Hattori 900 dan sepuluh unit model Hattori 600. Setiap seorang operator
mengendali empat unit mesin. Dua belas mesin bererti tiga operator wanita. Tugas
mereka amat mudah hanya memasukkan batang-batang kayu saiz tertentu ke ruang
khas pada mesin.
(Novel saya ‘PENCARIAN’ diterbitan Creative
Enterprise, pada 1994 ada saya garap mengenai kilang UMW Songsang termasuk
mesin Hattori bawah seliaan saya bahagian Turning.)
Mesin Hattori operasi secara otomatik,
membentuk/mengukir kaki atau bilah-bilah penyandar kerusi. Setiap satu mesin
satu jenis produk. Bererti kalau buat kaki kerusi, ukiran sama mengikut
kuantiti yang diperlukan. Kadang-kadang untuk satu corak/bentuk memakan masa
sehingga dua tiga hari baru tukar corak lain.
Pekerja Toolroom lebih 20 orang dan menjaga mesin di
bahagian tertentu. Mereka tidak boleh membaiki mesin-mesin bahagian lain.
Seperti saya di bahagian Turning, hanya boleh membaiki mesin-mesin bahagian
Turning sahaja, itupun sekadar membantu rakan-rakan. Mesin utama yang perlu diberi
perhatian adalah Hattori.
Selain menjaga mesin, perkerja Toolroom memastikan
alat ganti sentiasa dalam keadaan baik. Jika alat pemotong seperti gergaji
telah tumpul misalnya, perlu diasah atau ditajamkan semula. Jika putus perlu
disambung (welding) kecuali rosak teruk dan tidak boleh digunakan
lagi, barulah dibuang.
Begitu juga dengan alat-alat pengukir kayu (pekerja
toolroom panggil pisau), jika sudah tidak tajam lagi sehingga kayu yang diukir
tidak cantik perlu ditukar dengan lebih tajam. Gergaji atau pisau boleh tumpul
pada bila-bila masa jika kayu agak keras.
Walaupun menggunakan kayu getah, disebabkan mesin
berjalan tanpa henti selama dua atau tiga jam menyebabkan boleh berlaku gergaji
putus atau tumpul. Jika keadaan itu berlaku, menukar alat ganti diperlukan
seberapa segera agar tidak menjejaskan pengeluaran.
Ketua bahagian Toolroom pada waktu situ Ariffin
berasal dari Kelantan dan menyewa rumah di Paya Keladan. Manakala penyelia
Toolroom Ibrahim orang Perlis. Bos Ibrahim Kirpal Singh (bukan Karpal Singh)
tetapi telah memeluk Islam, berkahwin dengan Melayu. Saya tidak pasti nama
Islam Kirpal Singh tetapi isterinya kalau tidak silap Fazilah. Orangnya cantik
tetapi agak seksi…
Mr. Sculy ketua bahagian maintenance berbangsa serani. Orangnya kurus dan bertubuh kecil
sahaja. Bawah Sculy atau ketua woksyop
Ah Seng tinggal di Mentakab. Selain Ah Seng, Ah Fook, Lau San dan seorang
lagi pekerja Cina. Melayu selain saya,Rashid dan Mahmud berasal dari Kelantan. Hanya Krisnan seorang berketurunan India.
Bercakap mengenai Rashid, lelaki berambut ampro ini sentiasa ‘happy go lucky’.
Dia juga amat teliti serta tekun bila buat satu-satu kerja. UMW-FI Songsang
juga boleh dikatakan universiti baginya kerana di situ dia banyak belajar
mengenai kimpalan, membaiki enjin dan sebagainya. Rakan-rakan senior berbangsa
Cina pula tidak lokek untuk beri tunjuk ajar setiap kali Rashid berdepan
masalah.
Hal sama berlaku pada saya jika tidak dapat
selesai satu-satu masalah terutama memperbaiki mesin, rakan-rakan kaum Tionghua
ini tidak keberatan beri bantuan. Bermakna segala kepakaran mereka diturunkan
kepada saya tanpa sebarang curiga termasuk Rashid.
Rakan rapat saya Ah Fook. Bermakna jika mesin
berdepan masalah, saya bersama Ah Fong akan diarahkan memperbaikinya terutama
di bahagian Turning. Ini kerana saya lebih berpengalaman bahagian berkenaan lebih-lebih
lagi melibatkan mesin Hattori keluaran negara Jepun itu.
