CATATAN TINTA


BAB 1
DARI TEROI KE KUALA LUMPUR

WALAUPUN sudah memasuki fasa alam remaja, namun tidak terfikir langsung suatu hari nanti saya akan menjadi salah seorang penghuni kota kosmopolitan Kuala Lumpur. Maklumlah hidup di kampung serba kekurangan sekitar tahun 60an, tidak apa yang dapat dibanggakan. Sekaligus pemikiran juga tidak dapat berkembang dengan sempurna ekoran celik mata hanya lihat petak-petak sawah saujana mata memandang.
Penduduk tempat lain, mungkin seronok lihat sawah padi. Bagi saya yang sudah lali, tentu tidak ada apa-apa keistimewaan lagi. Bagaimanapun setelah dewasa, barulah saya rasa kehilangan apabila segala nostalgia zaman kanak-kanak sudah tidak dapat berulang lagi, dalam kata lain sudah ditelan arus kemodenan.
Apa tidaknya, zaman membajak menggunakan kerbau sudah lenyap dari pandangan. Malah hendak melihat kerbau pun sukar kecuali gambar dalam buku atau di kaca televisyen.
Dulu, hampir setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya seekor kerbau untuk membajak.Memelihara kerbau tidak semudah disangka. Selain membina bangsal yang merupakan rumah kerbau, setiap pagi haiwan ternakan itu perlu diberi makan rumput.
Tuan kerbau akan mencari rumput dengan memotong yakni menyabit di batas-batas sawah atau di pinggir kampung. Rumput-rumput yang telah disabit akan disusun dalam pengandar, sejenis alat khas diperbuat daripada buluh.
Sekali sabit untuk makanan sekurang-kurangnya dua hingga tiga hari bagi seekor kerbau.Ada juga dikalangan perternak lebih suka menambat kerbau peliharaan di kawasan berumput.
Biasanya akan dibiarkan beberapa jam terutama di awal pagi. Kerbau yang ditambat tali pada hidung dan tumang sebagai kayu untuk memacak di tanah. Kerbau tidak akan terlepas selagi tidak ada orang mencabut tumang itu.
Seminggu sekali pula akan dibawa mandi di parit atau di kawasan berair. Ada sejenis alat digunakan untuk menyiram air ke badan kerbau. Alat yang diperbuat daripada buluh sebagai pemegang dan kepingan zink sebagai penceduk air.
Lebih mudah membuat alat ini dengan memaku tin milo kosong atau apa-apa bekas kecuali daripada kertas bersaiz lebih kurang botol minuman 1.5 ml pada sebatang kayu sebagai pemegang.
Dengan menggunakan alat ini lebih mudah menceduk air untuk menyimbah ke badan kerbau berbanding mengguna baldi atau timba.Kerbau juga perlu dibiarkan berkubang dalam lumpur untuk menyejukkan badan.
Lagi pekat lumpur lagi seronok haiwan berwarna gelap ini berkubang. Tidak hairanlahungkapan peribahasa melayu ‘seekor kerbau bawa lumpur, habis semua terpalit’. Maknanya kalau seekor kerbau berkubang dalam lumpur, kemudian pergi ke arah sekawan kerbau lain, pasti lumpur yang lekat pada kerbau seekor itu akan terpalit pada kerbau-kerbau lain.
Maksud peribahasa itu, kalau dalam satu-satu kumpulan atau persatuan, walaupun hanya seorang buat onar, yakni melakukan perkara tidak baik, pasti habis satu kumpulan turut menerima padah.Masih segar diingatan saya setiapkali selepas musim mengambil padi.
Oleh kerana pada waktu itu musim padi hanya setahun sekali, menunggu musim akan datang terasa begitu lama, yakni lebih kurang enam bulan. Ketika itu tanah sawah kering kontang dan ditumbuhi rumput.
Pemilik kerbau biasanya akan melepas kerbau peliharaan mereka untuk berkawan. Kawanan kerbau ini kadang-kadang melebihi 20 hingga 30 ekor. Bergerak bebas sambil meragut rumput dan mengawan selama lebih kurang tiga atau empat bulan.Kawanan kerbau ini akan bermandi lumpur di satu kawasan tengah sawah yang dikenali Aloq Makau tidak jauh dari kampung Batas Ubi.
Jika kampung tidak berpagar, kadang-kadang kumpulan kerbau ini masuk hingga ke laman rumah pada sebelah malam. Kawasan rumah saya juga pernah beberapakali dimasuki kerbau-kerbau berkenaan. Untuk mengelaknya, ayah mencari minyak kibas yang direndam pada kain perca. Kemudian kain itu diletakkan pada paku di batang pokok kuini tepi sawah. Selepas itu tiada lagi kerbau berani mendekati rumah kami.
Menurut ayah, bau minyak kibas seperti bau harimau. Itu sebabnya kerbau tidak berani lagi memasuki kawasan rumah walaupun tidak berpagar. Saya lihat sendiri, satu hari kumpulan kerbau datang tidak jauh dari rumah saya seolah-olah tidak senang hendak meragut rumput. Sekejap-sekejap mengangkat kepala dengan hidung kembang kempis, seolah-olah menghidu sesuatu. Kemudian terus beredar dari situ menghala ke tengah sawah.
Bagaimanapun, berbeza cara memelihara kerbau terutama di kawasan Chenor, Temerloh dan beberapa kampung lain di Pahang. Mereka memelihara bukan untuk membajak. Itu sebabnya pemilik haiwan ini membiarkan bebas secara berkumpulan. Haiwan berkenaan akan merayau-rayau dalam kampung atau belukar berhampiran mencari makan.
Apabila hendak menjual seperti menjelang raya atau hendak mengadakan kenduri kahwin misalnya, barulah pemilik menangkap kerbau mereka. Walaupun bercampur dengan kerbau orang lain berbulan-bulan lamanya, tetapi tetap mengenali yang mana kerbau milik mereka.
Cuma cara melepas bebas ini ada kalanya mengundang bahaya apabila kawanan kerbau itu mencari makan di pinggir kampung terutama pada waktu malam. Kumpulan kerbau akan melintas atau berehat atas jalan. Pernah berlaku beberapa kemalangan terutama penunggang motosikal ekoran tidak sempat mengelak kumpulan kerbau tersebut. Selain berehat, pada kebiasaannya kumpulan haiwan ini akan meninggalkan najis bertaburan sehingga jijik pandangan.
Perlu diingat, tiada kerbau bererti rentetan mengerjakan sawah secara tradisi juga ikut terkubur. Generasi kini termasuk anak-anak saya sudah tidak kenal lagi peralatan membajak seperti tenggala, sisir besi, tenggiling mahuun anor atau loghat utara anoq yakni kereta kerbau.
Tenggala digunakan untuk membajak apabila tiba musim hujan. Biasanya, setelah petak-petak sawah digenangi air, petani akan memulakan membajak. Jika membajak ketika tanah sawah kering sudah tentu meletihkan kerbau kerana tanah cukup keras. Apa tidaknya, sawah diusahakan setahun sekali. Tanah merekah dan keras seperti batu. Rumput pula panjang, sehingga ada melebihi paras lurut orang dewasa.
Tidak seperti sekarang padi di tanam setahun dua kali. Setengah tempat lima kali dua tahun. Rumput belum sempat panjang air dilepaskan mengikut jadual yang ditetapkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). Dulu hanya mengharap musim hujan semata-mata. Namun, nostalgia ketika menanam padi setahun sekali lebih seronok jika dibandingkan dua kali setahun seperti sekarang.
Membajak ketika sawah berair, tanah lembut sekaligus memudahkan kerbau menarik tenggala. Alat yang tidak diketahui siapa pencipta ini amat unik. Walaupun serba kekurangan, namun mereka dapat mencipta untuk memudahkan kerja-kerja di sawah.
Sisir pula diperbuat daripada bilah-bilah besi seperti sikat rambut, tetapi bilahnya agak jarang, lebih kurang sejengkal orang dewasa setiap satu. Panjang sisir lebih kurang satu meter setengah. Biasanya sisir digunakan setelah selesai membajak.
Seperti tenggala, kerbau akan menarik sisir perlahan-lahan. Segala rumput atau tumbuhan pada tanah yang telah dibajak akan sangkut pada mata sisir, sekaligus menghancurkan tanah yang dibajak menjadi lumpur.
