Sunday, February 12, 2012

Mukabuku Bazar Kuala Semantan

ATAS kehendak rakan-rakan akhirnya laman FB BKS Temerloh dibangunkan pada 31 Januari 2012. Tujuannya tidak lain untuk mengenengah aktiviti jualan peniaga di Bazar Kuala Semantan (BKS). Ini berikutan, kurang diketahui umum sejak bangunan BKS dibina kira-kira 10 tahun lalu.

Papan tanda bangunan BAZAR KUALA SEMANTAN yang menghadap deretan kedai di Jalan Semantan 1 (Pasaraya Ekonomi), ramai tidak perasan lebih-lebih lagi pemandu kenderaan ekoran jalan sahala. Papan tanda bangunan BKS dianggap paling strategik jika dipasang di dinding sebelah perhentian teksi Lurah Semantan.

Bercakap mengenai FB BKS Temerloh, para peniaga bolehlah mempromosi produk-produk jualan atau perkhidmatan yang mereka jalankan di kedai masing-masing. Melalui promosi sedikit sebanyak dapat membantu sekaligus memperkenalkan kepada orang luar yakni rakan-rakan dalam FB.

Percubaan menghantar pada dinding gambar Athar Agency dan Kedai Gunting Rambut, respon dari warga Temerloh yang bekerja di luar Pahang amat membanggakan. Ada yang menghubungi saya menyatakan barulah tahu nama bangunan itu Bazar Kuala Semantan. Ada juga beritahu, setiap kali pulang ke kampung tidak berkesempatan meninjau bangunan berkenaan kerana menganggap tidak ada apa-apa istimewa di situ.

Sejujurnya ada juga warga Temerloh sendiri mengakui tidak pernah pijak Bazar Kuala Semantan. Mereka hanya lalu sambil memandu kerana tidak ada sebarang urusan di situ. Bila mengetahui ada beberapa buah kedai menjual produk kesihatan, pusat servis komputer, kedai jahit pakaian, unisex, wakil insurans kenderaan dan sebagainya, barulah berusaha hendak meninjau keadaan premis-premis di situ.

Setelah melihat sendiri mereka melahirkan rasa simpati sekaligus berharap pihak berwajib terutama Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) tidak membiarkan peniaga-peniaga di BKS menjalankan perniagaan seadanya. MPT seharus menurut mereka turut memainkan peranan secara meletak papan tanda arah BKS di tempat-tempat yang difikir perlu. Manakala pentas dan ruang yang sedia ada di BKS boleh meminta kerjasama ejensi kerajaan untuk mengadakan pameran atau sebagainya sekurang-kurang setiap tiga bulan sekali.

Dengan adanya pameran atau aktiviti tertentu bukan saja boleh meramaikan pengunjung, sekaligus dapat memperkenalkan lagi BKS kepada warga tempatan. Jika tidak BKS hanya akan dipenuhi dengan remaja berpeleseran di tangga-tangga bangunan dan di sudut-sudut tertentu untuk berasmara, minum minuman keras dan mungkin juga penagihan dadah.

Pelajar ponteng dan hisap rokok sudah menjadi budaya biasa di BKS. Fenomena ini boleh dilihat bermula petang Jumaat yang kebanyakan pelajar keluar dari asrama untuk pulang ke pangkuan keluarga. BKS menjadi persinggahan mereka bukan saja untuk bertemu ‘girlfriend’ sebaliknya melepak dan berfoya-foya.

Hari Sabtu dan Ahad lebih ramai sehingga mencecah lebih 20 orang. Kadang-kadang seharian mereka lepak di BKS buat bising, bergurau melampau, memanjat besi penghadang dan sebagainya. Menjadi kebiasaan juga sambil merokok dan minum-minum di tangga bangunan, mereka meludah sesuka hati sehingga menjijikan.

Antara sebab remaja suka berpelesran di BKS kerana tiada pengawal keselamatan. Akibatnya mereka boleh bertindak sesuka hati termasuk merosakan prasarana yang disediakan. Tidak hairanlah pernah berlaku kecurian kesemua kepala paip tembaga surau dan tandas lelaki.

Menconteng juga bukan saja dapat dilihat di dinding tandas sebaliknya di ruang terbuka seperti di kawasan bawah tangga utama dan tangga sebelah stesen teksi.

No comments:

Post a Comment