Tuesday, May 25, 2010

Remaja Berpeleseran Di BKS












Sampai bila agaknya masalah remaja berpeleseran pada hujung minggu di Bazar Kuala Semantan (BKS), Temerloh akan berakhir? Walaupun sudah acapkali aksi mereka berpeleseran didedahkan di akhbar, namun seolah-olah tiada kesudahan.

Ada berpendapat, sudah menjadi lumrah remaja gemar berpeleseran. Di tempat-tempat lain pun, terdapat remaja membuang masa di kompleks beli belah atau di pusat-pusat hiburan tertentu. Jadi apa salahnya remaja Temerloh memilih BKS sebagai tempat mereka melepak!

Memang tidak salah! Yang salah sikap mereka yang keterlaluan. Bercumbu, minum arak, hisap rokok dan menconteng dinding serta lantai. Contengan menggunakan ‘maker pen’ di lantai dan dinding pada pintu masuk utama BKS, ternyata mencacat pandangan umum.

Perbuatan berbentuk vandelisme ini sebenarnya juga sudah lama berlaku. Misalnya beberapa bulan lalu, pemegang besi pada tangga yang dipasang kukuh, boleh patah akibat mereka menggoncang dan duduk beramai-ramai. Manakala tempat duduk yang disediakan hanya dua saja yang dapat digunakan. Bagaimanapun, pemegang dan tempat duduk yang disediakan baru saja dibaiki lebih kurang sebulan dua lalu.

Kalangan pelajar hisap rokok gemar lepak di BSK ekoran mudah membeli rokok. Terdapat sebuah kedai yang menjual rokok ‘batang’ walaupun tahu yang datang itu pelajar sekolah. Mereka persetan amaran kerajaan yang tidak membenarkan menjual rokok pada mereka yang bawah 18 tahun.

Kenapa kalangan remaja sekolah ini amat gemar berpeleseran di BKS? Persoalan ini sebenarnya ada pada setiap peniaga di bazar tersebut. Cuma mereka lebih suka mengambil sikap enggan bersuara. Untuk apa melaporkan pada pihak tertentu jika tiada tindakan dibuat?

Boleh dikatakan mereka sudah muak dengan gelagat tidak senonoh golongan remaja lebih-lebih yang ponteng sekolah. Ada yang datang ke BKS semata-mata hendak menghisap rokok dalam tandas. Kalau berpasangan, mereka akan mencari tempat-tempat yang agak terselindung seperti di bawah tangga.

Apakah tidak ada pengawal atau jaga di BKS? Jawapannya ada tetapi macam tidak ada. Macam ada yang tak kena aje? Memang tak kena, pengawal yang di tempatkan di BKS boleh dikatakan hanya seorang dua saja yang boleh dikatakan benar-benar sebagai pengawal keselamatan.

Oleh itu, tidak hairanlah sejak bangunan BKS wujud, sudah ramai pengawal keselamatan bertukar ganti. Ada yang hanya gemar duduk di tempat pengawal tanpa membuat rondaan. Ada yang hanya menggentel biji tasbih , sehingga pasangan remaja berpeluk depan mata pun tidak dihindarkan. Manakala pengawal keselamatan yang ada sekarang, dikatakan gemar melihat pasangan remaja bercumbu. Atas sikap perwatakannya yang aneh itulah, dia seolah-olah bersekongkol dengan golongan remaja yang berpeleseran di BKS.

Antara sebab remaja gemar berpeleseran, minum arak, merokok di BKS kerana premis peniagaan ini kurang dikunjungi ramai. Kehadiran pelanggan boleh dikira dengan jari dalam sehari. Ini memudahkan golongan remaja ini melakukan apa saja tanpa gangguan. Mereka berani ponteng sekolah dan melepak di BKS walaupun lencana terpampang di uniform sekolah.

Pada hari Sabtu, BKS merupakan lokasi pertemuan pasangan remaja (pelajar) yang tinggal di asrama-asrama sekolah sekitar Temerloh. Mereka jadikan BKS sebagai tempat melepas rindu sebelum pulang ke rumah masing-masing. Biasanya sekitar 10 pagi hingga lewat petang yang kebanyakan menaiki bas akhir jam 6 petang. Ada setengahnya sengaja meminta ibubapa menjemput sekitar waktu tersebut, padahal mereka telah membuang masa hampir sehari bersama pasangan di BKS.

Sampai bila situasi begitu akan berakhir di BKS, hanya pihak berkuasa saja dapat membendungnya. Letak pengawal keselamatan yang benar-benar ikhlas, yakni yang tidak mahu melihat anak bangsanya menjadi sampah masyarakat. Manakala sekurang-kurangnya dua jam sekali, pihak polis membuat rondaan sebagai pemantauan.

Pegawai dari Pejabat Agama Islam juga seharusnya tidak dikecualikan. Tidak salah datang melihat sendiri situasi di BKS pada hari Sabtu. Jangan bila ada yang menghubungi pegawai di Pejabat Agama , lebih satu jam baru tiba, padahal pejabat mereka terletak hanya sepelaung daripada BKS.