Tuesday, June 22, 2010

Lebih 3 abad minta sedekah


SEWAKTU saya ke sebuah kedai di hadapan masjid Abu Bakar Temerloh baru-baru ini, terdapat dua wanita yang telah lanjut usia sedang berbual-bual sesama mereka. Saya kenal dengan salah seorang darinya, tetapi tidak tahu nama. Dia adalah seorang peminta sedekah sejak sekian lama.

Sebaik saja saya terpandang wanita yang saya kenali itu, tidak semena-mena persoalan timbul dalam minda saya. Kenapa wanita itu masih mengharap simpati masyarakat, sedangkan usianya pada kiraan saya sekitar 70 tahun?

Masih terbayang-bayang sewaktu saya masih bujang ketika bekerja di Temerloh. Setiapkali sebelum menunaikan solat Jumaat, saya berjalan di kakilima deretan kedai di depan masjid tersebut. Wanita itu akan menagih simpati dengan harapan ada jemaah meletakan sekeping dua syiling di atas sapu tangan yang dihampar di lantai simen.

Kadang-kadang lebih dari tiga orang. Mereka duduk sebaris tanpa perlu membaca ayat-ayat al-Quran atau menyanyi sambil bermain muzik sebagai perhatian orang ramai. Sebaliknya hanya memegang kole plastik, meletak kotak kosong atau bekas tertentu sahaja sebagai memudahkan orang meletak wang sedekah.

Wang kertas mahupun syiling dalam bekas berkenaan tidak pernah penuh. Mereka akan menyimpan dalam beg kecil dan hanya membiarkan satu atau dua keping syiling 20 atau 50 sen sahaja. Tujuannya untuk menjerat orang lain yang lalu lalang di kakilima kedai di situ.

Mereka jadikan kakilima kedai itu sebagai lokasi minta sedekah kerana tidak jauh dari situ adalah stesen bas tempatan, yakni untuk ke Mentakab, Triang, Maran dan Jerantut. Disebabkan kakilima itu tidak pernah sunyi dikunjungi orang ramai, menyebabkan lokasi itu dianggap strategik untuk menagih simpati.

Boleh dikatakan setiap hari mereka berada di situ bermula sekitar jam 9:00 pagi. Oleh kerana saya tidak pernah ambil tahu lebih lanjut masalah mereka, maka tidaklah saya ketahui sama ada mereka ada tempat tinggal, yakni rumah sendiri atau di kakilima kedai itu tempat mereka berteduh dari hujan mahupun panas, sekaligus untuk melelapkan mata bila menjelang malam.

Apapun bukan persoalan rumah sendiri atau tempat tinggal yang hendak saya utarakan. Yang bermain-main di benak saya kenapa wanita yang saya kenali itu masih lagi meminta sedekah hingga ke hari ini? Apakah yang mendorong dia masih lagi menagih simpati orang yang lalu lalang di kakilima kedai di situ?

Bayangkan sejak penghujung 1979 saya mengenainya, kemudian pada awal 1982 saya berhijrah ke Kuala Lumpur dan kembali semula ke Temerloh pada pertengahan 2007 lalu, dia masih lagi sebagai peminta sedekah di situ! Bagaimana pula dengan hari-hari sebelum saya mengenalinya dan adakah dia sudah mengharap simpati orang ramai di situ?

Walaupun sejak 1982 hingga 2007 saya menetap di ibu kota dan tidak pernah sekali pun ke deretan kedai di hadapan masjid itu, tetapi kalau hingga sekarang dia masih di situ, sudah tentu sepanjang saya tinggalkan Temerloh, tidak mustahil wanita berkenaan tetap meneruskan kariernya sebagai peminta sedekah di lokasi berkenaan.

Ini bermakna sudah lebih 30 tahun dia meminta belas kasihan orang. Tiga puluh tahun bukan waktu yang singkat. Jika dia kumpul wang pemberian orang untuk dijadikan modal berniaga kecil-kecilan pun, hidupnya akan bertukar corak. Apapun, saya lebih yakin meminta sedekah sudah menjadi darah dagingnya sehingga tidak lagi mahu berusaha melakukan pekerjaan lain.

Pada pengamatan saya, wanita itu tidaklah terdapat sebarang cacat cela. Cukup sifat sebagai seorang manusia yang mempunyai kaki, tangan dan pancaindera lain. Gaya dia berjalan juga masih gagah, tidak bongkok atau bertongkat. Jadi apa alasan dia meminta sedekah sekian lama? Yakni bukan setahun dua, tetapi sudah lebih tiga abad.

Pemerhatian saya terhadap seorang peminta sedekah setiap minggu di Pekan Sehari Temerloh pada hari Ahad, pendapatan yang diperolehi dari jam 8:00 pagi hingga 1:00 petang mencecah antara RM30 hingga RM50. Kiraan ini berdasarkan setiapkali dia memukar wang hasil sedekah orang ramai kepada rakan saya paling kurang RM30. Kadang-kadang mencecah lebih RM50.

Saya yakin, masyarakat kita yang pemurah, jumlah sebanyak itu tidak menyulitkan bagi seseorang peminta sedekah. Kalau mereka rajin dan menagih simpati di setiap pasar pagi dan malam yang terdapat di sekitar Temerloh, sudah tentu hasilnya agak lumayan. Jangkaan saya bagi setiap peminta sedekah tidak kurang daripada RM600 sebulan.

Perolehan sebanyak itu sudah boleh tinggal di rumah sewa. Di Temerloh, rumah teres tiga bilik baru sekitar RM250 ke RM300 sebulan. Kalau rumah kampung lingkungan RM50 ke RM120 sahaja. Jadi tidak hairan, peminta sedekah di Pekan Sehari Temerloh itu, selamba sahaja membeli rokok Dunhill 20 batang. Saya juga pernah terserempak dengannya menjamu selera di sebuah restoran dengan seketul kepala ikan patin masak asam pedas.

Kalau pendapatan sebagai peminta sedekah tidak lumayan, sudah tentu dia tidak berani makan di restoran. Cukup sekadar membeli nasi bungkus berlauk ikan kering goreng untuk mengalas perut. Ini tidak, makan mengalahkan orang makan gaji. Saya tidak mahu mendedahkan keburukan lelaki peminta sedekah di Pekan Sehari Temerloh itu. Namun, ada yang mendakwa, pernah nampak dia ke kedai Magnum dan 4 Digit.

Apapun, pihak berwajib harus memantau terhadap golongan peminta sedekah di Temerloh. Walaupun mereka menagih simpati atas sikap hendak hidup, yakni tidak melalui sindiket tertentu seperti di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Namun ianya tetap mencacatkan pandangan walaupun bilangannya tidak ramai di mata warga luar terhadap bandar yang mendapat jolokan Bandar Ikan Patin ini.


Makluman: Foto yang disiarkan sekadar hiasan, bukan wanita yang dimaksudkan.

No comments:

Post a Comment