Pengendali sisir di belakang kerbau memerlukan latihan. Jika tidak pandai, sudah pasti tidak dapat mengagak berapa banyak rumput untuk dijadikan longgokan setiap satu. Seperkara lagi jika terlampau banyak akan menjadi berat sehingga menyukarkan kerbau menariknya.
Pada kebiasaannya setiap longgokan dalam bentuk memanjang, yakni mengikut saiz sisir. Longgokan ini berbaris dalam petak sawah. Istilah rumput atau longgokan itu dipanggil ‘kapaq’ kalangan petani di kampung saya.
Setelah dibiarkan beberapa minggu, kapaq yang terendam itu akan menaikkan aroma ‘masam’, dikumpulkan di satu tempat. Sudah menjadi kelaziman, petani melonggok atau meletak disepanjang batas sawah. Cara ini lebih mudah, daripada membuang atau memindah ke tempat lain.
Ada petani ‘meramu’ yakni mengutip segala bahan tidak terpakai dalam sawah berair untuk diletakan atas batas sawah. Ada juga menggunakan upih pinang yang dibentuk seperti perahu untuk mengisi kapaq, sebelum ditarik untuk melonggok ke batas-batas sawah. Malah ada menggunakan ‘palong’ diperbuat daripada papan seperti sampan. Mengguna palong lebih banyak kapaq dapat dikumpul, sekaligus menjimat masa berulang alik ke tempat longgokan kapaq.
Setelah keadaan sawah bersih, sekali lagi kerbau ambil tempat untuk menghambakan diri kepada tuannya. Kali ini menarik tenggiling untuk meratakan permukaan tanah sawah. Kerja-kerja meratakan tanah ini pada kebiasaannya sebelum menanam padi dimulakan. Manakala air pada petak sawah hendaklah dikurangkan sehingga paras suku tenggiling.
Tenggiling diperbuat daripada batang kayu yang diukir lima segi seperti buah belimbing. Panjang alat ini dalam lingkungan tiga meter. Bila ditarik, tenggiling yang agak berat itu akan bergolek sekaligus dapat meratakan tanah sawah berlumpur.
Kerja-kerja seterusnya adalah menanam. Proses ini pada kebiasaannya dilakukan secara gotong-royong atau lebih dikenali sebagai ‘berderau’. Sistem berderau tidak memerlukan wang untuk membayar upah pekerja. Apa yang perlu, pemilik sawah mengganti balik mengikut berapa hari orang datang berderau di tanah sawahnya.
Maknanya, jika 10 orang datang menanam di sawahnya, dia juga akan mengganti balik kepada 10 orang itu mengikut jadual yang dipersetujui bersama. Untuk pemahaman lebih jelas, 10 orang yang datang berderau itu mungkin hanya sehari setiap seorang. Bermakna dia akan berderau hanya satu hari bagi setiap orang.
Sistem semaian di kampung saya di daerah Yan, tidak sama di daerah Krian, Perak Utara. Di sana petani menggunakan lumpur, diletakan pada daun pisang atau plastik sebagai alas. Lumpur diratakan kemudian ditabur dengan benih padi. Ditutup dengan rumput kering untuk mengelak daripada dimakan burung. 
Setelah cambah dan menghijau lebih kurang sejengkal tinggi, semaian itu dialih di petak sawah. Dibaja sehingga subur setinggi paras lutut orang dewasa, barulah semaian itu dicabut untuk ditanam di petak-petak sawah yang sudah siap dibersihkan.
Di kampung saya benih padi ditabur terus di petak khas sawah atau lebih dikenali sebagai 'petak semaian'. Sama seperti di Perak, setelah lebih kurang setinggi lutut orang dewasa, barulah dicabut dan diikat mengikut saiz yang ditetapkan.
Mencabut anak semaian juga ada caranya. Di Perak menggunakan pisau sebelum menarik anak semaian. Di Kedah setelah dicabut kira-kira secekak, mereka memukul akar semaian ke telapak kaki. Melakukan cara itu untuk membuang tanah yang melekat pada akar semaian. Pada kebiasaanya golongan wanita melakukan kerja-kerja mencabut semaian dan menggunakan sistem berderau juga. 
Pendek kata semua kerja-kerja sawah bermula proses menanam hingga mengerat secara berderau (gotong-royang). Sistem ini amat praktikal kerana pemilik sawah hanya menyediakan makanan berupa kuih muih atau nasi lemak pada sebelah pagi, manakala biskut krem kraker atau istilah tempatan 'roti empat segi' yang dicicah (celup) kopi O atau teh O untuk sesi sebelah petang.
Menanam juga dimonopoli golongan wanita. Dengan menggunakan alat yang dipanggil ‘kuku kambing’, mereka boleh menanam satu atau dua relung jika berderau 10 orang. Berderau pula tidak ada had, lagi ramai lagi cepat dapat di tanam. Cuma timbul masalah hendak kumpul lebih 10 orang untuk satu-satu masa apabila tiba musim menanam serentak dalam satu-satu kampung.
Berderau seramai 10 hingga 20 orang biasanya memerlukan dua atau tiga lelaki untuk menabur semai. Tabur semai merupakan pekerjaan paling mudah. Mereka hanya perlu mengambil lebih kurang secekak anak padi, kemudian meletakan dilaluan orang menanam.
Menanam pada kebiasaannya secara berundur. Tangan kanan memegang hulu kuku kambing sambil mencekak sedikit anak semaian. Tangan kiri akan menarik sedikit atau lebih kurang sebesar ibu jari, sebelum meletak akar semaian pada mata kuku kambing bermata seperti huruf U, kemudian terus membenam ke tanah lumpur.
Cara sama bermula sebelah kanan ke kiri. Anak padi ditanam jarak sejengkal antara satu sama lain dengan lima tanaman dalam satu baris. Setelah berundur setapak ulangi cara sama sehingga habis satu petak sawah.
Begitulah keadaannya atau cara menanam sejak turun temurun. Malangnya menanam menggunakan kuku kambing sudah tidak dapat dilihat lagi, sebaliknya telah diganti dengan sistem tabur terus. 



BAB 2
AIS KEPAL MAT TODAK

SELESAI menanam, kebanyakkan pesawah hanya makan tidur. Selepas solat Subuh ada yang lepak di kedai kopi atau warung di Pekan Teroi. Satu-satunya restoran mamak bangunan baris Pusat Kesihatan Kecil arah  Guar Chempedak. Seperti biasa tarikan pelanggan ke kedai mamak kerana sarapan istimewanya roti canai.
Tidak seperti zaman sekarang, orang Melayu sudah pandai tebar roti canai. Malah kuah kacang dal atau kari Melayu lebih sedap daripada kuah masakan mamak. Sebelah utara termasuk kampung saya kacang dal di panggil kacang parpu, yang merupakan kacang popular kalangan masyarakat India. Kuih masalode, sejenis kuih masyarakat India juga diperbuat daripada kacang parpu.
Sekali sekala ayah bawa saya sarapan di restoran ini. Saya lebih suka makan dengan gula, maklumlah ketika itu tidak terfikir langsung bahaya jika makan manis-manis. Orang dewasa pun saya lihat ramai lebih gemar makan roti canai cicah gula berbanding dengan kuah dal atau kari.
Minuman kegemaran saya teh panas. Kadang-kadang ikut saja apa yang ayah minta. Pada waktu itu belum popular minuman jenis tarik-tarik. Tidak hairanlah, tidak seorang pelanggan pun di restoran itu saya lihat minta kopi atau teh tarik, semua jenis panas-panas. Untuk cepat suam mereka tuang dalam piring yang merupakan alas cawan. Tidak seperti sekarang kebanyakan restoran atau gerai minuman hanya menggunakan cawan sahaja. Setelah agak-agak boleh minum, mereka hirup terus menggunakan piring itu.
Satu lagi tepi jalan arah ke Bukit Teroi. Pemilik gerai ini bernama Ahmad yang merupakan penduduk setempat. Ahmad lebih dikenali dengan gelaran Mat Todak. Gerai ini menjadi tumpuan kerana terdapatnya pelbagai kuih muih tempatan serta nasi lemak bungkus daun pisang ikan bilis dan gulai ikan talang. Sebungkus hanya sekupang. Makan sebungkus pun sudah kenyang kanak-kanak seperti saya. Lainlah pesawah atau penoreh getah yang memerlukan sekurang-kurang dua bungkus sekali hadap.