Saya juga merupakan salah seorang yang belajar
secara terus mengendali dan memperbaiki mesin Hattori dengan dua jurutera Jepun
selama tiga minggu yang didatangkan khas dari negara matahari terbit itu.
Maknanya jika berkaitan mesin Hattori, Ah Fook akan merujuk pada saya terlebih
dahulu.
Krisnan merupakan antara pembantu Rashid. Pemuda
India itu saya pernah jumpa dia berkerja di stesen minyak BHP berhampiran
Jalan Bahagia, Temerloh. Krisnan agak lembab sikit, ajar 100
kali pun masih tidak faham-faham.
Disebabkan masalah yang dihadapinya itu, tugas
Krisnan setiap pagi memeriksa mesin, kemudian pam minyak pelincir (geris).
Kerosakan-kerosakan ringan boleh beri kepada Krisnan, itupun kadang-kadang
masih tidak dapat dilakukannya dengan sempurna.
“Bodo la lu, berapa kali ajar pun bikin sama jugak!”
Perkataan biasa keluar dari mulut siapa saja yang mengarahkan Krisnan buat
satu-satu kerja termasuk Rashid. Bagaimanapun bagi Krisnan, cakaplah apapun dia
tersengih dan tidak marah. Malah perkataan itu seolah-olah sudah sebati
dengannya. Dia tidak dapat tangkap apa yang orang ajarkan. Kalau suruh buat kerja yang sama, kesalahan masih
berlaku.
Walaupun antara saya dengan Rashid bahagian sama, tetapi
hanya sekali-sekala sahaja kami diberi tugas bersama sekiranya kerosakan
memerlukan tenaga berpasukan. Masa berborak hanya sewaktu sarapan atau makan di
kantin kilang. Waktu lain sibuk dengan tugas di bahagian masing-masing.
Berita pemergian Rashid amat mengejutkan saya.
Maklumlah ketika bulan puasa baru-baru ini Rashid yang menetap di Balok,
Kuantan pulang ke Temerloh. Rutin saya setelah tinggalkan dunia kewartawan di Kuala
Lumpur dan menetap di Bandar Ikan Patin ini membuka perniagaan jualan produk
kesihatan.
Premis perniagaan saya MEDICRAPID di Bazar Kuala
Semantan dan berniaga di Pekan Sehari Temerloh setiap Ahad. Pada hari berkenaan
saya ternampak Rashid bersama isteri di celah-celah orang ramai. Oleh kerana
dia berjalan berhampiran Gerai Medicrapid, lalu saya memanggilnya. Kami
berborak lebih kurang 20 minit sebelum dia beredar kerana ada urusan lain.
Dalam pada itu dia mengingatkan saya supaya tidak
lupa datang kenduri kahwin anaknya yang bakal menjelang selepas hari raya
puasa. Dia juga berjanji akan menghantar kad jemputan setelah menetapkan tarikh
majlis yang bakal diadakan kelak.
Minggu berikutnya, ketika saya berniaga di Pekan
Sehari isteri Rashid datang menghulurkan kad jemputan sebagaimana yang
dijanjikan. Dia minta saya dapat hadirkan diri sekeluarga jika ada kelapangan
pada minggu hadapan.
Sejujurnya saya beritahu Ani, kalau hari Ahad terpaksa
minta maaf. Kalau hendak ziarah pun sebagai sahabat lama mungkin pada hari lain
selepas majlis perkahwinan. Ani akur dan saya minta dia sampaikan salam kepada
suaminya. Ani juga beritahu, suaminya tidak sihat kerana menghidap sakit
kencing manis kronik.
Dua hari selepas itu, saya terbaca seorang rakan
Facebook menulis mengenai pemergian Rashid mengadap pencipta-Nya. Untuk pengesahan
saya berjumpa dengan anak sedara sebelah isteri Rashid, Sabri @ Pok Teh yang juga rakan Facebook. Dia
merupakan salah seorang pemandu teksi berpengkalan sebelah premis bangunan Bazar Kuala Semantan dan pernah juga bertugas di kilang UMW-FI.
“Memang
betul, aku nak pergi lepas Zohor,” jawabnya setelah saya bertanya tentang
kesahihan maklumat yang disampaikan melalui Facebook itu.
Melalui ini saya mendoakan agar arwah Rashid damai
di sana dan Allah letakkan bersama orang-orang beriman. Al-fatihah.