Tuesday, June 22, 2010

Lebih 3 abad minta sedekah


SEWAKTU saya ke sebuah kedai di hadapan masjid Abu Bakar Temerloh baru-baru ini, terdapat dua wanita yang telah lanjut usia sedang berbual-bual sesama mereka. Saya kenal dengan salah seorang darinya, tetapi tidak tahu nama. Dia adalah seorang peminta sedekah sejak sekian lama.

Sebaik saja saya terpandang wanita yang saya kenali itu, tidak semena-mena persoalan timbul dalam minda saya. Kenapa wanita itu masih mengharap simpati masyarakat, sedangkan usianya pada kiraan saya sekitar 70 tahun?

Masih terbayang-bayang sewaktu saya masih bujang ketika bekerja di Temerloh. Setiapkali sebelum menunaikan solat Jumaat, saya berjalan di kakilima deretan kedai di depan masjid tersebut. Wanita itu akan menagih simpati dengan harapan ada jemaah meletakan sekeping dua syiling di atas sapu tangan yang dihampar di lantai simen.

Kadang-kadang lebih dari tiga orang. Mereka duduk sebaris tanpa perlu membaca ayat-ayat al-Quran atau menyanyi sambil bermain muzik sebagai perhatian orang ramai. Sebaliknya hanya memegang kole plastik, meletak kotak kosong atau bekas tertentu sahaja sebagai memudahkan orang meletak wang sedekah.

Wang kertas mahupun syiling dalam bekas berkenaan tidak pernah penuh. Mereka akan menyimpan dalam beg kecil dan hanya membiarkan satu atau dua keping syiling 20 atau 50 sen sahaja. Tujuannya untuk menjerat orang lain yang lalu lalang di kakilima kedai di situ.

Mereka jadikan kakilima kedai itu sebagai lokasi minta sedekah kerana tidak jauh dari situ adalah stesen bas tempatan, yakni untuk ke Mentakab, Triang, Maran dan Jerantut. Disebabkan kakilima itu tidak pernah sunyi dikunjungi orang ramai, menyebabkan lokasi itu dianggap strategik untuk menagih simpati.

Boleh dikatakan setiap hari mereka berada di situ bermula sekitar jam 9:00 pagi. Oleh kerana saya tidak pernah ambil tahu lebih lanjut masalah mereka, maka tidaklah saya ketahui sama ada mereka ada tempat tinggal, yakni rumah sendiri atau di kakilima kedai itu tempat mereka berteduh dari hujan mahupun panas, sekaligus untuk melelapkan mata bila menjelang malam.

Apapun bukan persoalan rumah sendiri atau tempat tinggal yang hendak saya utarakan. Yang bermain-main di benak saya kenapa wanita yang saya kenali itu masih lagi meminta sedekah hingga ke hari ini? Apakah yang mendorong dia masih lagi menagih simpati orang yang lalu lalang di kakilima kedai di situ?

Bayangkan sejak penghujung 1979 saya mengenainya, kemudian pada awal 1982 saya berhijrah ke Kuala Lumpur dan kembali semula ke Temerloh pada pertengahan 2007 lalu, dia masih lagi sebagai peminta sedekah di situ! Bagaimana pula dengan hari-hari sebelum saya mengenalinya dan adakah dia sudah mengharap simpati orang ramai di situ?

Walaupun sejak 1982 hingga 2007 saya menetap di ibu kota dan tidak pernah sekali pun ke deretan kedai di hadapan masjid itu, tetapi kalau hingga sekarang dia masih di situ, sudah tentu sepanjang saya tinggalkan Temerloh, tidak mustahil wanita berkenaan tetap meneruskan kariernya sebagai peminta sedekah di lokasi berkenaan.

Ini bermakna sudah lebih 30 tahun dia meminta belas kasihan orang. Tiga puluh tahun bukan waktu yang singkat. Jika dia kumpul wang pemberian orang untuk dijadikan modal berniaga kecil-kecilan pun, hidupnya akan bertukar corak. Apapun, saya lebih yakin meminta sedekah sudah menjadi darah dagingnya sehingga tidak lagi mahu berusaha melakukan pekerjaan lain.