Ada juga beberapa menu untuk makan tengah hari tetapi kurang sambutan. Ini disebabkan kebanyakkan penduduk kampung lebih gemar masak dan makan di rumah. Maklumlah penduduk Teroi ketika itu hampir 90 peratus sebagai pesawah atau penoreh getah. Mereka sudah terbiasa makan tengah hari paling kurang dua pinggan penuh.
Jika makan di kedai yang hanya menggunakan pinggan leper, sudah tentu tidak cukup kenyang sekaligus kurang bertenaga untuk kerja-kerja sawah bawah terik matahari. Begitu juga dengan penoreh yang terpaksa mengangkat tong atau baldi susu getah yang tidak kurang juga beratnya. Kalau kurang bertenaga, berkemungkinan sewaktu mengangkat baldi kaki tersadung akar getah.
Bagaimanapun, ‘Bihun Sup Mat Todak’ cukup popular sekaligus merupakan tarikan utama di gerainya. Begitu juga air bandung dan ais kacang. Kini ais kacang lebih dikenali sebagai air batu campur atau ABC.
Ais kepal pula menjadi kegemaran ramai terutama pelajar sekolah. Saya bersama rakan-rakan boleh dikatakan seminggu dua tiga kali datang beli. Kebetulan ayah saya berniaga di kantin Sekolah Kebangsaan Teroi dan kami tinggal di situ. Jarak antara sekolah dengan Gerai Mat Todak lebih kurang dalam 500 meter. Cuma kedudukan gerai di seberang jalan kadang-kadang membimbangkan ayah dan emak saya ketika melintas.
Biasanya, sebelum keluar kelas saya berjanji dengan rakan-rakan di Jalan Bukit untuk ke gerai Mat Todak. Kalau tidak ada rakan, saya sanggup pergi bersendirian, yang penting dapat ais kepal. Bukan sedap sangat pun, tapi seronok sedut dalam cuaca panas ais yang berharga hanya lima duit atau lima sen itu.
Untuk membuat ais kepal tidaklah sukar. Yang penting ada alat penyagat air batu. Dulu tidak ada ais kuib seperti sekarang. Yang ada bungkah air batu lebih kurang empat jengkal orang dewasa dan tebal dalam dua jengkal.
Bungkah air batu ini akan digergaji bersaiz lebih kurang sejengkal dalam bentuk empat segi. Ketulan inilah akan dimasukkan pada alat penyagat. Air batu yang disagat kemudian dikepal sebesar bola sepak takraw. Kemudian tuang pemanis daripada gula merah atau gula kabung. Jika air gula biasa diwarnakan merah supaya kelihatan garang bila dituang pada ais kepal.
Ais kepal yang telah siap diberi terus. Untuk mengelak daripada ais kepal itu menitis atau meleleh terpaksa sentiasa dihisap.
Sepanjang jalan pulang dari Gerai Mat Todak ke kantin sekolah, biasanya tinggal kepalan ais sebesar penumbuk dan tidak lagi ada air gula. Saya tidak buang begitu saja, sebaliknya akan bahan untuk dibaling pada kambing, kucing atau ayam. Kalau tidak bertemu dengan haiwan berkenaan, baki ais kepal itu akan saya baling atas atap dewan orang ramai sebelah rumah guru besar Cikgu Bahari.
Rentetan kehidupan sewaktu alam sekolah rendah memang menyeronokkan. Tidak tahu penat. Bayangkan setelah saya ke Gerai Mat Todak, bergegas pulang untuk makan dan mandi kerana perlu mengaji Quran di rumah Imam Abu atau lebih dikenali Lebai Abu di Jalan Bukit. Kalau tidak silap saya, beliau merupakan Imam Masjid Pekan Teroi pertama atau pengasas sejak bangunan ibadat itu didirikan sebelum merdeka lagi.
Sekali lagi saya datang ke Gerai Mat Todak. Walaupun datang kali kedua hanya lalu sahaja untuk pergi mengaji ke rumah Imam Abu kira-kira setengah kilometer dari gerai berkenaan menghala Jalan Bukit. Bukankah buang masa kerana tadi sudah datang bersama rakan-rakan beli ais kepal, kemudian balik dan datang sekali lagi.
Disebabkan berulang alik sudah memakan masa lebih kurang setengah jam. Masa terbuang begitu sahaja. Jadi tidak salah kalau emak saya membebel kerana melewat-lewatkan pergi mengaji.
Walaupun waktu mengaji sekitar pukul 3:00 petang, tetapi bila melengah-lengah menyebabkan sampai ke rumah Imam Abu juga lewat. Rakan-rakan lain sudah selesai Imam Abu ajar, saya baru sampai. Kadang-kadang dia memukul-mukul lantai sambil menjeling ke arah saya seolah-olah beri amaran kerana datang lewat. Mungkin tidak gemar dengan gelagat saya, dia adukan pada ayah.
Berjalur belakang kena rotan bila ayah hilang sabar. Maklumlah, Imam Abu merupakan antara orang paling dihormati di kampung Teroi ketika itu. Kebetulan juga kami ada kaitan sedara tetapi jauh dan pernah berjiran dengannya sebelum pindah ke kampung Batu 20.
Saya langsung tidak ingat kerana berusia sekitar dua atau tiga tahun sewaktu menjadi jiran Imam Abu. Bagaimanapun, sewaktu dalam darjah satu, emak pernah menceritakan tentang rumah kami di Jalan Bukit antara rumah Imam Abu dengan rumah Pak Ngah Deraman.
Pernah juga sewaktu berjalan di lorong masuk ke rumah Pak Ngah Deraman ketika menghadiri kenduri kahwin anaknya, emak menunjukkan bekas tapak rumah kami yang sudah dipenuhi belukar.
Tinggal di kampung Batu 20 pun saya tidak berapa ingat sangat. Setahu saya, rumah kami sebelah kanan tepi bendang di hadapan rumah Ibrahim, yakni bapa sedara arwah ayah saya. Ibrahim lebih dikenali sebagai Pak Berahim Teksi kerana agak lama juga dia memandu teksi berpengkalan di pekan Guar Chempedak.
Pak Berahim kahwin dengan Juriah keturunan Aceh setelah bercerai dengan isteri pertamanya berasal dari Bandar Baru, Kedah. Pak Berahim pula keturunan Banjar. Bermakna dua-dua berasal daripada Indonesia tetapi terdiri daripada suku kaum berbeza.
Aceh ramai di Utara kepulauan Sumatra, manakala Banjar ramai terdapat di Timur Kepulauan Borneo bersempadan negeri Sabah. Disebabkan suku kaum berbeza, masing-masing tidak faham jika Tok Su perempuan bercakap sesama mereka dalam bahasa Aceh. Begitu juga sebaliknya jika Tok Su lelaki bertutur bahasa Banjar dengan sedara-maranya. Bagaimanapun pada kebiasaannya mereka bertutur bahasa Melayu loghat Utara supaya tidak timbul salah faham.
Oleh kerana pangkat Tok Sedara, saya memanggilnya Tok Su Berahim atau di kalangan sedara mara lebih dikenali sebagai Tok Su Jantan. Manakala Juriah kami panggil Tok Su Betina. Sebutan agak 'biadap dan kasar', tetapi bagi orang Kedah sudah jadi lumrah sebutan atau gelaran kasar begitu.
Juriah merupakan ibu kandung Dato' Seri Sanusi Joned mantan Menteri Pertanian dan juga Setiausaha Agong Umno. Saya tidak rapat dengan beliau kerana jarak usia antara kami terlalu jauh. Bermakna saya tahu Sanusi anak tiri Tok Su Berahim tetapi tidak pernah ambil tahu lebih mendalam. Apatah lagi sewaktu saya masih di sekolah rendah, beliau sudah belajar di London jurusan akauntan dan pernah bekerja di Standard Charted (dulu Chartered Bank) Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Adik Sanusi, Abdullah Maamum. Saya juga tidak berapa kenal atas faktor usia seperti juga Sanusi. Namun bila disebut-sebut Pak Ngah ada balik, bermakna Abdullah Maamum pulang ke kampung. Saya juga tidak pernah bertanya dia bersekolah atau bekerja di mana ketika pada sekitar 60an.
Setelah dewasa saya pernah berjumpa beliau sekali di rumah Sanusi di Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur dan pada satu majlis penyerahan traktor di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah. Itupun kebetulan sempena Hari Raya Puasa sekitar tahun 80-an dan saya bertugas dengan syarikat media ketika itu. Lima atau enam tahun kemudian, Abdullah meninggal dunia.
