BAB 5
PALING seronok tinggal di kampung ketika padi menghijau
laksana hamparan permaidani. Saujana mata memandang hingga ke hujung kampung
Dulang. Hembusan bayu sepoi-sepoi bahasa sungguh mengasyikkan sambil berehat di
bangku kayu bawah pohon kuini di pinggir sawah.
Begitulah keadaannya setiapkali cuti penggal persekolahan.
Kalau tidak bermain dengan rakan-rakan sekampung, saya lebih suka duduk
dibangku hasil tangan ayah bersendirian. Bangku yang boleh duduk tiga orang itu
tidak cantik mana pun. Ayah buat daripada kayu sayung, yang diambil dari sebuah
kilang papan di Guar Chempedak.
Bukan saya seorang sahaja suka duduk dibangku itu. Malah
jiran tetangga pun suka berehat terutama selepas makan tengah hari atau lewat
petang. Suasana redup dan berangin menyebabkan mereka suka berborak sambil
menghisap rokok pucuk. Tidak sedar habis tembakau jawa satu celepa.
Yang jadi mangsa arwah mak kerana terpaksa ikut arahan ayah
buat air teh o, kemudian hantar pula ke tempat mereka berborak. Ajak berborak di
rumah tidak mahu, atas alasan panas. Padahal suasana lebih kurang sama sahaja
kerana angin bertiup memasuki tingkap yang terbuka luas. Atap rumah pula
menggunakan daun rumbia. Lainlah jika dipasang zink, sudah tentu rasa membahang
bila cuaca panas terik.
Kadang-kadang tidak siapa sedari ada orang berbaring di
bangku itu. Dari tingkap rumah nampak kaki berjuntai. Bila datang dekat,
rupa-rupanya Samad. Dia antara jiran yang gemar berehat di situ walaupun
bersendirian. Antara saya dengan dia pangkat bapa saudara, malah kalangan
anak-anak jiran juga memanggilnya Pak Su Samad.
Saya juga pernah baring dan terlelap di bangku itu.
Maklumlah lepas makan tengah hari dan solat, berehat sekejap di situ. Melihat dedaun
padi ditiup angin, akhirnya mata semakin kuyu. Kemudian berbaring, sambil
melihat pula daun-daun kuini bergoyang di tiup angin sehingga tidak sedar waktu
mana terlelap.
Tiba-tiba ada sesuatu jatuh atas dada saya. Saya menyangka
ranting mati gugur ditiup angin. Dalam pada itu tangan kanan saya meraba-raba
dada. Kecil sahaja ranting itu lebih kurang anak jari orang dewasa.
Bagaimanapun saya bingkas bangun dan melompat hampir
tersungkur ke tanah, apabila merasakan apa yang saya pegang bukannya ranting,
sebalik seekor ular daun. Ular itu tidak bahaya seperti ular tedung senduk atau
tedung selar jika kena patuk dan lambat bawa ke hospital besar kemungkinan
boleh bawa maut.
Ular daun berwarna hijau.
Sama seperti ular air tidak pandai mematuk dan bisa. Ia akan bertindak
agresif, yakni menggigit jika hendak melepas diri. Saya melompat pun kerana
geli pegang ular. Sebab itu saya seperti dirasuk polong, melompat sambil menjerit
hingga hampir tersungkur.
Nasib baik saya sedar. Kalaulah masih tidur dan ular itu
memasuki lubang hidung atau mulut saya macam mana? Kalau dapat keluarkan
walaupun terpaksa berlari keliling kampung tidak jadi masalah. Yang
membimbangkan jika masuk jauh ke dalam rongga tubuh. Hospitallah jawabnya…
Bercakap mengenai ular, teringat sewaktu darjah empat di
Sekolah Kebangsaan Teroi. Arwah ayah berniaga di kantin sekolah berkenaan. Ketika
itu hanya saya seorang anak mereka dan ayah ambil keputusan untuk tinggal di
kantin. Rumah yang hanya suku kilometer dari sekolah di Jalan Yan di Kampung
Batas Ubi dibiarkan kosong. Pulang melihat sekali sekala bila waktu cuti
sekolah.
Setiap petang saya bermain di padang sekolah tinggi dengan
pelajar-pelajar sesi petang sebelum mereka pulang. Sekolah tinggi bukan
bermakna sekolah menengah atau seumpamanya, tetapi keadaan sekolah kayu itu
bertiang batu setinggi setengah meter. Berbanding unit satu lagi didirikan terus
atas tanah berlantai simen.
Ketika seronok bermain, tiba-tiba salah seorang telah
melempar seekor ular minyak. Saya sendiri tidak tahu dari mana datangnya ular
itu. Yang pasti bila seseorang melempar kepada rakan, masing-masing berebut
untuk mengambil ular mati itu. Siapa dapat, giliran dia pula melempar kepada
rakan lain.
Sudahnya menjadi satu permainan berebut ular. Seorang demi
seorang menyertainya sehingga jatuh berguling atas padang rumput. Masing-masing
sudah tidak takut mahupun geli lagi dengan ular. Beberapa pelajar wanita pun
ikut serta berebut sambil menjerit seronok.
Saya yang memerhati sahaja mula seronok dengan gelagat
rakan-rakan. Perlahan-lahan melangkah masuk ke arah kumpulan. Tiba-tiba ular itu
jatuh betul-betul di hadapan saya. Spontan saya memegang ekor ular sebesar ibu
jari itu lalu baling ke arah rakan.
Hendak jadikan cerita, ular itu tersangkut pada leher rakan.
Dia melolong seperti dirasuk hantu sambil merentap ular lebih kurang dua kaki yang
terbelit di lehernya itu. Kawan-kawan pula tidak seorang pun menolongnya.
Dapat juga dia merungkai belitan ular yang sudah lembik itu.
Namun mukanya toreh tak berdarah. Pucat lesi. Bukan takut tetapi kerana terlalu
geli. Namun berusaha tersenyum juga setelah rakan-rakan mentertawakannya.
Pada saya rasa bersalah pun ada. Namun tidak sampai hati
hendak mohon maaf. Lagipun, bimbang pula kalau saya minta maaf, sudah tentu dia
tahu saya yang melempar ular itu kepadanya. Daripada tidak seorang pun perasan,
ada baiknya ambil keputusan buat-buat tidak tahu. Lagipun, tidaklah
mendatangkan sebarang bahaya. Sekadar geli-geleman bila terbelit di leher
sahaja.
Kejadian ular terbelit di leher itu menjadi nostalgia amat
mendalam. Setiap kali melihat pelajar sekolah rendah berlari-lari di padang,
pasti saya teringat peristiwa itu. Begitu juga jika ada yang memegang ular,
ingatan pada budak terbelit ular di leher itu pasti bermain difikiran saya.
Sayang sekali tidak terfikir langsung untuk
mengenali dia lebih dekat selepas peristiwa itu. Saya juga tidak kenal siapa
saudara mara termasuk ayah dan ibunya. Kalau kenal, setelah masing-masing
dewasa , sekurang-kurangnya dapat juga berjumpa sekaligus menceritakan
kisah-kisah silam.
Antara sebab sewaktu kejadian, saya dalam darjah empat, dia mungkin baru darjah dua. Berlainan kelas dan usia antara punca saya tidak ambil pusing langsung tentang dirinya. Setelah dewasa barulah terfikir kalaulah antara kami dapat kongsi peristiwa itu, alangkah seronoknya!