Pada pengamatan saya, wanita itu tidaklah terdapat sebarang cacat cela. Cukup sifat sebagai seorang manusia yang mempunyai kaki, tangan dan pancaindera lain. Gaya dia berjalan juga masih gagah, tidak bongkok atau bertongkat. Jadi apa alasan dia meminta sedekah sekian lama? Yakni bukan setahun dua, tetapi sudah lebih tiga abad.

Pemerhatian saya terhadap seorang peminta sedekah setiap minggu di Pekan Sehari Temerloh pada hari Ahad, pendapatan yang diperolehi dari jam 8:00 pagi hingga 1:00 petang mencecah antara RM30 hingga RM50. Kiraan ini berdasarkan setiapkali dia memukar wang hasil sedekah orang ramai kepada rakan saya paling kurang RM30. Kadang-kadang mencecah lebih RM50.

Saya yakin, masyarakat kita yang pemurah, jumlah sebanyak itu tidak menyulitkan bagi seseorang peminta sedekah. Kalau mereka rajin dan menagih simpati di setiap pasar pagi dan malam yang terdapat di sekitar Temerloh, sudah tentu hasilnya agak lumayan. Jangkaan saya bagi setiap peminta sedekah tidak kurang daripada RM600 sebulan.

Perolehan sebanyak itu sudah boleh tinggal di rumah sewa. Di Temerloh, rumah teres tiga bilik baru sekitar RM250 ke RM300 sebulan. Kalau rumah kampung lingkungan RM50 ke RM120 sahaja. Jadi tidak hairan, peminta sedekah di Pekan Sehari Temerloh itu, selamba sahaja membeli rokok Dunhill 20 batang. Saya juga pernah terserempak dengannya menjamu selera di sebuah restoran dengan seketul kepala ikan patin masak asam pedas.

Kalau pendapatan sebagai peminta sedekah tidak lumayan, sudah tentu dia tidak berani makan di restoran. Cukup sekadar membeli nasi bungkus berlauk ikan kering goreng untuk mengalas perut. Ini tidak, makan mengalahkan orang makan gaji. Saya tidak mahu mendedahkan keburukan lelaki peminta sedekah di Pekan Sehari Temerloh itu. Namun, ada yang mendakwa, pernah nampak dia ke kedai Magnum dan 4 Digit.

Apapun, pihak berwajib harus memantau terhadap golongan peminta sedekah di Temerloh. Walaupun mereka menagih simpati atas sikap hendak hidup, yakni tidak melalui sindiket tertentu seperti di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Namun ianya tetap mencacatkan pandangan walaupun bilangannya tidak ramai di mata warga luar terhadap bandar yang mendapat jolokan Bandar Ikan Patin ini.


Makluman: Foto yang disiarkan sekadar hiasan, bukan wanita yang dimaksudkan.

Saturday, June 19, 2010

Maruah Pada Sekeping Resit

Beberapa hari lalu, adik ipar saya menerima arahan daripada pemilik rumah yang disewanya supaya keluar ekoran tidak bayar sewa selama tiga bulan berturut-turut. Bagaimanapun, adik ipar saya berkeras dan memberitahu dia tidak pernah tidak membayar sewa setiap bulan.

Peristiwa itu mengingatkan apa yang pernah berlaku pada saya lebih 10 tahun lalu. Saya juga nyaris ‘di halau’ pemilik rumah yang saya sewa di Kampung Klang Gate, Selangor ketika itu. Pemilik rumah mendakwa saya tidak bayar sewa pada bulan berkenaan. Padahal , saya sendiri ke rumahnya dan menghulur wang sewaan ke tangannya setiap bulan.

Mati-mati dia mendakwa tidak menerima wang tersebut. Anaknya turut masuk campur dan menyebelahi ibunya ketika bertandang menagih sewa. Oleh kerana satu lawan tiga, saya terpaksa mengalah lebih-lebih lagi bila beberapa jiran memanjangkan leher untuk mendengar.