Pada malamnya, saya bersama bapa saudara @ Pak Tam Amiruddin Haji Ahmad ketika itu tinggal di Pinggiran Seri Gombak, telah pergi ke rumah Sanusi di Jalan Batai Dalam, Bangsar. Kami tidak menghadiri pada majlis pengkebumian kerana ada tugas masing-masing yang tidak dapat dielakkan. 
Bagaimanapun, saya lebih mengenali Hariah adik perempuan Sanusi tinggal di Kampung Aceh, Yan. Saya memanggilnya Makcik Hariah. Hariah merupakan isteri cikgu Ismail atau Marwan, guru darjah enam saya pada 1967 di Sekolah Kebangsaan Teroi.
Anak kandung Pak Berahim dengan Juriah bernama Fadzil menetap di Subang Jaya. Dia bekerja di ibu pejabat Tenaga Nasional Berhad (TEN), Jalan Bangsar, Kuala Lumpur. Saya memanggilnya Pak Su Fadzil dan sewaktu saya menetap di Kuala Lumpur, bertugas dengan media, sering juga bertemu dalam majlis-majlis tertentu anjuran TEN.
Sekarang ini rumah pusaka Pak Berahim di Batu 20 sudah tiada. Saya dapat tahu tanah tersebut telah berpindah milik dan kini telah didirikan sederet bangunan kedai. Manakala di belakang bangunan itu sudah menjadi taman perumahan.
Dengan ketiadaan lagi rumah itu, menyebabkan saya sendiri keliru bila memandu kenderaan sampai di kawasan berkenaan. Dulu kalau menghala ke Teroi, di sebelah kiri rumah Pak Berahim terakhir, kemudian sawah. Tepi sawah tali air dengan air begitu jernih memanjang melintasi Jalan Yan terus ke kawasan perairan MADA sekitar Dulang. Seberang tali air rumah sedara mara saya yang juga keturunan Banjar. 
Dulu rumah itu jadi persinggahan saya bersama bapa saudara arwah Harun Haji Ahmad, adik Amiruddin sekiranya kami berbasikal pulang dari Guar Chempedak. Singgah semata-mata minta air sejuk untuk hilangkan dahaga sahaja. Walaupun Harun bapa sedara @ pak menakan dan saya memanggilnya Acu Harun, tetapi umur kami sebaya kerana lahir dalam tahun sama, tetapi saya tua lebih kurang seminggu.
Kadang-kadang Pak Berahim jemput kami tidur sekiranya jika dia hendak ziarah keluarga di Perak atau ke majlis-majlis tertentu dalam ertikata tidak pulang ke rumah pada malamnya. Bila dia jemput Harun bererti jemput saya juga. Begitu juga jika Pak Berahim beritahu ayah supaya saya tidur di Batu 20, bermakna dia mengajak Harun sekali.
Rumah itu agak besar tetapi tetapi tinggal hanya bertiga sahaja iaitu Pak Berahim suami isteri dan Tok Bit, ibu Tok Su perempuan, yakni mak mentua Pak Berahim.
Dengan Tok Su perempuan, saya belajar beberapa patah perkataan Aceh seperti pajoh bu, bermakna makan nasi. Manok ertinya ayam dan beberapa perkataan lagi yang saya telah lupa kerana sudah tidak lagi mendengarnya setelah saya berhijrah ke Kuala Lumpur dalam usia bawah 20 tahun.
Masakan Aceh yang amat kami gemari adalah masak asam ikan tongkol atau ikan kayu. Ada nama khas dalam bahasa Aceh, tetapi saya sudah lupa. Tok Su perempuan pun macam tahu kami minat dengan masakan itu. Kalau dia jemput bermalam, pasti beritahu sudah masak masakan itu supaya kami tidak menolak bermalam di rumahnya.
Walaupun Tok Sedara Tiri, tapi saya tetap malu-malu hendak makan. Apatah lagi kalau dia ikut sama makan di meja bersama Tok Bit. Jika ceduk kuah atau ambil lauk pertama kali, sampai habis tidak berani tambah.
Tok Su perempuan selalu memerhati saya yang malu-malu itu. Bila nampak nasi kering tak berkuah, dia akan ceduk dan masukkan ke pinggan saya. Kadang-kadang berbunyi juga orang tua itu, “Hamid malu apa, makan jangan kira, memang Toksu masak bagi hangpa berdua makan,”
Bukan hendak mengata atau memburukkan arwah Paksu Harun. Dia betul-betul belasah. Makan langsung tidak angkat kepala. Tulang lauk keliling pinggan. Bila Tok Su perempuan suruh ‘buang’, yakni letak di tempat lain, barulah dia tolak semua tulang-tulang itu di tepi pinggan makannya.
Apapun segalanya sudah tinggal nostalgia. Batu 20 sudah banyak berubah. Apatah lagi Pekan Guar Chempedak. Sewaktu saya tinggalkan kampung, pekan itu tidak ada lampu isyarat, sekarang sudah ada. Dulu stesen dan juga perhentian bas tidak jauh dari lampu isyarat jika datang dari arah Gurun. Bas RIDA (sekarang MARA/City Liner) dulu jika datang dari Yan, terpaksa lintas jalan, lebih kurang 20 meter bergerak arah Gurun, lintas balik untuk berhenti di stesen sebelum lampu isyarat itu.
Pada hari Rabu merupakan Pekan Sehari  dan orang berniaga bermula dari persimpangan jambatan batu hingga tapak pasar Jalan Yan. Begitu juga di kawasan stesen bas Guar Chempedak – Yan itu yang juga perhentian bas UTC Alor Setar – Butterworth. Kadang-kadang ada juga orang jual ubat sehingga kawasan itu kelam kabut jadinya, namun jarang berlaku kemalangan.


BAB 3
NAIK GEREK DALAM KERANJANG

SEKITAR tahun 60an kampung saya masih menggunakan pelita minyak tanah untuk menerangi rumah ketika malam. Penduduk juga menggunakan dapur kayu untuk memasak. Manakala menggunakan basikal atau lebih dikenali sebagai ‘gerek’ untuk memudahkan bergerak ke sana ke mari.
Harga minyak tanah atau minyak gas hanya limabelas sen sebotol 1.5ml. Satu botol boleh digunakan untuk tiga atau empat malam, bagaimanapun bergantung kuantiti pelita digunakan. Rumah saya hanya pasang dua pelita sahaja tiap malam. Satu di ruang tamu dan satu lagi di dapur. Pelita tidur di pasang antara ruang tamu dan dapur untuk memudahkan bergerak sekiranya terjaga tengah malam terutama untuk buang air kecil. 
Sudah jadi kebiasaan juga setiap petang penduduk kampung keluar ke pekan Teroi beli barangan dapur. Maklumlah awal pagi masing-masing sibuk ke bendang atau menoreh getah di tanah-tanah pinggir Bukit Teroi. Hanya sebelah petang sahaja baru mereka ada masa hendak beli barang keperluan harian. Kebiasaannya juga, sebotol minyak gas pasti termasuk dalam senarai belian walaupun masih ada lagi baki suku botol di rumah. Ini kerana, bahan bakar itu merupakan bahan penting jika tidak mahu malam bergelap. 
Kedai Cina Gin Seng sebelah kedai Pak Long Leng di pangkal Jalan Dulang sememangnya jadi tumpuan. Satu lagi kedai Wan Cun sebelah kedai basikal barisan kedai arah Guar Chempedak juga ramai dengan pembeli Melayu. Manakala kedai Pie atau nama penuh Shafie tidak jauh dari Gerai Mat Todak di Jalan Bukit juga sentiasa ramai pelanggan. 
Kalau tidak silap saya ada tujuh kedai runcit  Cina dan dua Melayu pada waktu itu. Yang peliknya, penduduk berbangsa Cina dalam Pekan Teroi termasuk beberapa buah rumah berhampiran kampung Melayu tidak sampai 100 orang. Namun, kedai-kedai runcit Cina ini langsung tidak berdepan dengan masalah pelanggan. Pendek kata semua pelanggan mereka adalah orang Melayu.
Ada juga kalangan penduduk menggunakan lampu gaselin. Lampu ini amat terang tetapi hanya boleh dikira dengan jari sahaja penduduk memasangnya setiap malam. Sebaliknya, digunakan bila sedara mara jauh datang ataupun ketika keramaian seperti kenduri kendara dan majlis-majlis tertentu. 
