Monday, February 13, 2012

Tarik kenyataan atau saman WSJ

AKHIRNYA Musyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat buka mulut dan mendesak penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya yang menyokong sebarang usaha memastikan keselamatan negara Israel seperti yang disiarkan dalam The Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini.

Nik Aziz juga meminta Anwar supaya menyaman WSJ sekiranya kenyataan tersebut telah diputar-belitkan oleh media berkenaan.

Beliau menambah, keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa tertinggi parti dan Majlis Syura Ulama PAS bermesyuarat di Kuala Lumpur.

"Jawatankuasa Agung dan Majlis Syura membuat keputusan meminta saya mengirim surat kepada Anwar supaya menarik balik kenyataannya mengenai Israel sebagaimana yang disiarkan dalam WSJ,” kata beliau lagi.

Pada saya desakan PAS supaya Anwar menarik balik kenyataannya dan menyaman WSJ condong ke arah untuk melihat sejauh mana dolak dalik Anwar selama ini. Biasanya jika berita begitu disiarkan akhbar arus perdana, beliau akan menuduh memutarbelitkan laporan.

Inilah masanya Anwar hendak membuktikan kenyataannya itu sama ada diputarbelitkan atau memang dia buat kenyataan begitu. Maknanya, jika telah diputarbelit ambil tindakan undang-undang. Jika betul buat kenyataan begitu perlu minta maaf secara terbuka.

Seluruh umat Islam di negara ini termasuk penyokong tegar Anwar sudah tentu menunggu-nunggu apa saja kenyataan, mohon maaf atau tindakan samannya terhadap WSJ ekoran isu tersebut. Ataupun sama-samalah kita tunggu apa helah terbarunya nanti.

Saya juga yakin kenyataan Anwar ‘menyokong sebarang usaha memastikan keselamatan negara Israel’ itu sedikit sebanyak telah membuka minda Nik Aziz. Selama ini beliau tidak percaya dengan dakwaan bekas sahabat-sahabat karib Penasihat PKR itu bahawa Anwar suka bermuka-muka, mungkin mula menganggap ada kebenarannya.

No comments:

Post a Comment