Nasib baik, masih ada baki wang gaji dan dengan berat hati terpaksa bayar untuk kali kedua. Namun, jauh di lubuk hati menyumpah seranah. Sekaligus, terdetik ‘tidak halal’ dunia akhirat makan wang yang didakwanya tidak terima itu.


Kejadian itu menjadi iktibar kepada saya sehingga kini sering berpesan kepada anak-anak jika tinggal di rumah sewa. Saya juga lebih berhati-hati jika melibatkan wang terutama sewa rumah. Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Oleh itu saya sendiri yang membeli ‘buku resit bayaran’ dan setiap kali membayar sewa, saya minta tuan rumah tandatangan pada resit tersebut sebagai bukti saya telah membayar sewa.

Situasi begini sudah tentu janggal atau terbalik. Lazimnya pemilik rumah yang mengeluarkan resit bayaran kepada penyewa. Seperti kita membeli sesuatu barang, pekedai yang mengeluarkan resit, bukan pembeli yang perlu berbuat demikian.

Tetapi berbeza dengan saya kerana saya yang memberi resit kepada pemilik rumah sewa. Pada saya, biarlah keluar belanja tidak sampai RM2 untuk menyediakan buku resit, kerana maruah diri saya ada pada setiap helaian resit tersebut.

Saya tidak mahu dimalukan lagi! Itu sebabnya saya mengatakan, maruah saya serta keluarga ada pada helaian resit. Setelah dikeluarkan dan pemilik rumah sewa menurunkan tandatangan, bermakna dia sudah menerima wang. Perkara berbangkit jika timbul, bukti ada di tangan saya.

Tidak ramai pemilik sewa rumah yang mengeluarkan ‘perjanjian bertulis’ lebih-lebih lagi di bandar-bandar kecil. Pengalaman saya beberapa tahun menyewa rumah di Kuala Lumpur, hanya sebuah rumah yang mengeluarkan perjanjian bertulis dan matikan setem. Yang lain kebanyakan ‘atas percaya’ sahaja.

Samalah seperti kes adik ipar saya itu. Terlalu percaya dengan pemilik rumah dan setiapkali membayar sewa, hanya wang bertukar tangan. Kes ini berbangkit kerana selama tiga bulan berturut-turut dia membayar sewa pada anak tuan rumah. Saya tidak mahu menuduh, jika benar anak tuan rumah ‘songlap’ wang, tanggunglah sendiri akibat tidak dapat hendak kemukakan bukti.

Mahu tidak mahu sama ada cari wang untuk bayar sewa selama tiga bulan, atau kemas barang pindah ke rumah lain. Apapun, maruah diri telah tercemar, kerana pemilik rumah sudah uar-uarkan pada penyewa lain mengenai tiga bulan tertunggak.

Friday, June 18, 2010

Temerloh United wadah curah pendapat







PERTEMUAN rakan-rakan Facebook Temerloh United (TU) pada petang Ahad 13 Jun lalu, terbukti laman sosial boleh mengeratkan lagi hubungan sesama insan, selain dapat menemukan kembali rakan-rakan yang telah lama menghilang, dalam ertikata lain terpisah.

Walaupun TU baru saja diwujudkan kira-kira sebulan lalu, namun sambutannya amat menggalakkan. Ahlinya kini mencecah lebih 1200 dan mereka tidak semua menetap di Temerloh. Sebaliknya seluruh pelusuk negara, kebanyakannya di Kuala Lumpur.

Pada saya, inilah wadah untuk warga Temerloh mencurah pendapat atau komen melalui ruang yang disediakan. Namun, pihak yang mengendali laman tersebut haruslah sentiasa memantau sekiranya terdapat komen-komen sensetif, berbaur politik, lucah atau apa saja yang boleh menyingung perasaan orang lain.

Setakat ini semua rakan-rakan TU masih lagi melontar pandangan ataupun komen-komen yang tidak melampau batas. Mereka juga tidak mengkritik kerajaan mahupun parti-parti politik sama ada UMNO, PAS, PKR dan lain-lain. Komen-komen sihat begitu seharusnya dikekalkan, jangan setelah keadaan tidak dapat dikawal barulah tindakan dibuat.