Tidak semua orang pandai menyalakan lampu gaselin. Oleh kerana rumah saya tidak mempunyai lampu berkenaan, menyebabkan saya tidak pandai menyalakannya. Apatah lagi lampu antik itu sekarang tidak lagi digunakan untuk menerangi rumah waktu malam. Kalau ada pun digantung pada rumah atau tempat-tempat tertentu hanya sekadar hiasan. 
Sewaktu saya berumur lingkungan empat atau lima tahun, bila ada orang hendak menghidupkan lampu gaselin, pasti datang dekat. Jika ada keramaian seperti kenduri, saya bersama rakan-rakan duduk keliling orang yang hendak nyalakan lampu itu. Bukan ‘jakun’ atau boleh diistilah seumpamanya, tetapi sudah jadi perangai kanak-kanak, seorang duduk, yang lain pun ikut sama hendak melihat. 
Apa yang saya amati bila hendak nyalakan lampu gaselin, perlu tuang minyak sepirit pada alat khas sebesar syiling 50 sen dalam cermin lampu berkenaan. Sepirit pula diisi dalam alat tembaga. Besar alat itu kira-kira bertemu kuku ibu jari tangan dengan kuku jari penunjuk orang dewasa. Mempunyai muncung halus seperti ceret untuk memudahkan tuang agar tidak tumpah. 
Kemudian sepirit itu dicucuh dengan mancis atau menggunakan kertas akhbar yang dikoyak sedikit sebagai pencucuh dan dinyalakan terlebih dahulu. Setelah itu barulah ‘pam’ mengikut tekanan angin yang diperlukan untuk menyalurkan minyak tanah. Kemudian ‘on-off’ beberapa kali pada alat pemusing warna merah, setelah sumbu mula mengeluarkan cahaya. Laraskan angin agar bersesuaian sekaligus cahaya akan menerangi kawasan sekitar. 
“Hurey!” 
Ada yang menjerit. Ada yang melompat. Seronok kerana terlalu terang. Apa tidaknya, kalau tadi cahaya suram dan malap, kini telah nampak lubang hidung setelah cahaya terang menderang. 
Kalau di rumah kenduri kahwin biasanya lampu gaselin akan digantung di balai, yakni tempat khas digunakan untuk kumpulan marhaban pada hari kenduri esoknya. Manakala kerja-kerja memotong daging pada malam sebelum majlis kenduri juga dilakukan di balai. Kerbau atau lembu biasanya ditumbangkan sebelum Maghrib. 
Basikal pula boleh dikatakan setiap orang mempunyai sekurang-kurang sebuah, jenis besar dan berpalang. Ada menggunakan basikal ‘Raleigh’ dan ‘Herculis’ yang merupakan antara basikal tahan lasak tetapi harganya agak mahal. Ayah saya juga mempunyai sebuah basikal tetapi keluaran Birmingham Small Arms (BSA). 
BSA merupakan sebuah syarikat pengeluar senjata terbesar di United Kingdom. Selain senjata syarikat ini juga mengeluarkan motosikal dan basikal. Ada dikalangan orang Teroi berkata, BSA adalah ‘Basikal Sengkek Angin’. 
Setelah menetap di Kuala Lumpur, setiapkali lihat Allahyarham Sudirman Haji Arshad penyanyi popular dari Temerloh, Pahang mendendangkan lagu ‘Basikal Tua’ di kaca TV, pasti teringat arwah ayah. Terlalu banyak nostalgia saya bersama ayah dan basikal BSA itu. 
Lebih menyentuh hati saya kerana selain sebagai peminat sebelum itu, tidak disangka-sangka Sudirman menjadi rakan sebumbung sewaktu saya bertugas di Kumpulan Karangkraf, Taman Tun Dr. Ismail sekitar tahun 80-an dahulu. Walaupun dia bekerja tidak lama tetapi dapat melihat apa yang beliau lakukan setiap hari dalam bilik cermin di hadapan meja saya. 
Sudirman tekun bekerja tetapi kurang bercakap. Berbanding kalau kita lihat dia buat persembahan pentas begitu lincah. Dia dapat menguasai setiap ruang pentas sambil berkomunikasi dengan penonton. Berbanding jika di pejabat ‘tanya sepatah, jawab sepatah’. 
Sewaktu di Karangkraf, Sudirman menulis semua penerbitan antaranya majalah Bintang Kecil, Nona,  Mingguan Kanak-Kanak, Media Hiburan dan Bacaria. Kelemahan penyanyi diminati ramai itu kerana tidak pandai menggunakan mesin taip, sebaliknya semua artikelnya tulisan tangan. 
Seorang lagi rakan sewaktu di Karangkraf adalah Dahlan Zainuddin popular dengan lagu ‘Kisah Seorang Biduan’ sekitar tahun 70-an dulu. Dahlan yang kini bergelar Dato,boleh bergurau dan dia sendiri suka buat lawak. Kadang-kadang kami sarapan bersama sebelum masuk pejabat di Restoran Kak Rubi milik pelakon veteran Rubiah Suparman di belakang bangunan Karangkraf. 
Dahlan tidak menulis tetapi diberi tugas sebagai Pegawai Pengiklanan. Bermakna berliau bertanggungjawab mencari seberapa banyak iklan untuk dimuatkan dalam majalah dan akhbar terbitan milik Dato Hussamuddin yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan itu. Jika ada majlis-majlis tertentu Dahlan bertindak sebagai pengacara majlis. 
Berbalik mengenai basikal, selain digunakan sebagai kenderaan, ayah saya gunakan untuk mengangkut dan mengumpul buah mempelam muda yang dibelinya daripada penduduk kampung. Sebagai peraih, keranjang leper sentiasa diikat pada pelantar basikal tua itu pada setiap musim mempelam berbuah. 
Ayah juga kerap bawa saya menaiki basikal secara duduk dalam raga buluh itu. Sambil bersila, kedua-dua belah tangan memegang kemas sisi raga. Seronok ada, malu pun ada bila lalu depan rumah kawan-kawan perempuan dalam perjalanan ke Pekan Teroi atau Guar Chempedak. Ada dikalangan  mereka senyum sinis memandang ke arah saya. 
Mengenai mempelam, kebanyakkan penduduk kampung Teroi tidak berapa gemar mempelam air (pelam ayaq) dan mempelam telur (pelam teloq). Itu sebabnya mereka lebih suka jual muda daripada biarkan masak di pokok seperti mempelam kuini (pelam konen). Ayah beli dan hantar kepada rakannya yang merupakan tauke Cina di pasar bandar Sungai Petani. 
Seminggu dua atau tiga kali lori kecil milik tauke Cina itu datang ambil. Sekali datang paling kurang lima atau enam keranjang besar. Kadang-kadang ayah ikut sama naik lori itu untuk ambil duit dengan tauke. Sebagai anak tunggal pada waktu itu, jarang ayah tinggalkan saya jika dia hendak ke bandar yang mempunyai jam besar di tengah-tengah jalan itu. 
Nostalgia yang saya tidak dapat lupa bila sampai kawasan Sungai Lalang. Kiri kanan jalan merupakan ladang getah. Daun pokok getah sebelah kiri jalan bercantum dengan daun pokok di sebelah kanan jalan menjadikan kawasan itu seolah-olah terowong panjang. 
Bagaimanapun, setelah jalan dilebarkan dan pokok-pokok getah tua ditebang untuk ditanam semula, sudah tiada lagi tarikan setiap kali melalui kawasan berkenaan. Malah generasi kini boleh dikatakan tidak tahu menahu langsung adanya terowong pokok getah di situ.
Mengenai dapur memasak pula, boleh dikatakan semua menggunakan dapur kayu. Cara membuatnya tidaklah susah. Berkaki empat atau enam seperti meja, kemudian buat ruang untuk memasukkan tanah liat. Setelah tanah liat itu kering, letakkan dua batu bata sebelah kiri dan kanan mengikut saiz periuk sebagai tungku. Untuk kuali biasanya perlu susun tiga batu bata seperti tiga segi untuk mengelak kuali tidak stabil ketika memasak.
Jika tungku rendah boleh letak batu bata secara berlapis, yakni dua batu bata setiap tungku. Tungku terlalu rendah juga sukar hendak letak kayu api yang merupakan bahan bakar utama. Api juga sukar menyala sekiranya terlampau padat dengan kayu.