Cuma saya lebih suka sekiranya semua rakan-rakan TU tidak berselindung di sebalik image tertentu. Pada saya, ada baiknya meletakan image wajah sendiri daripada meletak image tertentu sebagai pengenalan diri.

Ini kerana, dengan meletakan image diri sendiri, kita dapat mengenali rakan-rakan dengan lebih rapat. Walaupun tidak pernah berjumpa, sekurang-kurang bila memaparkan wajah sebenar boleh dijadikan panduan sekiranya bertemu dalam majlis-majlis tertentu seperti menghadiri majlis perkahwinan anak rakan dan sebagainya.

Berbanding jika meletak image tertentu, sekiranya tersenggol bahu di jalanan pun mungkin boleh tercetus kemarahan. Lebih menyedihkan sekiranya mendapat musibah seperti berlaku kemalangan jalan raya. Kalau kenal, hasrat hendak membantu lebih kuat daripada tidak kenal. Contohnya, kita telah berhenti kenderaan dan pergi ke tempat kejadian, dek tidak kenal mangsa kemalangan, berkemungkinan kita biarkan orang lain membantu mangsa.

Sebab itulah saya menyarankan rakan-rakan FB terutama di TU tidak perlu takut meletakan image sebenar daripada menggunakan bukan nama sebenar. Banyak manfaat daripada meletak image seperti putik nangka, kepala harimau dan sebagainya. Dalam kata lain, berselindung di sebalik image tertentu tidak mendatangkan sebarang faedah melainkan bimbang atas faktor peribadi seperti berhutang dengan ah long, masalah kad kredit dan sebagainya.

Pengalaman saya meletak image ‘kepala burung unta’ lebih sebulan, rakan lama saya yang berada di Sabah tidak berani ‘add’, apatah lagi saya berselindung disebalik nama DIMAH NAMSO. Berbeza setelah saya meletak wajah sebenar, barulah rakan saya itu berani meng’add’kan saya. Padahal katanya, beberapa kali dia melihat image ‘kepala burung unta’ itu terpampang di skrin komputernya, tetapi ragu-ragu hendak menambah sebagai rakan.

Berbeza menggunakan nama samaran. Saya sendiri lebih lima nama samaran ketika terlibat secara langsung dengan media cetak @ bidang kewartawanan beberapa tahun lalu. Bila menulis politik, ada nama tertentu, menulis sukan, agama, puisi, cerpen dan lain-lain saya pasti berselindung di sebalik nama. Namun nama-nama tersebut, ramai di kalangan pembaca tahu siapa orangnya. Nama UTUH WIJAYA, yang saya gunakan pada blog ini juga merupakan antara nama yang pernah saya gunakan dalam penulisan saya sebelum ini.

Berselindung di sebalik nama sudah menjadi lumrah di kalangan penulis. Contohnya, allahyarham PAK SAKO lebih dikenali dengan nama itu daripada nama sebenar beliau Ishak Haji Mohamed. Begitu juga dengan KRIS MAS, TONGKAT WAREN, SUTUNG UMAR RS dan lain-lain tenggelam nama sebenar mereka. Cikgu Aminudin Mansor yang masih aktif menulis (antara kolumis Sinar Harian), juga lebih gemar berselindung di sebalik nama AMI MASRA.

Berbalik dengan pertemuan pada hari tersebut, saya sendiri langsung tidak kenal setiap rakan di TU. Setelah berbual-bual, barulah tahu siapa berselindung di sebalik nama CICIT IMAM PERANG, DATO EM mahupun DATUK SAGOR ALAM. Manakala yang lainnya banyak berselindung di sebalik image tertentu yakni bukan wajah sendiri.

Apapun saya yakin, dalam masa satu atau dua bulan lagi rakan-rakan TU akan mencecah lebih 2,000 ahli. Pertemuan yang dijangka lepas raya puasa nanti, diharap menjadi kenyataan dan sekurang-kurangnya 80 peratus ‘rodong’ dapat membawa keluarga masing-masing.