Paling mudah letak tungku berlapis yakni batu bata lapis dua letak tiga baris. Kiri, tengah dan kanan. Letak dua batang besi panjang atas tungku berkenaan. Sendal atau paku supaya batang besi tidak bergerak bila letak periuk atau kuali.
Hendak hidupkan dapur kayu bukannya mudah. Kalau tidak mahir api tidak akan menyala marak lebih-lebih lagi jika kayu api tidak betul-betul kering. Itu sebabnya untuk memudahkan api hidup kebanyakkan menggunakan sabut atau daun kelapa kering. Ada juga secara tuang sedikit minyak gas pada kayu kemudian cucuk.
Apa yang saya lihat cara arwah ibu hidupkan api dapur dengan meletak seketul sabut kemudian susun tiga atau empat batang kayu api atas sabut berkenaan. Sengaja dibiarkan ada ruang untuk memasukkan dua atau tiga keping daun kelapa kering yang dipatah dua. Bakar daun kelapa kering itu dengan mancis atau pelita, setelah hidup masukan di bawah sabut.
Pada kebiasaannya, jika sabut dan kayu kering api mudah menyala. Tenggeklah periuk untuk tanak nasi atau kuali goreng ikan tidak jadi masalah lagi. Yang penting tambah kayu bila hampir habis dimakan api.
Tanak nasi tidaklah semudah seperti sekarang. Basuh beras masukkan dalam periuk dan air secukupnya, kemudian tekan suis. Boleh tinggalkan atau buat kerja-kerja lain, termasuk tonton tv atau baca akhbar kerana nasi boleh masak sendiri. Tidak perlu bimbang nasi jadi hangit.
Dulu selepas periuk tertenggek atas api, tidak boleh ke mana-mana dalam waktu lama.
Pendek kata tidak boleh lalai yakni sekali-sekala perlu lihat periuk atas dapur. Jika sudah mendidih penutup periuk perlu dibuka dan beras perlu dikacau dengan senduk. Biarkan dulu setelah agak-agak air kering, kacau sekali lagi barulah periuk boleh ditutup. Api pula perlu bara sahaja untuk mengelak nasi menjadi hangit. Bermakna nasi masak hanya menggunakan wap dalam periuk sahaja.
Orang tua-tua dulu, hendak cari menantu mesti tahu tanak nasi. Tidak hairanlah ibubapa utamakan anak dara mereka pandai masak nasi daripada masak makanan lain. Kalau masakan lain pandai, lagi bagus dan berebutlah orang hendak jadikan menantu.
Mengulas mengenai dapur tidak lengkap sekiranya tidak tahu cari kayu api yang merupakan bahan bakar utama. Walaupun tinggal di kampung banyak pokok, tetapi tidak semua boleh dijadikan kayu api. Biasanya batang pokok getah jadi pilihan kerana kayunya mudah kering dan api membakar lebih marak.
Paling senang pelepah daun kelapa, tetapi tidak mencukupi jika tiga atau empat pokok sahaja ditanam. Lagipun, kebanyakan orang Teroi pokok kelapa hanya menunggu buah tua gugur untuk dijadikan santan masakan. Disebabkan, pokok tidak banyak, bermakna pelepah kelapa tua gugur juga tidak banyak, sekaligus tidak dapat dijadikan sebagai sumber utama kayu api.
Tidak hairanlah ada di kalangan penduduk beli sahaja kayu getah. Ada agen masuk ke kampung-kanmpung mencari atau bertanya siapa-siapa yang hendak membelinya. Kayu-kayu tersebut biasanya dari ladang yang yang akan ditanam semula. Daripada batang-batang pokok getah itu dibakar begitu sahaja, lebih baik dijual kepada yang memerlukan. Satu lori kecil kalau tidak silap saya pada waktu itu sekitar RM20 atau RM30 sahaja.
Tempahan biasanya akan sampai dalam masa dua atau tiga hari. Kalau nampak lori datang berhenti tepi jalan, seorang demi seorang kanak-kanak datang walaupun tidak dipanggil. Pada mulanya sekadar hendak lihat pemandu dan kalendan menolak satu demi satu batang-batang getah yang sudah dipotong kira-kira tiga kaki setiap satu yang disusun dua baris dalam lori itu.
Setelah selesai, giliran kami pula mengangkat dan menyusun ditempat yang disediakan seperti bawah pokok mempelam atau sebagainya. Untuk mengelak daripada kena hujan, susunan batang-batang getah ini akan ditutup dengan plastik. Begitulah seronoknya tinggal di kampung kerana budaya bergotong-royong sudah ditanam sejak kecil.
Batang getah ini pula seelok-eloknya dibelah ketika masih basah barulah tidak liat. Maknanya, sekali hayun kapak sudah terbelah dua. Bagaimanapun, batang getah yang dihantar agar panjang dan terpaksa dipotong dua barulah tidak mudah ditegakkan sewaktu hendak menghayun kapak kerana tidak terlalu tinggi.
Sewaktu gergaji batang-batang getah ini boleh dikatakan bekerja sambil bermain. Apa tidaknya, dua orang diperlukan untuk menyurung tarik gergaji, manakala dua orang lagi duduk di kiri kanan batang getah yang sedang dipotong, yakni seperti duduk atas mainan jongkang-jongkit.
Tujuan duduk di kiri kanan itu untuk mengelak mata gergaji tidak tersepit. Batang getah yang masih basah itu akan mengeluarkan getah dan melekat pada gergaji sehingga sukar hendak menyurung tarik.  Bagaimanapun, dengan adanya beban di kiri kanan, menyebabkan tempat yang digergaji itu terbuka, sekaligus dapatlah memotong hingga putus dua.
Tidak semestinya kayu-kayu itu perlu dibelah kesemuanya sekaligus. Biasanya mereka lakukan bila ada masa terluang seperti sebelah petang sebelum masuk waktu Maghrib. Setiap batang dibelah empat atau enam bergantung pada saiz. Kemudian disusun pula dalam bentuk empat segi bertingkat-tingkat untuk memudahkan kering kena cahaya matahari.
Ayah saya lebih suka ambil kayu sayung di sebuah kilang papan di Guar Chempedak. Kilang berkenaan buang mana-mana kayu yang rosak, yakni tidak boleh dijual. Kayu sayung pelbagai saiz dan jenis kayu itu jika tidak diambil akan dibakar begitu sahaja.
Walaupun kayu sayung atau tidak ada harga, namun bila sudah dibawa pulang papan serta batang beluti boleh digunakan seperti membaiki dinding reban ayam dan sebagainya. Pendek kata bukan ayah saya seorang yang menggemarinya, malah ramai lagi terutama penduduk sekitar kilang tersebut.
Bagi ayah saya walaupun mengambil kayu itu sekadar untuk jadikan kayu api, namun ada juga yang elok-elok disimpannya. Bersusun bawah pokok kuini. Kalau sudah tidak ada kayu api, sebatang dua kayu yang dikumpul itu akan dipotong juga untuk dijadikan bahan bakar.



BAB 4
SIAPA PADAM PELITA TOPIANG

Anak kampung seperti saya tidak pandai duduk diam. Musim sawah berair atau setelah padi ditanam, aktiviti paling seronok tahan tajur atau taut istilah penduduk kampung untuk menangkap ikan haruan.
Taut  menggunakan mata kail lebih besar daripada memancing ikan puyu. Mata kail diikat seperti biasa dengan tali tangsi. Manakala batang taut atau joran daripada bilah-bilah buluh lebih kurang satu meter panjang. Ditajamkan pada pangkal dan diraut agar lembut pada hujungnya. Tali tangsi kira-kira dua jengkal yang sudah diikat mata kail, diikat pula pada hujung joran.
Pada batang taut diikat dawai halus kira-kira tiga jengkal dari hujung atas atau mengikut kesesuaian panjang tali joran. Kemudian simpul bulat untuk mencakuk mata kail.  Ini bermakna, mata kail yang sudah dipasang tali tangsi dan diikat pada joran dicakuk pula pada dawai yang disimpul pada batang taut tadi.
Batang taut membongkok seperti huruf ‘r’ dan kemas sekaligus dapat mengelak daripada tali bersimpul antara satu sama lain sehingga sukar hendak diasingkan. Paling penting mudah dibawa dalam kuantiti banyak bila dimasukkan dalam karung plastik besar. Jika sekitar 10 atau 20 joran boleh kepit celah ketiak sahaja. 
Umpan taut pada kebiasaannya menggunakan katak minyak atau katak pisang. Kedua-dua spesis ini banyak terdapat di sawah. Mencarinya juga amat mudah. Dengan berjalan atas batas sawah, katak akan lompat ke air dan menyembunyi diri dalam lumpur sawah. Sembunyi di mana pun boleh nampak dengan jelas kerana air jernih sawah bagaikan sekeping kaca. Katak lompat ke air pun kerana sudah tidak ada cara lain hendak selamatkan diri.
Katak yang ditangkap dimasukkan dalam tin susu yang ditebuk beberapa lubang di bawahnya. Saya tidak tahu nama alat untuk mengumpul katak ini, tetapi amat senang membuatnya. Hanya perlu tiga bahan sahaja iaitu tin susu kosong, getah gelang dan kain yang dijahit seperti karung tetapi berlubang di bawahnya. Paling senang potong lengan baju kemeja tangan panjang lebih kurang dua jengkal.
Masukkan mulut tin kosong ke dalam kain yang berupa karung tadi, kemudian ikat dengan getah gelang kemas-kemas agar tidak terlocot. Kain yang diikut itu ibarat penutup untuk mengelak katak melompat keluar, sekaligus sebagai pintu untuk mengambil atau memasukkan katak.
Biasanya setiap seorang mempunyai sekurang-kurangnya lima atau 10 batang taut. Malah ada yang mempunyai lebih 50 batang. Cara menahan taut amat mudah, setelah mata kail dicakuk pada belakang katak sebagai umpan, lalu dipacak di batas-batas sawah dalam keadaan katak melompat-lompat di permukaan air. Boleh juga memacak dalam kawasan sawah atau di tempat-temat tertentu yang difikirkan sesuai terdapatnya ikan haruan.
Katak yang melompat-lompat di permukaan air merupakan isyarat kepada ikan haruan di kawasan persekitaran untuk mendekati sekaligus menyambar umpan. Itu sebabnya hujung joran diraut lembut supaya setiapkali katak melompat dalam keadaan melantun.
Bila haruan menyambar dan mata kail tercakuk di mulut pula, hujung joran akan melentur sekaligus mengikut arah mana ikan haruan menariknya. Dalam kata lain, hujung taut yang lembut itu seperti spring, ditarik mengikut dan bila dilepas kembali kepada bentuk asal.
Yang seronoknya bila menahan taut, belum lagi pacak taut kedua, yang pertama sudah mengena. Bayangkan kalau mempunyai sekurang-kurang 10 batang ketika musim ikan banyak. Dalam beberapa jam sahaja boleh dapat lima atau enam ekor haruan sebesar lengan orang dewasa.
Ada juga yang menggunakan umpan ikan sepat ronggeng. Sejenis ikan bertanda hitam pada tengah badan. Cara meletak umpan pada mata kail sama seperti mencakuk katak iaitu di belakang ikan agar dapat berenang di permukaan air.
Kocakan air secara tidak langsung menarik perhatian ikan haruan. Jika nasib malang akan disambar burung pekaka udang. Paling tidak seronok dapat ular air. Sudahlah sukar hendak mencabut mata kail yang tersangkut pada mulut ular, ditambah lagi geli hendak memegangnya kerana badan haiwan itu membelit batang taut.
Cara mudah potong tali taut.  Atau bertindak zalim dengan memegang kemas batang taut, kemudian menghempas ular pada permukaan air hingga mati. Biasanya kalau mata kail hanya tercakuk pada bibir, dua atau tiga kali pukul mulut ular akan terkoyak, sekaligus dapat menanggalkan mata kail. Ular pula tidak mati dan berenang dalam air untuk menyelamatkan diri.
Jika tersangkut jauh dalam kerongkong terpaksa potong kepala ular dalam usaha hendak mencabut mata kail. Atau memacak batang taut di batas sawah atau di kawasan lapang. Biarkan bangkai ular itu busuk dan kering dipanah cahaya matahari dua atau tiga minggu. Akhirnya tulang ular itu tertanggal sendiri setelah jatuh satu demi satu.
Seperkara lagi setiapkali haruan telah tersangkut pada mata kail, harus segera mengangkat atau menangkapnya. Jika dibiarkan lama, besar kemungkinan akan terlepas jika kail hanya tercakuk pada bibir ikan sahaja. Dua tiga kali haruan meronta dengan kuat, boleh terlepas.
Ikan haruan yang sudah dapat ditangkap juga ada alat khas untuk menyimpannya. Alat diperbuat daripada buluh yang sudah diraut ini dalam bentuk bujur dan panjang kira-kira dua kaki. Kiri kanan diikat dengan papan dan mempunyai pintu sebelah atas di tengah-tengah. Tali diikat kiri kanan untuk memudahkan menyangkut pada bahu seperti menggalas beg.
Alat ini akan direndam dalam air untuk mengelak ikan mati kekeringan. Biasanya, setiap satu alat ini  boleh menyimpan dalam 10 hingga 15 ekor bergantung pada saiz. Ada juga yang membawa baldi yang diikat kemas dengan kain supaya haruan tidak melompat. Paling selamat tin minyak tanah, tetapi agak berat hendak bawa ke kawasan tahan taut.
Kalau tidak mahu biarkan hidup, yakni untuk dibuat gulai pada tengah hari, ikan haruan itu dipatahkan kepalanya atau dipukul hingga mati. Letak atas batas sawah pun tidak bimbang terlepas.
Dalam pada itu ada juga di kalangan penduduk kampung suka memasang taut pada sebelah malam. Biasanya lepas solat Isyak, mereka akan mulakan operasi memasang. Sekitar pukul 11 atau tengah malam baru datang semula untuk melihat sama ada taut mengena atau sebaliknya.
Jika tidak datang melihat dan taut mengena, dibiarkan sehingga pagi esoknya baru datang melihat, berkemungkinan jadi mangsa memerang.  Yang tinggal hanya kepala ikan haruan tersangkut pada mata kail.
Bahaya pasang taut sebelah malam jika tidak berhati-hati besar kemungkinan terpijak ular terutama tedung senduk. Reptilia ini bersarang dengan mendiami sarang tikus yang ditinggalkan ketika musim berair dan keluar pada waktu malam mencari makan.
Teringat cerita arwah emak mengenai Pak Cik dan Pak Anjang disakat hantu, kedua-dua bapa saudara saya itu telah meninggal dunia lebih 15 tahun lalu. Mereka berdua pergi lihat taut yang dipasang kira-kira 12 tengah malam.
Seperti malam-malam sebelumnya, meredah malam hanya menggunakan pelita ‘topiang’ sebagai penyuluh jalan. Sepanjang perjalanan atas batas sawah, kedengaran katak melompat ke air dan sekali sekala bunyi seperti haruan menyambar sesuatu.
Lokasi taut yang dipasang tidaklah jauh sangat. Hanya lebih kurang 10 minit berjalan sahaja. Cuma di tengah sawah yang sunyi lagi dingin tiupan bayu malam. Ketika itu kebanyakan penduduk kampung Teroi sudah dibuai mimpi. Maklumlah, bukan macam jenerasi sekarang boleh tidur lewat kerana asyik menonton televisyen atau berbual melalui telefon pintar.
Setelah sampai di lokasi dalam beberapa minit, tiba-tiba sahaja lampu topiang mereka padam ditiup angin. Pak Anjang letakan lampu itu atas batas sawah, setelah keluarkan mancis api dari kocek seluarnya. Dia pun mencucuh sumbu pelita minyak tanah dalam topiang.
Setiap kali Pak Anjang menyalakan pelita berkenaan dan cahaya menerangi kegelapan malam di tengah sawah itu, tiba-tiba nampak seperti bayangan tangan memadam sumbu pelita. Pak Anjang ulangi mencucuh, keadaan sama berulang setelah beberapa saat api pelita itu menyala.
Angin tidak bertiup kencang. Malah api yang menyala pada sumbu pelita tidak ada tanda-tanda ditiup angin. Bagaimana tidak semena-mena boleh padam sedangkan minyak tanah masih penuh? Soalan itu berlegar-legar dalam kotak fikir Pak Anjang sambil berusaha, menghidupkan sekali lagi pelita itu.
“Pergi balik, orang cucuh dia bagi padam!” Marah Pak Anjang sambil merentap topiang itu ke belakang.
“Apsal? Suruh sapa balik?” Jerit Pak Cik yang sedang memeriksa salah satu taut yang di pasang seraya meluru ke arah Pak Anjang.
Pak Anjang menoleh ke belakang. Samar-samar dia nampak susuk tubuh adiknya sedang berjalan ke arahnya. Hatinya mula tertanya-tanya tangan siapa yang menggawang memadam pelita tadi?
“Bukan hang ka?” Pak Anjang tidak dapat meneruskan kata-kata. Rasa takut mula menguasai perasaannya. Dia yakin bukan adiknya yang memadam lampu pelita tadi.
“Saya? Saya buat apa?” Soal Pak Cik balik.
Pak Anjang merenung wajah adiknya sebentar dalam samar-samar malam. “Jom kita balik!” Akhirnya terpacul juga arahan itu dari mulutnya. Tanpa buang masa, Pak Anjang lalu berlari pulang dengan meninggalkan topiang atas batas sawah.
Pak Cik yang tidak tahu apa-apa itu turut berlari mengekori abangnya. Dalam pada itu dia yakin ada sesuatu yang tidak kena pada malam itu, kalau tidak masakan abangnya boleh berlari dalam gelap hingga sampai ke rumah.


BAB 5
ULAR MINYAK TERBELIT DI LEHER

PALING seronok tinggal di kampung ketika padi menghijau laksana hamparan permaidani. Saujana mata memandang hingga ke hujung kampung Dulang. Hembusan bayu sepoi-sepoi bahasa sungguh mengasyikkan sambil berehat di bangku kayu bawah pohon kuini di pinggir sawah.
Begitulah keadaannya setiapkali cuti penggal persekolahan. Kalau tidak bermain dengan rakan-rakan sekampung, saya lebih suka duduk dibangku hasil tangan ayah bersendirian. Bangku yang boleh duduk tiga orang itu tidak cantik mana pun. Ayah buat daripada kayu sayung, yang diambil dari sebuah kilang papan di Guar Chempedak.
Bukan saya seorang sahaja suka duduk dibangku itu. Malah jiran tetangga pun suka berehat terutama selepas makan tengah hari atau lewat petang. Suasana redup dan berangin menyebabkan mereka suka berborak sambil menghisap rokok pucuk. Tidak sedar habis tembakau jawa satu celepa.
Yang jadi mangsa arwah mak kerana terpaksa ikut arahan ayah buat air teh o, kemudian hantar pula ke tempat mereka berborak. Ajak berborak di rumah tidak mahu, atas alasan panas. Padahal suasana lebih kurang sama sahaja kerana angin bertiup memasuki tingkap yang terbuka luas. Atap rumah pula menggunakan daun rumbia. Lainlah jika dipasang zink, sudah tentu rasa membahang bila cuaca panas terik.
Kadang-kadang tidak siapa sedari ada orang berbaring di bangku itu. Dari tingkap rumah nampak kaki berjuntai. Bila datang dekat, rupa-rupanya Samad. Dia antara jiran yang gemar berehat di situ walaupun bersendirian. Antara saya dengan dia pangkat bapa saudara, malah kalangan anak-anak jiran juga memanggilnya Pak Su Samad
Saya juga pernah baring dan terlelap di bangku itu. Maklumlah lepas makan tengah hari dan solat, berehat sekejap di situ. Melihat dedaun padi ditiup angin, akhirnya mata semakin kuyu. Kemudian berbaring, sambil melihat pula daun-daun kuini bergoyang di tiup angin sehingga tidak sedar waktu mana terlelap.
Tiba-tiba ada sesuatu jatuh atas dada saya. Saya menyangka ranting mati gugur ditiup angin. Dalam pada itu tangan kanan saya meraba-raba dada. Kecil sahaja ranting itu lebih kurang anak jari orang dewasa.
Bagaimanapun saya bingkas bangun dan melompat hampir tersungkur ke tanah, apabila merasakan apa yang saya pegang bukannya ranting, sebalik seekor ular daun. Ular itu tidak bahaya seperti ular tedung senduk atau tedung selar jika kena patuk dan lambat bawa ke hospital besar kemungkinan boleh bawa maut.
Ular daun berwarna hijau.  Sama seperti ular air tidak pandai mematuk dan bisa. Ia akan bertindak agresif, yakni menggigit jika hendak melepas diri. Saya melompat pun kerana geli pegang ular. Sebab itu saya seperti dirasuk polong, melompat sambil menjerit hingga hampir tersungkur.
Nasib baik saya sedar. Kalaulah masih tidur dan ular itu memasuki lubang hidung atau mulut saya macam mana? Kalau dapat keluarkan walaupun terpaksa berlari keliling kampung tidak jadi masalah. Yang membimbangkan jika masuk jauh ke dalam rongga tubuh. Hospitallah jawabnya…
Bercakap mengenai ular, teringat sewaktu darjah empat di Sekolah Kebangsaan Teroi. Arwah ayah berniaga di kantin sekolah berkenaan. Ketika itu hanya saya seorang anak mereka dan ayah ambil keputusan untuk tinggal di kantin. Rumah yang hanya suku kilometer dari sekolah di Jalan Yan di Kampung Batas Ubi dibiarkan kosong. Pulang melihat sekali sekala bila waktu cuti sekolah.
Setiap petang saya bermain di padang sekolah tinggi dengan pelajar-pelajar sesi petang sebelum mereka pulang. Sekolah tinggi bukan bermakna sekolah menengah atau seumpamanya, tetapi keadaan sekolah kayu itu bertiang batu setinggi setengah meter. Berbanding unit satu lagi didirikan terus atas tanah berlantai simen.
Ketika seronok bermain, tiba-tiba salah seorang telah melempar seekor ular minyak. Saya sendiri tidak tahu dari mana datangnya ular itu. Yang pasti bila seseorang melempar kepada rakan, masing-masing berebut untuk mengambil ular mati itu. Siapa dapat, giliran dia pula melempar kepada rakan lain.
Sudahnya menjadi satu permainan berebut ular. Seorang demi seorang menyertainya sehingga jatuh berguling atas padang rumput. Masing-masing sudah tidak takut mahupun geli lagi dengan ular. Beberapa pelajar wanita pun ikut serta berebut sambil menjerit seronok.
Saya yang memerhati sahaja mula seronok dengan gelagat rakan-rakan. Perlahan-lahan melangkah masuk ke arah kumpulan. Tiba-tiba ular itu jatuh betul-betul di hadapan saya. Spontan saya memegang ekor ular sebesar ibu jari itu lalu baling ke arah rakan.
Hendak jadikan cerita, ular itu tersangkut pada leher rakan. Dia melolong seperti dirasuk hantu sambil merentap ular lebih kurang dua kaki yang terbelit di lehernya itu. Kawan-kawan pula tidak seorang pun menolongnya.
Dapat juga dia merungkai belitan ular yang sudah lembik itu. Namun mukanya toreh tak berdarah. Pucat lesi. Bukan takut tetapi kerana terlalu geli. Namun berusaha tersenyum juga setelah rakan-rakan mentertawakannya.
Pada saya rasa bersalah pun ada. Namun tidak sampai hati hendak mohon maaf. Lagipun, bimbang pula kalau saya minta maaf, sudah tentu dia tahu saya yang melempar ular itu kepadanya. Daripada tidak seorang pun perasan, ada baiknya ambil keputusan buat-buat tidak tahu. Lagipun, tidaklah mendatangkan sebarang bahaya. Sekadar geli-geleman bila terbelit di leher sahaja.
Kejadian ular terbelit di leher itu menjadi nostalgia amat mendalam. Setiap kali melihat pelajar sekolah rendah berlari-lari di padang, pasti saya teringat peristiwa itu. Begitu juga jika ada yang memegang ular, ingatan pada budak terbelit ular di leher itu pasti bermain difikiran saya.
Sayang sekali tidak terfikir langsung untuk mengenali dia lebih dekat selepas peristiwa itu. Saya juga tidak kenal siapa saudara mara termasuk ayah dan ibunya. Kalau kenal, setelah masing-masing dewasa , sekurang-kurangnya dapat juga berjumpa sekaligus menceritakan kisah-kisah silam. 
Antara sebab sewaktu kejadian, saya dalam darjah empat, dia mungkin baru darjah dua. Berlainan kelas dan usia antara punca saya tidak ambil pusing langsung tentang dirinya. Setelah dewasa barulah terfikir kalaulah antara kami dapat kongsi peristiwa itu, alangkah seronoknya!




 

BAB 6 >>>> Tunggu le

No comments:

Post a Comment